9 Tip Jaga Badan Sepanjang Ramadan

0

Bulan puasa juga sering diberi jolokan, ‘pesta makanan’ kerana kepelbagaian jenis makanan yang disediakan sama ada di bazar mahupun di rumah. (Gambar sekadar hiasan)

“AMBOI Kamal, bulan puasa pun badan awak semakin berisi, ye. Hah, perut pun nampak sudah ke depan,”  tegur Zahar, teman sekerja Kamal.

“Biasalah, makan di bazar Ramadan semuanya nampak lazat, rambang mata. Isteri pun selalu masak sedap-sedap jadi berseleralah saya makan,” balas Kamal sambil tersenyum malu-malu. Dia mengusap perutnya yang jelas kelihatan buncit. Oh, tidak!

Faktor kesihatan dan amalan gaya hidup sihat perlu diberi perhatian. (Gambar sekadar hiasan)

Ya, tidak dinafikan sepanjang Ramadan memang banyak juadah menarik dan enak.

Bulan puasa juga sering diberi jolokan, ‘pesta makanan’ kerana kepelbagaian jenis makanan yang disediakan sama ada di bazar mahupun di rumah. Pun begitu, faktor kesihatan dan amalan gaya hidup sihat perlu diberi perhatian.

Jangan sampai di bulan mulia ini, anda dapat penyakit kerana nafsu makan yang tidak dikawal dengan baik. Pilihlah variasi makanan yang seimbang dan berkhasiat.

Jika memasak sendiri,  kreativiti ketika memasak dapat membantu mengawal kesihatan dan mencegah penyakit.

Gunakan bahan perasa lebih sihat untuk menggantikan bahan yang mengandungi lemak, gula atau garam yang tinggi. Antaranya termasuklah, rempah (seperti halba,kulit kayu manis, ketumbar, jintan).

Herba (seperti daun selasih,pasli,pudina,sup,daun ketumbar dan serai). Susu rendah lemak, puri, buah-buahan atau jus buah segar sebagai pemanis semula jadi. Jadi, keluarga anda boleh menikmati makanan lazat, pada masa sama berkhasiat untuk tubuh anda.

Buah kurma banyak khasiat untuk tubuh. (Gambar sekadar hiasan).

Panduan berikut ini mungkin dapat membantu anda menjaga kesihatan diri dan keluarga;

  1. Memang bagus jika anda suka dan rajin memasak, tetapi sentiasa seimbangkan pemilihan makanan dalam menu harian. Sajikan makanan berkhasiat kepada keluarga anda mengikut keperluan piramid makanan. Pastikan ada buah-buahan dan sayuran dalam sajian anda.
  2. Pilih makanan berkhasiat yang disediakan dengan cara sihat seperti mengukus, membakar atau sup berbanding makanan bergoreng.
  3. Waktu sahur sangat penting. Makanan seimbang membantu membekalkan tenaga dan sentiasa fokus sepanjang berpuasa. Pilih makanan rendah lemak, kurang gula dan garam.
  4. Banyak khasiat dan manfaatnya jika terlebih dahulu bersahur dan berbuka dengan buah kurma.
  5. Elakkan mengambil terlalu banyak kuah, kerana biasanya tinggi lemak dan garam.
  6. Makanan berasaskan bijirin penuh dan tinggi serat baik untuk sistem penghadaman.
  7. Minum banyak air kosong dan elakkan minuman manis juga bergas.
  8. Walaupun berpuasa, jangan banyak tidur, ini membuat anda rasa lesu dan malas.
  9. Pantau kesihatan. Anda boleh melakukan pemantauan sendiri di rumah seperti mengukur ketinggian dan berat badan supaya sentiasa dalam keadaan normal.

Kesihatan tubuh tanggungjawab anda. Selamat berpuasa.

 

 

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply