“Ada sebab saya pendam…” Erra Fazira

0

SPEKULASI mengenai keretakan rumahtangga penyanyi serta pelakon, Erra Fazira dan pasangannya, Engku Emran Engku Zainal Abidin akhirnya terungkai apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pada Selasa.

Walaupun gosip tentang masalah rumahtangga mereka sudah mula diperkatakan sejak dua tahun lalu, namun berita perceraian mereka berdua ternyata mengejutkan seluruh peminat industri hiburan tanah air, lebih-lebih lagi pasangan ini mengambil pendekatan untuk tidak mengulas mengenai gosip yang timbul.

erra

“Mungkin ini satu kejutan buat orang ramai tapi bukan satu kejutan buat saya dan suami. Keluarga terdekat juga tidak terkejut kerana mereka tahu apa yang berlaku. Saya tahu dari dulu lagi orang dahagakan jawapan tapi saya minta maaf kerana tak dapat nak beritahu. Apa yang pasti, sekarang ini semuanya sudah terlerai dan segala jawapan sudah pun terjawab.

Saya bersyukur segalanya sudah selesai dan berterima kasih kepada semua kerana bersabar selama ini. Saya rasa lega kerana sudah tidak berhutang dengan masyarakat serta pihak media mengenai hal ini. Malah, kalau boleh, saya juga mahu menutup subjek ini dan tidak mahu bercakap mengenainya lagi,” tutur aktres jelita ini sambil memberitahu mempunyai sebab kenapa dia merahsiakan mengenai masalah rumahtangganya.

“Saya ada sebab kenapa pendamkan perkara ini. Bukan kerana saya mementingkan diri namun saya ada alasan yang tersendiri. Perkara ini melibatkan hal rumahtangga dan masalah dalaman keluarga. Itu adalah hal peribadi dan saya tak boleh kongsi kepada semua mengenai perkara ini. Saya harap semua orang menghormati dengan keputusan saya ini.”

Redha
Erra ketika ditemui sewaktu rakaman program ‘Primadona’ di Bukit Rimau, Klang, pada Selasa turut enggan mengulas mengenai punca keretakan rumahtangganya. Tambah pelakon yang mendapat jolokan Primadona Filem Melayu ini lagi, dia redha dengan ketentuan yang tertulis dan berharap pihak di luar sana tidak memperbesar-besarkan mengenai isu perceraiannya.

“Ini bahagian yang Tuhan dah tetapkan untuk saya dan saya redha dengan perkara ini. Apa yang boleh saya katakan, kami sudah tidak ada jodoh. Orang lain boleh bercakap macam-macam, namun saya yang menghadapi perkara ini dan saya saja yang tahu apa sebenarnya berlaku,” ujar pelakon filem ‘Soal Hati’ ini lagi.

“Tipulah kalau kita kahwin nak sekejap saja kerana sudah pasti kita mahu rumahtangga yang dibina kekal selamanya lebih-lebih lagi ini perkahwinan kali kedua saya. Lagipun, tiada siapa mahu perkara yang tak bagus berlaku dalam rumahtangga apatah lagi saya sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Namun, bila kita dah jaga betul-betul dan ia retak juga, sakitnya lain sangat. Walau bagaimanapun saya percaya, ini bahagian saya yang dah ditetapkan dan saya akan menjalaninya dengan redha.

Cuma saya pinta jangan ditanya mengenai perkara lepas serta bila dan kenapa perkara ini berlaku kerana saya tak berhasrat untuk bercerita. Bagi saya, biarlah ia menjadi rahsia. Apa yang pasti, saya bersyukur dan lega kerana sekurang-kurangnya, segala persoalan sudah terjawab. Alhamdulillah, Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui,” ujar Erra mengakui sudah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan rumahtangganya.

“Jika orang tanya kami tak cuba berbaik ke, anda semua tidak tahu apa yang kami dah cuba selama ini. Lagipun, siapa yang mahukan perpisahan, namun jika ini takdir yang ditentukan, jadi kami redha dan akur sebab semua usaha dah dilakukan untuk menyelamatkan rumahtangga kami,” katanya mengakhiri perbualan.

Erra Fazira mendirikan rumahtangga dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 dan hasil perkongsian hidup selama enam tahun, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya yang kini berusia 5 tahun. Ini merupakan perkahwinan kedua Erra selepas bercerai dengan Yusry Abdul Halim pada tahun 2006. – Gua.com.my/ 19 Feb 2014

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply