“Aku sayang, tetapi tak sanggup derita bersamamu.”

0
"Malam itu, saya balik lambat dari pejabat. Terlalu banyak kerja yang terpaksa saya selesaikan, kebetulan..." (Gambar hiasan)

“Malam itu, saya balik lambat dari pejabat. Terlalu banyak kerja yang terpaksa saya selesaikan, kebetulan…” (Gambar hiasan)

SAYA berusia 28 tahun, seorang eksekutif di sebuah bank. Lima tahun lalu saya berkenalan dengan seorang lelaki berusia awal 30-an, Adam*, bekerja sebagai pegawai bank. Hubungan kami mendapat restu keluarga. Dia lelaki yang baik, penyayang dan mengambil berat. Keluarga amat menyukainya kerana kebaikan dan kesopanannya terutama apabila bertemu dengan orang tua.

Tempoh pertunangan kami tidak sampai setahun, dalam tempoh itu saya cuba mengenal hati budinya, mengenai apa kesukaan, sikap dan keluarganya yang menerima dengan baik kehadiran saya sebagai anggota keluarga mereka.

Sepanjang tempoh pertunangan, saya nampak perilakunya molek belaka. Setiap hujung minggu kami berjumpa, keluar menonton, makan-makan dan sesekali balik ke kampung saya. Pendek kata, saya tidak nampak kelemahannya dan saya yakin dia calon suami terbaik yang Allah berikan kepada saya.

Masuk tahun kedua hidup bersama sebagai suami isteri, kami masih belum dikurniakan anak. Pelbagai cara dilakukan untuk mendapat cahaya mata, tetapi tidak berhasil. Saya pula selalu sibuk dengan urusan pejabat dan sering balik lewat malam.

Mungkin kerana sunyi tinggal seorang diri di rumah dan tekanan perasaan inginkan anak, Adam selalu mencari kesalahan saya. Ada sahaja yang tidak kena di matanya terutama apabila saya pulang lambat dari tempat kerja.

Macam-macam dituduhnya, tetapi dek mahu mengelakan pertengkaran, saya jarang menjawab. Kalau ditegur atau menjawab, Adam pasti naik hantu. Begitu juga jika saya menegurnya mengenai sesuatu perkara yang tidak disukainya, dia akan mengamuk macam orang hilang akal.

Apabila berlaku perkara seperti itu, badan saya diperlaku seperti bola. Dia sepak terajang semahunya tanpa belas kasihan. Pada awalnya saya cuba bertahan, tetapi lama-kelamaan saya berasa saya berasa perlu bertegas dan mempertahankan hak sebagai isteri juga wanita.

Diselubungi derita
Suatu malam, kami bergaduh besar kerana saya tidak mempedulikan bebelannya. Malam itu, saya balik lambat dari pejabat. Terlalu banyak kerja yang terpaksa saya selesaikan, kebetulan saya mahu bercuti untuk pulang ke kampung mentua.

Gambar hiasan

Gambar hiasan

Dia marah dan membangkitkan banyak perkara termasuk mempertikaikan tanggungjawab saya sebagai isterinya. Ya, saya mengaku dek sibuk bekerja saya  jarang memasak dan mengemas rumah.

Mungkin ketika itu saya sangat penat, jadi tertekan dengan kata-katanya. Saya marah dia kerana tidak memahami keadaan saya. Lagipun, bukan saya ke mana-mana. Hanya berada di pejabat untuk selesaikan semua kerja sebelum bercuti. Lagipun, saya bercuti untuk pulang ke kampungnya.

Malam itu, badan yang penat dan lesu kerana sehari suntuk bekerja ditumbuk, disepak terajang semahunya. Dia langsung tidak menghiraukan rintihan saya.

Saya tidak sabar lagi dengan kerenahnya dan menjerit minta diceraikan. Sebaik sahaja mendengar jeritan saya itu, dia semakin menggila.

Tidak tahan menanggung sakit, saya kuatkan semangat dan keluar dari rumah. Hanya berkaki ayam, saya berlari sekuat hati. Tuhan sahaja yang tahu betapa remuknya hati saya  ketika. Atas bantuan seorang teman sepejabat, saya pulang ke rumah keluarga dan maklumkan berita itu kepada orang tua. Saya tidak mahu bersembunyi apa-apa daripada mereka kerana ini soal masa depan saya.

Ayah dan mak terkejut yang amat sangat. Seminggu berada di rumah keluarga, Adam datang memujuk supaya saya kembali kepadanya. Tidak mungkin saya termakan pujukannya, saya sudah hati tawar. Saya tidak sanggup terus hidup bersama lelaki sepertinya.

Saya bukan bola atau anak patung yang boleh diperlakukan sesuka hati. Kalau hari ini dia sanggup sepak terajang saya, tidak mustahil apabila kami ada anak kelak dia buat perkara sama. Saya tidak sanggup membayangkan keadaan itu, daripada menyesal kemudian hari lebih baik saya bertindak sekarang.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Saya kesal dengan apa yang terjadi kerana jauh di sudut hati, saya amat menyayanginya. Walaupun kecewa, saya redha jodoh setakat itu saja.

Saya mahu bangkit dan meneruskan kehidupan. Saya terima semua yang berlaku dengan hati terbuka kerana ujian ini mengajar saya menjadi lebih cekal. Pada masa sama, bersyukur kerana ibu bapa dan keluarga sentiasa di sisi untuk memberi sokongan.

Buat Adam, mudah-mudahan Allah membuka pintu hati Awak untuk berubah dan menjadi lelaki yang bertimbang rasa. Kepada pembaca di luar sana, hati-hati apabila memilih pasangan hidup. Hari ini, bukan mudah mendapat lelaki yang baik, bertanggungjawab dan memahami. Jadi, pandai-pandailah memilih jangan sampai tergadai kebahagiaan diri.

*Demi kepentingan bersama, nama individu terbabit disamarkan tanpa mengubah kisah sebenar seperti mana diceritakan kepada penulis. Kami mengalu-alukan perkongsian cerita dan pengalaman anda. Emelkan kepada unit editorial (perhatian kepada: penulis ruangan Relung Hati), inspirasimagazine@gmail.com

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply