Sunday, May 20, 2018
HomeRelung hatiAlahai Bibik Yani…

Alahai Bibik Yani…

HARI ini, khidmat pembantu rumah bagaikan satu keperluan penting bagi kebanyakan keluarga. Saya dan suami antara pasangan suami isteri yang memilih menggunakan pembantu rumah (bibik) untuk menguruskan rumah tangga dan menjaga anak ketika kami keluar bekerja.

Advertisements

Pada mulanya, saya memang mengelak daripada mengaji bibik, tetapi memikirkan keselamatan dan keselesaan anak (sebab pernah ada kes anak bergaduh dan dipukul di pusat jagaan kanak-kanak) saya akur. Suami juga lebih suka kalau begitu. Katanya, lebih selamat dan memudahkan saya.

Alhamdulillah, rezeki kami apabila mendapat bibik yang baik, penyayang dan pandai memasak. Dia pandai bawa diri dan tidak banyak kerenah. Pendek kata, senang berurusan dengannya.

Paranoid
Sayangnya, masuk tahun kedua dia membantu saya menguruskan rumah tangga dan menjaga anak, saya berasa semakin tidak selesa. Terus-terang, saya rasa tersaing dengan kelebihan yang dimilikinya. Apatah lagi saya nampak anak dan suami semakin rapat dan selesa dengannya.

Senang cakap, nama dan perbuatan Bibik Yani selalu meniti di bibir mereka hingga saya rasa rimas. Saya cuba bersangka baik kepadanya, malangnya cukup melemaskan emosi saya setiap kali memikirkannya.

Apabila saya luahkan kepada suami, katanya saya paranoid! Masakan saya berasa tersaing dengan bibik sendiri, sedangkan saya lebih berpendidikan tinggi, berkerjaya dan bergaya. Ya, secara logiknya memang saya tidak perlu bimbang, tetapi bak pesan seorang teman, “Lelaki, kalau sudah gelap mata, bini cantik macam artis pun dia tak nampak.” Itulah yang sentiasa menghantui fikiran dan emosi saya, sampai tumpuan di tempat kerja terganggu.

Memang saya tidak nafikan, Bibik Yani baik orangnya. Sopan, mendengar kata dan paling saya lega, dia pandai memasak serta kreatif mereka resipi sendiri. Kami sekeluarga sahaja yang serasi dengan hasil air tangannya, malah keluarga mertua juga sering memuji kesedapan masakannya.

Seperkara lagi, dia memang pandai ‘beli jiwa’ orang. Bayangkan, sewaktu Mak dan Ayah mertua balik dari mengerjakan umrah, mereka turut membelikan jubah dan aksesori untuk Bibik Yani. Begitu juga suami saya, setiap kali balik dari outstation pasti ada buah tangan untuk si bibik. Aduhai…bimbang hati saya memikirkan penerimaan baik keluarga padanya.

Mungkin betul kata suami, saya terlalu paranoid, tetapi kebimbangan saya berasas, bukan? Isteri dan ibu mana tidak bimbang, kalau suami dan anak serta keluarga mertua melayan bibik dengan baik sekali, mengalahkan darah daging sendiri.

Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu menunjukkan kebimbangan itu di hadapan Bibik Yani. Saya perlu cover line supaya dia tidak rasa ‘terjejas’ dan bertindak bukan-bukan kepada keluarga saya. Pada masa sama, saya perlu jaga ‘reputasi’ diri di depan suami. Saya tidak mahu dicop sebagai ‘isteri yang cemburu buta’.

Ambil alih
Sebagai wanita yang berpelajaran tinggi dan berkerjaya, saya perlu bijak mengawal emosi serta mengatur strategi untuk menjaga kerukunan rumah tangga. sekali gus menjaga ‘keselamatan’ suami daripada ‘digula-gula’ wanita lain. Paling penting, sebelum suami dan anak beralih kasih lebih baik saya berjaga-jaga.

Saya menggunakan strategi ‘kasih sayang’. Secara halus, saya cuba mengambil alih sedikit demi sedikit tugas yang sebelumnya ‘diserahkan’ kepada Bibik Yani. Bermula dengan memasak sendiri untuk keluarga, menyediakan pakaian mereka hingga lama-kelamaan, tugas Bibik Yani hanya sekadar mengemas rumah, cuci pakaian dan memantau anak ketika saya keluar bekerja. Walaupun saya lebih sibuk daripadanya, tetapi saya puas hati.

Pada awalnya memang dia mempersoalankan cara saya melayaninya, dia cukup bimbang kalau-kalau saya sebenarnya ada rancangan mahu memberhentikan perkhidmatannya. Maklumlah, semua kerja rumah kebanyakannya saya lakukan sendiri dan dia sekadar membantu kalau perlu sahaja.

Alhamdulillah, menggunakan teknik ‘mengawal’ secara kasih sayang lebih mudah dan berkesan daripada melancarkan perang dingin. Hubungan saya dan Bibik Yani juga tetap baik seperti biasa. Paling penting, saya berjaya memenangi hati suami dan anak. Keluarga mertua juga sering memuji saya kerana pandai menguruskan rumah tangga walaupun ada pembantu rumah.

Syukurlah kerana saya telah berjaya mengawal emosi dengan baik dan dapat menyelesaikan semua kebimbangan secara waras. Saya juga berharap, kaum wanita di luar sana dapat manfaat daripada perkongsian ini.

* Seperti mana diceritakan kepada penulis Inspirasi Magazine.

comments

FOLLOW US ON:
P. Ramlee The Musica
Takut Lakukan Hubung

nishaeimann@gmail.com

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Rate This Article:
NO COMMENTS

LEAVE A COMMENT

Optimized with PageSpeed Ninja