Alun Perungggu Apresiasi Gamelan Melayu

0
Sayangnya, mutakhir ini, jarang sekali kita dapat menyaksikan sebuah persembahan gamelan dalam repertoire yang panjang.

Sayangnya, mutakhir ini, jarang sekali kita dapat menyaksikan sebuah persembahan gamelan dalam repertoire yang panjang.

Joget Gamelan merujuk kepada satu kumpulan kanak-kanak perempuan yang menzahirkan sebuah penceritaan dengan melakukan gerak tari, diiringi pemuzik gamelan yang hanya dipersembahkan di dalam istana sahaja. Joget Gamelan berasal dari istana Kerajaan Riau-Lingga di Pulau Penyengat, Riau dipercayai wujud sejak kurun ke-17.

Seni tradisi ini kemudiannya di bawa ke Pahang dan dipersembahkan di Tanah Melayu pada 1811 di sebuah istana di Pekan bersempena dengan perkahwinan DiRaja di antara kerajaan Riau-Lingga dengan kerajaan Pahang. Residen British, Frank Swettenham telah menulis dalam catatannya ‘Malay Sketches’ pada tahun 1878 mengenai persembahan gamelan di Istana Pahang.

Sayangnya, mutakhir ini, jarang sekali kita dapat menyaksikan sebuah persembahan gamelan dalam repertoire yang panjang. Apa yang kedapatan hari ini, muzik gamelan lebih banyak mengisi majlis rasmi sebagai muzik latar atau mengisi persembahan tarian untuk satu atau dua jenis tarian sahaja. Justeru, Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) mengambil satu inisiatif untuk mengangkat kesenian ini agar khalayak dapat melihat bagaimana gamelan Melayu mampu berkembang dalam arus kontemporari.

Berita baik buat anda khususnya penggemar seni tradisional, pada 17 November 2015 ini, bertempat di Blackbox ASWARA (bermula jam 4 hingga 6 petang dan 8.30 hingga 10 malam) PuTRA, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan meneruskan lagi siri Gema Seni Tradisional dengan membawakan persembahan kesenian gamelan.

Gema Seni Tradisional berjudul ‘Alun Perunggu’ ini akan mengangkat seni persembahan dari tertib istana kepada sebuah kesenian kontemporari dalam satu malam. Program satu hari ini dibahagikan kepada dua iaitu Bual Bicara bersama tokoh jemputan dan persembahan yang akan dijayakan secara gabungan antara tokoh gamelan Melayu dan para pelajar ASWARA.

Sebelum ini melalui program Gema Seni Tradisional, PuTRA telah membawa tiga buah kesenian tradisional ke pentas Kuala Lumpur. Kesenian terbabit, makyung melalui persembahan Main Makyung, wayang kulit membawa dalang Cina  untuk persembahan wayang kulit Siam dalam persembahan Angin Wayang dan mengangkat seni caklempong dalam persembahan Garitik Gereteh. Alun Perunggu merupakan kesinambungan usaha untuk mendekatkan khalayak kepada kesenian tradisional.

Mengungkap keindahan seni gamelan
Perunggu, kata nama yang merujuk khusus kepada sejenis campuran logam yang dihasilkan untuk menghasilkan sebuah cerek gamelan. Campuran antara logam besi dan tembaga ini, menjadikan cerek gamelan mengeluarkan bunyi bermutu.

Bunyi yang kedengaran dari cerek perunggu menguasai ruang dan gemanya sayup berlapis-lapis. Perunggu memberi rasa bunyi yang jauh berbeza dari kualiti logam lain, kerana itu Perunggu sangat sinonim dengan gamelan.

Istilah Alun Perunggu dijadikan tajuk persembahan ini, cuba mengungkap keindahan dan keistimewa seni gamelan. Gema yang terhasil dari kesan penghijrahan antara nusantara terus hidup hingga ke hari ini.

Persembahan Alun Perunggu dibahagikan kepada tiga bahagian;-
• Tradisi Istana
Mengetengahkan lagu tradisi dalam Joget Gamelan yang mengiringi tarian dan nyanyian seperti Ayak-Ayak, Timang Burung dan Ketawang. Persembahan seni tradisi ini menyingkap kembali zaman kegemilangan Joget Gamelan, menyelami lemah gemalai tarian, nyanyian serta permainan gamelan Melayu yang klasik, seperti mana zaman kegemilangan Joget Gamelan. Sebagai sebuah persembahan istana, segmen ini akan cuba membawa sebuah gaya persembahan dalam tertibnya.

• Tradisional Kontemporari
Mempersembahkan lagu komposisi kontemporari dengan pendekatan tradisi Malaysia dan Nusantara. Karya yang dihasilkan mencetus kreativiti segar dan mengangkat nilai estetika baru.

• Moden Pop
Seiring perkembangan citarasa muzik semasa, eksperimentasi secara muzikal membentuk pelbagai genre baru di mana alat muzik moden diasimilasikan bersama gamelan melayu, menghasilkan karya komposisi moden yang berlatarbelakangkan pop dan fusion.

Tokoh gamelan
Alun Perunggu turut mengundang beberapa orang tokoh berpengalaman dalam persembahan gamelan. Selain menjayakan persembahan, mereka turut bersembang dalam sesi ‘Bual Bicara’ akan membincang dan meninjau secara sepintas lalu perkembangan seni gamelan di Malaysia melalui pengalaman-pengalaman tokoh yang dijemput. Seramai empat orang panel/tokoh akan berbicara iaitu
• Haji Abdul Khalil Hassan (guru dan penggiat muzik gamelan sejak awal muzik ini dibawa keluar dari istana Terengganu. Abdul Khalil atau dikenali sebagai Bob Khalil menyertai Kumpulan Budaya Negara (KBN) pada awal tahun 1970an dan menjadi antara pelopor pengembangan kesenian gamelan di Malaysia. Bersama En. Nik Mustapha Nik Mohd Salleh, dia telah memindahkan notasi gamelan Melayu untuk tujuan pengembangan. Inisiatif ini telah memberi manfaat kepada pembelajaran gamelan hingga ke hari ini. Selain berkhidmat di KBN, Bob Khalil pernah berkhidmat di Kumpulan kesenian DBKL dan kini menjadi Adiguru Gamelan ASWARA. Bob Khalil turut dikenali sebagai komposer antara lagu ciptaannya yang popular ialah Ku Ingin Selalu Disamping Mu nyanyian Uji Rashid dan lagu tema drama bersiri Opah.)

• Othman Abdullah (berasal dari salasilah pemain gamelan Istana Terengganu. Arwah ibunya, Allahyarham Adnan Abdullah atau dikenali sebagai Mak Nang. Sejak kecil berada dalam lingkungan istana dan dibesarkan keluarga yang mempersembahkan gamelan, ternyata ia menyuburkan minatnya untuk menguasai dan memperjuangkan kesenian ini. Ketokohannya dalam kesenian ini telah membawanya berkhidmat dengan Kumpulan Budaya Negara dalam tahun 1980an dan memberi peluang menjelajah dunia. Kesempatan itu juga membuka peluang kepada Othman menguasai seni muzik Melayu serta mengetuai kumpulan gamelan KBN hingga hujung perkhidmatannya.)

• Hamzah Abdul Hamid (mendapat pendidikan awal di Kuala Terengganu. Sewaktu melanjutkan pelajaran dalam bidang Microbiologi di ITM, Shah Alam, dia dikenalkan dengan muzik gamelan. Dari situlah minatnya tumbuh dan mendorongnyau menyertai kumpulan SUKTRA. Atas kredibilitinya, Hamzah mengetuai kumpulan gamelan SUKTRA dari tahun 1997-2000. Dia anak didik guru gamelan termasyhur, Othman Abdullah dan turut mendapat bimbingan daripada tokoh lama seperti Abdul Jabar Abdullah (Pak Bor) dan YM Tengku Hilmi Tengku Abdul Halim (cucu kepada  Sultan Sulaiman dan Tengku Ampuan Mariam).

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply