Tuesday, Jul 17, 2018
HomeRelung hati“Andai ini takdir-Nya, aku redha…”

“Andai ini takdir-Nya, aku redha…”

BERKAHWIN pada usia 21 tahun, terlalu mentah untuk saya memahami dan menjalankan tugas sebagai isteri dengan baik. Apatah lagi bersuamikan lelaki panas baran, dua tahun hidup bersama tubuh saya berbirat sana sini.

Pergaulan juga terbatas kerana suami cemburu buta, pantang nampak yang tidak berkenan di matanya, saya disepak terajang tanpa belas. Setiap hari, saya hidup dalam kesakitan dan ketakutan.

Advertisements

Kalau hanya didera secara fizikal, saya mampu bertahan hidup bersamanya. Apabila dia ada perempuan lain untuk apa lagi saya terus berkorban. Saya sayang dia, tetapi malang kasihnya sudah tertumpah kepada yang lain.

Selepas dua tahun bertahan dan berpura-pura kuat, akhirnya kami bercerai. Tuhan sahaja Maha Mengetahui, betapa sedihnya melepaskan orang dikasihi pergi ke pangkuan orang lain. Sukar untuk menerima hakikat itu, tetapi saya tidak lagi mampu berpura-pura bahagia depan orang lain.

Setelah lima tahun hidup menjanda, keluarga terutama Mak mendesak saya kahwin lagi. Kata Mak, dia sakit hati tiap kali orang bercerita hal saya. Lumrah, ramai yang memandang serong kepada wanita berstatus janda. Padahal mereka tidak tahu, tiada seorang wanita pun sanggup menjanda.

Bukan saya tidak cuba membuka hati pada lelaki lain, tetapi rata-rata yang cuba mendampingi sekadar mahu berfoya-foya sahaja. Pada usia 27 tahun, saya tidak berminat untuk mencari teman suka-suka. Sebaliknya, menjadi pendamping yang mampu membimbing dan menemani saya hingga ke akhir hayat.

Mak bersungguh-sungguh mahu saya berkahwin lagi dan mempunyai zuriat. Lalu dia memperkenalkan Badrul*, seorang lelaki berusia 32 dan berperwatakan sederhana, tetapi agak menarik. Kata Mak, lelaki itu daripada keluarga baik-baik, hati saya semakin terpikat.

Syukur, selepas enam bulan, keluarganya datang meminang saya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu, betapa gembiranya saya ketika itu. Pendek kata, saya rasa begitu bertuah kerana mengahwini lelaki yang cukup matang dan bertanggungjawab.

Reka cerita
Sayangnya, kegembiraan itu hanya seketika. Rupa-rupanya keluarga Badrul tidak menyukai saya. Alasannya, saya janda! Memang mengejutkan, tetapi saya redha asalkan suami melayani dengan baik.

Justeru, walaupun layanan daripada keluarga mentua agak dingin, terutama ipar-duai saya tidak ambil hati. Saya cuba mengambil hati mereka sebaik mungkin. Sayangnya, bukan mudah memenangi hati mereka yang penuh prejudis kepada wanita yang pernah menjadi janda.

Lebih menyedihkan apabila mereka menuduh saya menggunakan ilmu hitam untuk menundukkan Badrul. Ya Allah, besarnya tuduhan itu tetapi saya pendamkan sahaja. Mereka juga sanggup mereka-reka cerita supaya ibu mentua bencikan saya. Kononnya saya ini perempuan miang, mata duitan dan kaki bomoh. Bukan itu sahaja, makanan yang saya masak juga dituduh ada ubat guna-guna. Kesan daripada cerita itu, layanan ibu mentua semakin dingin.

Keadaan itu membuat saya sedih dan rasa cukup tertekan, apatah lagi saya tinggal bersama mentua kerana Badrul memang tinggal bersama ibunya sebelum berkahwin dengan saya lagi.

Hampir setahun hidup sebumbung dengan mentua, saya pujuk suami untuk pindah agar kami dapat belajar hidup berdikari. Dia menolak dengan alasan kasihankan ibunya. Apabila saya bangkitkan mengenai adik-beradiknya yang selalu datang bertandang ke rumah, dia marah-marah dan tuduh saya tidak mahu membantunya menjalankan tanggungjawab sebagai anak.

Saya tiada masalah untuk tinggal bersama mentua, tetapi saya tidak tahan dengan sikap adik-beradiknya yang suka menyindir dan menuduh tanpa usul periksa. Saya sedar, saya tidak sempurna seperti mereka. Saya tidak minta untuk bercerai-berai. Berdosakah saya kerana pernah menjadi janda? Apakah janda seperti saya tidak layak mengecapi kebahagiaan?

Bertahan lagi
Demi kebahagiaan rumah tangga yang baru kami bina, saya berusaha memujuk hati supaya terus sabar dan bertahan. Apatah lagi saya sedang mengandung anak sulong kami. Saya tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri, jadi saya harus cekalkan hati untuk mengharungi dugaan ini.

Malangnya, kebencian mereka pada saya semakin menjadi-jadi. Bukan itu sahaja, anak saya yang ketika itu baru berusia tiga bulan turut menjadi mangsa. Ketika itu saya dan suami ke klinik untuk mendapatkan rawatan susulan. Pada mulanya saya mahu bawa anak bersama, tetapi suami suruh tinggalkan pada kakaknya. Walaupun ada rasa cuak, tetapi saya serahkan kerana tidak mahu suami berkecil hati.

Balik dari klinik, saya dapati anak sedang menangis dan hampir jatuh dari dalam buaian. Waktu itu, tiada seorang pun menjaganya. Apabila ditanya mengapa membiarkan anak saya begitu, jawab kakak ipar anak saya cuma menangis bukan mahu mati!

Saya terkesima mendengar kata-katanya itu. Saya pandang muka suami, tetapi tiada reaksi. Dia hanya diam seribu bahasa dan berlalu masuk ke dalam bilik. Ya Allah, perasaan saya ketika itu sukar dijelaskan melalui kata-kata. Kalau diturut kata hati yang sakit, mahu sahaja saya hamburkan segala kesakitan yang membusung dalam hati ini, namun, keinginan itu hanya bergema dalam hati sahaja.

Saya tidak berdaya menzahirkan semua itu kerana di sudut hati, bagaikan terdengar bisikan halus supay bersabar dan bertenang demi kebaikan bersama terutama hubungan dengan suami.

Keadaan saya ibarat harimau luka. Nampak sahaja lemah, tetapi sebenarnya menunggu masa untuk mengeluarkan taring sekali gus menyerang musuhnya.

Selepas dua tahun bersabar dengan kesakitan itu, saya akur ikatan perkahwinan kami memang tidak dapat diselamatkan lagi. Saya tidak mampu bertahan dan bersabar melayan sikap suami yang hanya berdiam diri membiarkan keluarganya memusuhi.

Kalau dia tidak mampu membela nasib saya dan anak, biarlah saya bela nasib sendiri. Bagi saya, lebih baik lepaskan diri sementara masih muda. Bukan untuk berkahwin lagi, tetapi ketika badan dan jiwa masih kuat untuk menjaga anak sendirian.

Saya tidak takut menjanda, yang penting masa depan anak. Insya-Allah, mental dan fizikal saya bersedia mengharungi semula keadaan ini. Saya juga percaya, setiap musibah daripada-Nya ada hikmah tersendiri. Andai ini takdir-Nya, saya redha. Allah sebaik-baik perancang, Dia Maha Mengetahui rahsia hidup saya.

* Semua nama dalam kisah ini telah ditukar kepada nama samaran untuk melindungi identiti sebenar pencerita dan kisah yang diceritakan.

comments

Perginya Pak Ajis, a
Pesona gaya si hi

mediawriter1@gmail.com

Rate This Article:
NO COMMENTS

LEAVE A COMMENT

Optimized with PageSpeed Ninja