Anuar Zain teruja bantu kanak-kanak sakit jantung

0
Anuar bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Intitut Jantung Negara, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub, Ketua Jabatan, Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Dr Hasri Samion dan Pakar Klinikal Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Dr Marshisham Che Mood.

Anuar bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Intitut Jantung Negara, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub, Ketua Jabatan, Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Dr Hasri Samion dan Pakar Klinikal Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Dr Marshisham Che Mood.

“SAYA amat berbesar hati dan terharu apabila dijemput untuk bersama-sama menjayakan program amal ini. Saya anggap ini sebagai tanggungjawab sosial yang harus dilaksanakan. Besar harapan saya, majlis makan malam ini mendapat sambutan sekali gus ramai akan tampil membantu usaha IJN mengumpul dana yang diperlukan,” ujar Anuar Zain, pada sidang akhbar mengumumkan persembahan amalnya untuk kutipan dana tabung Kumpulan Sokongan (Support Group) PCHC, menerusi majlis makan malam ‘Sempurnakan Aku Bersama Anuar Zain’ di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur, pada 5 Disember 2014.

Kata penyanyi tersohor tanahair ini, ibu bapa yang mempunyai anak menghidap penyakit kongenital perlu dibantu bagi meringankan tanggungan pesakit dan keluarga sepanjang proses perawatan dilakukan.

“Saya pernah berada dalam situasi getir seperti mereka (keluarga pesakit jantung) apabila ayah menjalani pembedahan di sini dan perasaan itu sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata. Alhamdulillah, bapa saya selamat melakukan pembedahan ini dan hingga kini dia masih mendapatkan rawatan susulan di IJN, saya juga selalu datang ke sini untuk menghantar bapa mendapatkan rawatan susulan.

Jadi, IJN ini cukup dekat di hati saya. Secara peribadi, saya percaya kita semua dilahirkan dengan fitrah untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan. Kalau kita tidak boleh bantu dari segi kewangan, masih boleh bantu dari segi tenaga. Saya juga yakin, ramai di luar sana berkemampuan menghulur sumbangan untuk tabung Kumpulan Sokongan (Support Group) PCHC yang diwujudkan khusus untuk pesakit dan keluarga kongenital, ” ujarnya ketika ditemui selepas sidang media yang diadakan di Auditorium, Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi Selasa.

Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 44, berkata, persembahannya pada makan malam anjuran Pusat Jantung Kanak-kanak Kongenital (PCHC), IJN itu diadakan secara jualan tiket individu dan meja. Dalam persembahan kira-kira satu jam itu, dia akan menyanyikan lebih 12 lagu popularnya.

Pada majlis itu, Anuar turut meluangkan masa hampir satu jam membuat lawatan ke wad kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di pusat perubatan berkenaan.

Sementara itu, Pakar Klinikal Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Dr Marshisham Che Mood berkata, pemilihan Anuar Zain adalah berikutan artis itu dilihat sebagai ikon kasih sayang dan semua lapisan masyarakat suka personalitinya

Turut hadir pada sidang media itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Intitut Jantung Negara, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub dan Ketua Jabatan, Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Dr Hasri Samion.

Tiket untuk majlis makan malam ini boleh dibeli melalui TicketCharge di talian 03 92228811 atau melayari www.ticketcharge.com.my . Bagi pembelian meja korporat, boleh dibuat terus melalui talian 03 26178430/8317/8465.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply