Arja Lee lancar single pertama

0

BAGI pelakon dan penyanyi, Arja Lee, tiada perkataan terlambat dalam mencapai cita-citanya.  Paling penting, dia tidak sekali-kali mengaku kalah atau berhenti berusaha untuk merealisasikan impiannya itu. Justeru, kemunculan single pertama, Cerita Pada Mereka menjadi bukti kesungguhannya dalam dunia nyanyian.

arja2

Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 30, berkata, dia tidak kisah mengenai pandangan orang lain kerana dia bekerja keras untuk memastikan kerjaya seninya terus berkembang.

“Menjadi penyanyi adalah impian saya sejak kecil. Dek minat, saya beberapa kali mencuba nasib dalam beberapa program realiti tetapi rezeki tidak menyebelahi saya. Penghasilan single ini adalah usaha dan bukti saya serius mahu menjadi bergelar penyanyi,” ujarnya ditemui selepas pelancaran single pertamanya berjudul Cerita Pada Mereka di Lambang Sari, Istana Budaya di sini semalam.

Tambah Arja, arwah ibunya yang meninggal dunia tahun lalu adalah pemangkin semangat terbesarnya untuk terus bertahan dalam industri ini.

“Saya mengalirkan air mata kerana teringatkan arwah ibu kerana dia tidak sempat melihat kejayaan saya. Ketika menyanyi lagu pertama saya itu, saya membayangkan dia berada di hadapan saya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai Cerita Pada Mereka, Arja berkata, lagu itu dicipta khas komposer dan penulis lirik Keroz Nazri dua tahun lalu. Bagaimanapun dia tidak mahu terburu-buru mengeluarkan single berkenaan dan memilih 2014 untuk melancarkan karier nyanyiannya.

Walaupun menghasilkan single pertamanya, Arja berkata, dia tidak akan meninggalkan dunia lakonan kerana cabang seni itu yang menaikkan namanya dalam industri seni tempatan. Apatah lagi, jadual lakonannya penuh hingga penghujung tahun ini dan bersyukur bakatnya semakin diterima baik produksi dan peminat.

“Minat sebenar saya memang nyanyian, tetapi lakonan yang telah menaikkan nama saya. Paling penting pengurusan masa, insya-Allah semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya.

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply