Azab ditusuk besi 4 jam

0

KOTA KINABALU: Pipinya tertusuk sebatang besi penutup parit sepanjang satu meter, namun Huguan Isaac, 10, tabah menahan kesakitan tanpa mengalir setitik air mata sebelum diberi bantuan empat jam kemudian, semalam.

Murid Tahun Empat Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sacred Heart itu, hanya duduk tanpa bergerak dengan sebatang besi menembusi pipinya selepas salah seorang rakannya dikatakan terpijak hujung batang besi berkenaan menyebabkan ia melantun ke atasnya.

Huguan bersama rakannya ketika itu dikatakan bermain di luar sekolah selepas tamat persekolahan sesi pagi, kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) selepas batang besi itu tidak dapat dikeluarkan oleh orang ramai serta anggota Bomba dan Penyelamat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata kejadian disedari oleh orang awam di kawasan terbabit sebelum menghubungi bomba yang kemudian mengiringi mangsa ke hospital selepas besi berkenaan tidak dapat dikeluarkan.

cucuk besi2

Jalani pembedahan
Katanya, mangsa yang dipindahkan ke Hospital Kanak-Kanak Kota Kinabalu di Likas, menjalani pembedahan mengeluarkan besi berkenaan jam 3.55 petang dan berakhir jam 4.30 petang.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin, berkata pihaknya menerima panggilan jam 12.51 tengah hari sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi, namun tidak melakukan sebarang operasi dan hanya mengiringi kenderaan orang awam yang membawa mangsa ke hospital.

Seorang pengawal keselamatan sekolah berkenaan berkata, ketika kejadian beliau mengawal lalu lintas di luar kawasan sekolah sebelum ibu kepada seorang murid memaklumkan berhubung kejadian itu.

“Tanpa berlengah, saya ke tempat kejadian dan mendapati seorang murid sedang terduduk dengan sebatang besi menembusi pipinya. Mangsa kelihatan lemah dan cuba mengeluarkan batang besi berkenaan, namun saya menenangkannya supaya tidak banyak bergerak,” katanya yang enggan dikenali.

Katanya, pada mulanya batang besi itu masih bersambung pada penutup parit yang sudah berkarat dan hampir reput, sebelum mematahkan dengan menggerakkan batang besi berkenaan.- Berita Harian

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply