Azian Hasan realisasikan mimpi jadi nyata

0
Daripada sekadar angan-angan, akhirnya mampu dizahirkan ke alam nyata.

Daripada sekadar angan-angan, akhirnya mampu dizahirkan ke alam nyata.

“ANDAI berani bermimpi, harus juga da keberanian untuk merealisasikannya.” Begitu kata orang bijaksana, sebagai pelambangan ‘mencabar’ kesungguhan sesiapa sahaja yang mahu menzahirkan impian mereka dan Azian Hasan (45)  juga tidak terkecuali. Daripada sekadar angan-angan, akhirnya mampu dizahirkan ke alam nyata.

Walaupun hanya bekerja dari rumah (menjalankan perniagaan secara atas talian), namun itu bukan penghalang bagi wanita berusia 45 tahun ini meraih impiannya. Benarlah, tiada perkara yang mustahil seandainya dilakukan dengan gerak gempur tanpa kenal erti putus asa, apatah lagi menyerah kalah. Paling penting, sentiasa memahat keyakinan bahawa di mana ada usaha di situ pasti ada jalan kejayaan. Selain selalu ingat, “yang bulat tidak datang bergolek yang pipih tidak datang melayang”.

“Saat mimpi itu wujud, perasaan saya berbaur dan hanya Allah saja Maha Mengetahui. Walaupun ketika ‘mimpi-mimpi’ itu memenuhi alam khayalan saya, rasanya agak mustahil untuk dilaksanakan. Syukur, berkat sabar dan usaha, akhirnya membuahkan hasil yang sungguh mengujakan.

“Memiliki buku masakan sendiri adalah pencapaian cukup bermakna buat saya. Dapat melihat dan memegang impian yang akhirnya ada dalam genggaman menjadi pengalaman luar biasa yang sukar untuk saya luahkan melalui kata-kata. Alhamdulillah, buku Siri Idea Bento yang himpunan 44 resipi terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd., mendapat sambungan cukup menggalakan. Sesuatu yang benar-benar diluar jangkaan saya,” kata Azian Hasan, bercerita mengenai buku masakan sulong, siri idea bento ‘Idea Bekal Ke Sekolah Menu Asia’,  yang berjaya dihasilkan paada pertengah tahun 2014.

Kongsi minat dan ilmu
Minat ibu kepada tiga orang anak ini pada dunia masakan dipupuk sejak usia remaja, apatah lagi dia membesar dalam keluarga yang sering dikelilingi saudara-mara, teman dan jiran terdekat.

“Sejak kecil lagi saya sudah terbiasa berkumpul dengan saudara di dapur, masa bersama dan boleh dikatakan dapur menjadi gelanggang yang mengeratkat hubungan juga kasih sayang kami. Jiran juga baik-baik, saling berkunjung, makan bersama dan berbalas makanan. Biasalah orang kampung, jiran tetangga macam keluarga sendiri.

Memasak dan mencuba resipi baharu memang sudah menjadi kebiasaan sejak dulu, terutama belajar petua orang lama berkait dunia masakan. Sampai sekarang saya mempraktikannya dan gembira kalau dapat berkongsi dengan orang lain, jadi saya kongsikannya di dalam blog peribadi yang saya beri nama mrsgoodthingshome.blogspot.com dan sekarang beralih ke blog menggunakan nama sendiri, Azianhasan.com .”

Menurut anak jadi kelahiran Kampar, Perak ini, hampir setiap hari dia memasak makanan kegemaran suami dan anaknya. Pada masa sama, turut meluangkan masa berkongsi resipi dan tip memasak di dalam blognya itu.

“Selain resipi, saya juga suka berkongsi tip memasak. Kalau sekadar letak resipi di blog, rasa macam tak puas hati. Saya rasa seronok apabila dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan orang lain. Misalnya, cara buat karipap. Resipinya memang banyak, tetapi cara membuatnya berbeza-beza. Cara dan tip yang saya tahu itu, saya kongsikan dengan orang lain supaya dapat membantu mereka khususnya buat yang pertama kali mencuba .

Walaupun kurang mahir menulis, tetapi saya suka bercerita terutama berkaitan dunia masakan dan hubungan kekeluarga juga kasih sayang. Bagi saya, food is memories. Setiap makanan ada cerita tersendiri. Makan juga sebagai tanda cinta dan kasih sayang dalam hubungan. Misalnya, makanan mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan, menambat dan mengikat kasih sayang pasangan suami isteri, anak juga teman. Makanan juga boleh jadi modal untuk berbual dan berkumpul,” ujarnya yang mengakui gembira dan terharu kerana hingga kini suami dan anaknya masih membawa bekalan makanan hasil air tangannya.

Tambahnya, dia bertuah kerana minat serta keinginannya itu mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga terutama suami, Mior Azhar.

“Suami selalu ‘kejar’ supaya saya selalu menulis. Kadangkala saya sibuk dan hanya sempat letak gambar beserta resipi saja, dia akan bising-bising. Pendek kata, suami memang pendorong dan pembakar semangat utama hingga saya berhasil mempunyai buku masakan sendiri.

Anak-anak juga banyak beri idea dan cadangan resipi untuk dicuba. Walaupun sudah dewasa, tetapi mereka juga lebih suka bawa bekal yang saya sediakan berbanding beli makanan di luar. Ini secara tak langsung memberi semangat luar biasa kepada saya untuk mencuba banyak perkara baru,” ujarnya yang suka menjamu keluarga dan kenalan dengan hidangan istimewa yang dimasak sendiri.

Bukan kejar populariti
Berpeluang menghasilkan buku masakan sendiri bagaikan bulan jatuh ke riba. Saat angan-angan menjadi kenyataan, bukan nama atau populariti yang diharapkan. Sebaliknya, apa yang terlintas dibenaknya hanya keinginan mahu berkongsi ilmu dan pengalaman dalam skala lebih luas lagi.

“Apabila pihak penerbit bersetuju untuk menerbitkan buku Idea Bekal Ke Sekolah – Menu Asia dan Menu Ala Barat, besar harapan saya agar buku himpunan resipi mudah ini dapat membantu memberi idea kepada lebih ramai suri rumah untuk menyediakan bekal buat anak mahupun suami.

Semua resipi yang saya himpunkan telah dicuba dan ada antaranya menjadi menu wajib untuk anak mahupun suami. Selain dapat menjimatkan wang, makanan dibuat daripada bahan yang ada di dapur kita saja. Di dalam buku ini, saya berkongsi jua tip untuk anak yang cerewet dengan makanan. Saya selalu dengar keluhan ibu bapa yang merungut, anak mereka tak suka makan sayur. Dalam himpunan resipi idea bekal ke sekolah ni ada beberapa resepi yang di dalamnya mengandungi pelbagai jenis sayur tetapi anak tak akan perasan,” kata Azian yang kini sibuk menyediakan himpunan resipi untuk buku ketiganya.

Ringkas dan mudah
Himpunan lebih daripada 40 resipi dalam buku Siri Idea Bento ini memberikan idea kepada pembaca dalam menyediakan bekal sama ada untuk anak, suami mahupun diri sendiri. Setiap resipi dalam buku ini disertakan gambar cara membuat. Resipinya ringkas, mudah disediakan dan enak.  Selain tidak menggunakan bahan perasa tambahan, resipi yang dikongsikan sesuai untuk menjaga kesihatan.

Azian juga berkongsi tip berbento bagi suri rumah yang sibuk. Penyediaan bahan lebih awal serta sos yang disediakan terlebih dahulu menjadikan penyediaan bekal bukanlah sesukar yang dijangka. Dapatkan buku ini di pasaran bagi mendapatkan idea baru dalam penyediaan bekal untuk anak anda.

Share on Google+1Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply