Bekas banduan dipenjara 10 tahun, 3 sebatan kerana rompak, rogol

0

Seorang bekas banduan hari ini dipenjara 10 tahun dan dikenakan tiga sebatan Mahkamah Sesyen Ampang di sini kerana merompak dua lelaki dengan bersenjatakan kayu dan besi, serta merogol seorang wanita berumur 20 tahun, pada Jun tahun lalu.

Hakim Chan Jit Li menjatuhkan hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan itu terhadap Yusuf Othman, 37, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes dibicarakan semalam.

Yusuf yang melakukan semua kesalahan itu selepas seminggu dibebaskan daripada penjara kerana kesalahan merompak, kemudian diperintahkan mahkamah supaya menjalani hukuman penjara 10 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap pada 17 Ogos tahun lalu.

Bagi dua pertuduhan merompak, dia didakwa bersama tiga lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang juruteknik, Mohd Nazrin Safai dan rakannya, Mohd Zaimramzi Mohd Noor, masing-masing berumur 25 tahun, di tempat letak kereta Flat PKNS, Taman Keramat, Hulu Kelang di sini pada 11.30 malam, 24 Jun tahun lalu.

Antara barang yang dirompak ialah sebuah kereta, sebuah motosikal, tiga telefon bimbit, seutas jam tangan dan seutas gelang tangan berwarna perak.

Yusuf, dari Taiping, Perak turut didakwa merogol seorang wanita berumur 20 tahun dalam sebuah rumah kedai di Sentul, di sini pada 5.10 pagi, 25 Jun tahun lalu.

Bagi kesalahan merompak, dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan manakala bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang kedua-duanya membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Mengikut fakta kes, ketika ketiga-tiga mangsa tiba di flat itu, mereka didatangi beberapa lelaki yang menyerang menggunakan kayu dan batang besi.

Barangan berharga mereka kemudian dirompak lelaki berkenaan manakala wanita itu pula dibawa menaiki kereta oleh Yusuf sebelum dirogol. Beliau berjaya melepaskan diri sebelum membuat laporan polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ummi Aliza Ab Kadir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu.- BERNAMA

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply