Berkereta kuda di Pantai Batu Burok

0
DSC01004

Kereta kuda berhias cantik ini memeriahkan suasana sekitar Pantai Batu Burok, Terengganu.

NYAMANNYA tatkala dibuai tiupan angin segar Laut China Selatan yang sepoi-sepoi bahasa, dengan deretan pohon rhu meliuk lentok cukup mendamaikan fikiran apatah lagi jauh seketika dari hiruk-pikuk kota. Ya, berehat di tepi pantai memang antara pilihan tepat untuk mencari ketenangan.

Terengganu memang terkenal dengan keindahan dan keunikan pantainya. Salah satu yang menarik perhatian, Pantai Batu Burok. Terletak berhampiran Bandaraya Kuala Terengganu,  memudahkan pengunjung bertandang ke sini sama ada bersama pasangan atau keluarga.

Pantai Batu Burok menjadi pusat tumpuan pengunjung sama ada penduduk tempatan mahupun pelancong. Suasana waktu petang di sini cukup meriah dan ceria dengan suasa gelak ketawa pengunjung. Bertambah ramai apabila hujung minggu dan cuti persekolahan.

Selain Prasarana seperti taman permainan, pondok rehat dan tandas awam disediakan untuk keselasaan pengunjung. Jadi, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik  antara  riadah berkuda, memancing, jamuan reunion, BBQ, bermain bola sepak pantai dan banyak lagi. Gerai makan berdekatan juga menyajikan aneka juadah menarik yang pastinya memikat selera anda dan keluarga.

Di beberapa sudut pantai, kelihatan penjual layang-layang sibuk melayan telatah pelanggan. Anak kecil riang bermain-main di gigi air. Oh ya, jika anda gemar aktiviti berkuda, di sini juga ada perkhidmatan menunggang kuda untuk kanak-kanak mahupun dewasa.

Lebih menarik, turut disediakan kereta kuda berhias. Perkhidmatan ditawarkan pada harga RM5 (untuk kanak-kanak) dan RM10 (untuk dewasa) bagi tiga pusingan sekitar pantai. Jadi, anda boleh menaikinya bersama keluarga sambil merakam kenangan indah di atas kereta kuda yang dihias cantik bak taman diraja.

“Saya mula bawa kereta kuda ini sejak umur 13 tahun sampai sekarang. Kereta kuda ini milik ayah dan kami ada enam kereta kuda berhias. Di pantai ini memang ramai orang, terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah. Macam hari ini, saya dapat rehat sekejap-sekejap saja sebab ramai nak naik kereta kuda kami. Alhamdulillah,” kata Huda, 18, antara pengusaha perkhidmatan kereta kuda berhias di Pantai Batu Burok.

Ya, pendek kata, Pantai Batu Burok sentiasa menjadi tumpuan ramai. Justeru, kunjungan anda ke Terengganu pasti tidak lengkap tanpa singgah di pantai ini.

 

 

 

 

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply