Bertemu Kekasih Lama, Runtuh Istana Bahagia

0
runtuh-3

“Sepanjang empat tahun hidup bersama suami, pada zahirnya memang kami bahagia. Cuma, sayangnya perasaan saya kepada suami, kosong.” (Gambar sekadar hiasan)

“Awak tentunya pernah dengar kata-kata ni, ‘Tak bau syurga seorang isteri yang berlaku curang di belakang suaminya.’ Saya, ni, jangan kata bau syurga, rasa bahagia di dunia pun tak layak saya nikmati. Semuanya berpunca daripada silap diri sendiri, terlalu ikutkan kata hati,” kata Ika* (33) memulakan bicara dalam pertemuan kami di sebuah kafe hipster di tengah ibukota. Air muka Ika kelihatan tenang saja, tetapi sepasang matanya yang redup itu bagai menyembunyi gejolak di hati.

Selepas beberapa minit menenangkan emosinya, ibu kepada tiga orang anak ini kembali menyambung cerita yang tergantung tadi;

“Semuanya bermula tiga tahun lepas, waktu saya bertemu semula dengan bekas kekasi dalam satu pertemuan bersama kawan-kawan kolej. Pertemuan biasa saja, bukan majlis reunion. Kebetulan saja, seorang teman jemput minum petang di rumahnya dan beberapa kawan sekolej juga datang ketika itu termasuk dia.

“Saya sebut saja namanya ‘R’. Dulu, waktu zaman belajar kami sepasang kekasih yang sangat bahagia dan dicemburi ramai. Kami juga berjanji untuk hidup bersama lepas tamat pengajian. Sayangnya, tiada jodoh antara kami. Dia berkahwin dengan wanita lain, saya pula terima calon suami pilihan keluar.

“Sepanjang empat tahun hidup bersama suami, pada zahirnya memang kami bahagia. Cuma, sayangnya perasaan saya kepada suami, kosong. Saya rasa, apa yang saya lakukan sepanjang perkahwinan kami hanya sekadar melaksanakan tanggungjawab kepada suami dan anak.

“Saya tak nafikan, suami baik orangnya. Walaupun dia sentiasa sibuk dengan kerja, tetapi dia ketua keluarga yang bBertanggungjawab dan tak banyak kerenah. Cukup senang menjaga kebajikannya, keluarga mentua juga menerima dan melayan saya dengan baik. Pendek kata, tiada yang kurang dalam rumah tangga kami. Cuma, seperti yang saya katakan tadi, perasaan saya kosong. Tiada cinta dan sayang seperti sepatutnya.”

Ika kembali diam, menyedut air minumannya dan berkali-kali cuba melarikan pandangan dari renungan penulis. Seolah-olah tidak mahu penulis menyelongkar ke dalam benak rasanya. Beberapa ketika, dia mengeluh. Lemah.

Kembali bersinar
“Kehadiran “R’ bagaikan mengembalikan sinar dalam hati saya. Dia buat saya rasa kembali hidup dan ceria. Pertemuan semula itu solah-olah memberi saya harapan baru. Harapan untuk kembali mengecapi kebahagiaan yang kami tinggalkan dulu. Saya berasa seperti baru dipanah cinta pertama, kehadirannya turut mengubah rutin hidup saya sebagai suri rumah sepenuh masa.

“Paling ketara, saya tidak lagi berasa kosong dan ‘mati’. Saya tahu, saya sedar, perbuatan saya melayan perasaan itu salah dan berdosa, tetapi saya tak mampu membohongi hati sendiri. Saya masih cintakan ‘R’ dan menyayanginya seperti dulu. Saya juga selalu berangan-angan dapat kembali kepadanya.

“Walaupun sudah kembali bercinta dengan ‘R’, saya tak pernah lupa tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Saya uruskan seperti biasa, cuma perasaan saya untuk suami semakin dingin dan pudar yang tinggal hanya rasa hormat dan kewajiban sebagai seorang isteri.

“Sepanjang berhubung semula dengan ‘R’, suami tidak tahu atau syak apa-apa. Saya jaga sebaik mungkin rahsia besar itu, bukan kerana takut tetapi saya tak mahu dia terluka. Dia terlalu baik dan saya sedar, saya tak sepatutnya berpelakuan begitu kepadanya. Hingga suatu malam, tepatnya selepas dua tahun ‘kembali’ ke pangkuan cinta ‘R”, rahsia besar yang saya cuba sembunyikan itu terbongkar.

“Ibarat kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah. Bagai gajah, mana mungkin dapat ditutup selama-lamanya. Puncanya, saya lupa padam mesej ‘R’ dalam Whats app. Ayat-ayat “I miss you“, “I need you“, I always love you” kirim ‘R’ itu memang mengundang perang besar.

“Malam itu, saya didesak sejauh mana hubungan dengan ‘R’. Sudah sampai ke tahap mana, sekadar perasaan atau sampai ‘naik ke katil’. Saya terkejut, saya tak sangka suami akan berfikir sejauh itu, tetapi saya tidak salahkan dia sepenuhnya. Cuma saya kesal, dia sanggup fikir sampai ke tahap itu.

runtuh

Saya terkejut, saya tak sangka suami akan berfikir sejauh itu, tetapi saya tidak salahkan dia sepenuhnya. Cuma saya kesal, dia sanggup fikir sampai ke tahap itu.” (Gambar sekadar hiasan).

“Ya, betul saya istri yang curang, tetapi saya tidaklah sampai ke tahap berzina. Perasaan saya pada ‘R’ sangat suci, saya cintakan dia dan tidak akan menodai cinta kami dengan perbuatan haram itu. Malangnya, suami tidak percaya. Berkali-kali dia minta saya bersumpah. Sejak rahsia itu terbongkar hubungan dengan suami sangat teruk, daripada seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab, dia berubah menjadi kasar dan panas baran. Beberapa kali dia mengasari saya, keadaan itu berlanjutan hampir enam bulan.”

Putus ikatan
“Hampir setahun cuba bertahan dan berusaha memperbaiki rumah tangga kami, tetapi tetap tak mampu mengembalikan kepercayaannya. Sebaliknya, hubungan kami semakin buruk dan menakutkan. Dia tuduh saya perempuan murahan dan tidak boleh dipercayai. Dia tuduh saya perempuan kotor dan tidak layak dijadikan isteri. Lebih teruk lagi, dia mempertikaikan status anak dalam kandungan saya.

“Saya cukup sedih dengan semua tuduhnya itu. Betul saya bersalah kepadanya, tetapiĀ  saya sudah bertaubat. Saya juga tidak lagi berhubungan dengan ‘R’, walaupun pada awalnya ‘R’ enggan tetapi demi kebaikan rumah tangga saya, dia sanggup beralah. Sayangnya, suami tidak percaya. Setiap masa dia mengungkit kecurangan saya kepadanya, tetapi peliknya tidak tidak mahu menceraikan saya.

“Saya rela diceraikan daripada emosi terus didera dengan tuduhannya yang melampau itu. Apalah gunanya dia ‘menyimpan’ saya sebagai isteri, sedangkan tiada lagi kepercayaannya kepada saya? Buat apa saya terus ada di depan matanya, sedangkan dia sudah benci melihat saya? Anak yang baru dilahirnya langsung tidak disentuhnya, seolah-olah jijik. Pandangannya kepada anak kami itu cukup membuatkan saya sayu dan terluka. Anak kecil kami itu tidak berdosa, malangnya kehadirannya terpalit dek dosa dan kekhilafan saya sendiri!

“Saya tidak tahu, berapa lama lagi dia sanggup ‘menyimpan’ saya. Saya rela ditalakkan jika itu mampu merawat luka dihatinya. Saya sanggup hidup menjanda, andai itulah kifarah atas dosa kecurangan saya. Saya rela, saya redha.”

* Kata Ika, tahun ini genap dua tahun hubungan dingin itu berlarutan. Tiada tanda-tanda akan pulih dan kembali seperti sedia kala, malah semakin jelas kebencian itu ditunjuk. Dia sudah cuba beralah kerana sedar semua itu berpunca daripada kesilapan diri sendiri. Ika buntu, baginya penceraian adalah jalan terakhir. Jika itu jalan yang harus dilaluinya, dia redha sepenuhnya.

* Nama dan tempat kejadian telah disamarkan demi kepentingan bersama.

 

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply