Bijak guna kemudahan online

0
online biz2

Kesibukan kerja mereka yang tidak menentu berurusan secara online sedikit sebanyak membantu menjimatkan masa. (Gambar: Sekadar hiasan)

BEGITU pantas masa berlalu meninggalkan kita, pejam celik sudah bertukar hari…minggu…bulan dan tahun. Zaman berubah, sekali gus mengubah banyak perkara. Ini termasuk gaya hidup seharian kita, kalau dulu kita sanggup menempuh kesesakan lalu lintas semata-mata untuk membeli-belah. Sekarang, ramai lebih selesa berurusan secara online. Jangan kata pakaian, aksesori, kasut, pencuci mulut, barang keperluan dapur juga dibeli secara online. Hebat ‘kan perubahan zaman.

Saya tak terkecuali, cuma tidaklah terlalu terikut-ikut. Mana-mana yang sempat dibeli di kedai, tetap selesa beli-belah secara manual. Alasannya, lebih puas hati dan rasa terjamin. Hehehe!

Saya juga suka tengok anak-anak buah di pejabat yang leka membuat belian secara online waktu rehat atau sebelum balik kerja. Saya faham, kesibukan kerja mereka yang tidak menentu berurusan secara online sedikit sebanyak membantu menjimatkan masa. Pilihan juga semakin banyak dan menarik, kadangkala saya sendiri ‘kantoi’ dan tumpang beli sama. Terutama baju dan pencuci mulut (misalnya, kek, puding dan biskut), mana tahan mata pandang saja. Akhirnya, klik jua. Hurmmm…!

Anda macam mana? Pasti ada barang yang anda pernah beli secara online, walaupun cuma sekali, bukan? Cuma pesan saya, sentiasa berhati-hati. Pastikan urus niaga anda dengan pihak penjual, sah dan terjamin. Begitu juga apabila mahu membeli produk makanan tambahan seperti vitamin, jamu, kolagen dan lain-lain. Semua produk itu harus ada sijil pengesahan daripada Kementerian Kesihatan. Jangan main beli saja, kesihatan anda adalah tanggungjawab sendiri. Jangan menyesal di kemudian hari.

Seperkara lagi, pastikan anda berurusan dengan peniaga online yang berdaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Peniaga online yang tidak mendaftarkan perniagaan adalah satu kesalahan dan  boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Peniaga online yang melakukan urusniaga di Facebook, Mudah.my, website, blogspot dan apa-apa sahaja medium pengiklanan online wajib mendaftar dengan SSM walaupun  hanya berniaga dari rumah, secara sambilan serta tidak mengaut keuntungan yang banyak. Ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada unsur penipuan pembelian secara online selain memastikan peniaga mematuhi etika perniagaan.

Oh, saya tidak berhajat mahu ‘berceloteh’ panjang di ruangan ini. Semoga perkongsian di atas mendapat manfaat bersama. Kata orang, beringat-ingat sebelum kena. nota3Oklah, jumpa lagi di lain nota ye. Salam sayang buat semua pembaca InspirasiMagazine.Com yang sentiasa memberi sokongan kepada kami. Saya tinggalkan anda seketika dengan petikan kata-kata daripada French Proverb, “Enough is better than too much.”

 

Terima kasih.

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Editor in Chief

21 tahun pengalaman dalam bidang penulisan, kewartawanan dan penerbitan bukan untuk dibanggakan. Sebaliknya, setiap waktu belajar perkara baru. Mengutip sebanyak mungkin pengalaman dalam perjalanan hidup, belajar daripada kesilapan kerana itulah 'guru' dan 'penasihat' paling telus.

Leave A Reply