Dua maut motosikal bertembung

0

KemalanganKUALA PILAH: Seorang mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan seorang tukang besi, terbunuh selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung sesama sendiri di Kilometer 2 Jalan Kuala Pilah-Tampin, jam 10.40 pagi tadi.

Kedua-dua mangsa iaitu Amirul Zamri, 22, dan Chin Kok Shong, 51, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di alami di kepala dan badan masing-masing akibat perlanggaran kuat motosikal berkenaan.

Menurut sumber, Amirul dipercayai dalam perjalanan pulang dari UNITEN, Bangi, Selangor menuju ke rumahnya di Desa Permai, Selaru, Johol, dekat sini sempena cuti hujung minggu dan Hari Malaysia.

Katanya, Chin pula dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Senaling untuk ke tempat kerja di sebuah bengkel besi di pekan Kuala Pilah.

Sumber berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, Amirul dipercayai cuba memotong sebuah kereta, namun gagal mengawal kenderaannya dan bertembung dengan motosikal ditunggangi Chin.

“Pertembungan kuat itu katanya, menyebabkan kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian, manakala motosikal mereka rosak teruk,” katanya.

Ketua Polis Daerah Superintendan Azmi Abdul Rahim dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengetahui punca kemalangan.

Katanya, kes disiasat mengikut Sesyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najijah untuk bedah siasat. Harian Metro

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply