Fariz tak gentar cabar diri

0
Mohamed Fariz tidak kekok menjadi 'home baker' lelaki.

Mohamed Fariz tidak kekok menjadi ‘home baker’ lelaki.

TIDAK betah bekerja dalam suasana tidak menyenangkan, membuat jejaka berusia 32 tahun ini nekad meninggalkan kerjaya sebagai Pembantu Peribadi dan pendapatan lumayan demi mencari kepuasan yang diidamkan termasuk dari segi pengurusan masa.

Nyata, langkah beraninya itu berbaloi. Kini, Mohamed Fariz Rosli selesa dengan kerjaya barunya sebagai home baker. Walaupun kedengaran janggal, namun dia tidak pernah berasa segan dan malu seharian di dapur menghasilkan produk hasil air tangannya sendiri. Sebaliknya dia bangga dan puas kerana dapat melakukan sesuatu yang diminati.

“Saya memang minat memasak, selepas berhenti kerja saya tak fikir cara lain untuk menjana pendapatan. Bagi saya, tiada salahnya menjadi home baker lelaki. Sebaliknya saya rasa pilihan ini tepat sekali gus nampak unik. Lagi pun, ketika ini tak ramai lelaki yang menjadi home baker.

Pada masa sama saya nak cabar kemampuan diri, maksud saya mengusahakan sesuatu yang saya minat menjadi lebih serius dan mampu menjana pendapatan. Alhamdulillah, pilihan saya membuahkan hasil,” kata Mohamed Fariz ketika ditemui Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Sambutan menggalakan
Di bawah jenama ‘Daphor Duta Kelantan’, pelbagai produk makanan dihasilkan sendiri, antaranya; Kek, Biskut, Puding, Ketupat Sotong dan lain-lain. Selain menjualnya di kafe sekitar Pengkalan Chepa dan Kota Bharu, produk yang dihasilkan mula menjengah pasaran Singapura.

“Alhamdulillah, sejak tahun 2014 saya mencuba nasib memasarkan produk untuk pelanggan di Kota Singa. Sambutannya cukup memberangsangkan, boleh dikatakan setiap bulan saya akan ke sana untuk menghantar tempahan.

Saya menggunakan jaringan media sosial seperti facebook, instagram dan twitter untuk buat promosi sekali gus dapat pelanggan baru. Selain menyertai pelbagai aktiviti jualan terbuka secara berkumpulan menerusi ‘Kelantan Bakers’.”

‘Duta Kelantan’
Selain sibuk mengusahakan perniagaannya, dia juga memperuntukan waktu untuk melakukan aktiviti mempromosikan negeri kelahirannya. Walaupun dilakukan atas dasar suka-suka, namun usahanya itu tidak boleh dipandang remeh.

Menerusi media sosial misalnya, dia yang menggunakan nama ‘Duta Kelantan’ (untuk akuan instagram) banyak membantu mempromosikan Kelantan termasuk seni dan kebudayaan, makanan serta tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi.

Ikuti rakaman perbualannya bersama wartawan InspirasiMagazine.Com di saluran youtube.com/inspirasimagazinechannel untuk cerita selanjutnya.

 

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply