FMFA 2014: Menteri terlibat sila beri penjelasan

0

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menggesa agar menteri yang terlibat dalam membenarkan penganjuran acara muzik terbesar, Future Music Festival Asia (FMFA) yang berlangsung sejak Khamis lalu tampil memberi penjelasan.

Presidennya, Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, persetujuan yang diberikan itu diluar pedoman agama serta adat resam negara ini.

“Menteri yang terlibat perlu ada pedoman dalam membuat sesuatu dasar atau keputusan.

“Jadi, kepada menteri yang berkenaan sila tampil untuk memberi penjelasan dan bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Tambah Abdullah Zaik lagi, penganjuran festival seumpama itu hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan hukum agama serta kesannya pada akhlak anak muda.

“Saya lihat mereka hanya memandang sudut kewangan dan kononnya mahu negara ini menjadi hab hiburan.

“Tanpa mengira hukum hakam agama dan kesannya kepada akhlak serta peribadi remaja kita. Yang datang memang dari pelbagai negara tapi saya tak rasa itu akan menaikkan imej negara kita pun,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tiada bantahan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) terutamanya Isma sebelum ini, beliau akui pihaknya tidak mendapat maklumat mengenai penganjuran festival berkenaan.

“Saya rasa ramai (NGO) yang tidak tahu. Aktiviti seperti ini dibuat senyap-senyap sebab itu kita tak sempat bantah. Kalau tahu awal, memang kami akan buat bantahan.

“Malah logiknya, tidak munasabah festival itu diadakan di mana negara kita sedang dalam keadaan sedih. Macam tak ada perasaan,” katanya.

Awal pagi Sabtu, enam orang termasuk tiga wanita, meninggal dunia akibat penggunaan dadah selepas mengalami sesak nafas ketika menonton konsert FMFA di Stadium Bukit Jalil.

Ekoran kejadian tersebut, persembahan pada hari ketiga konsert itu dibatalkan. – Sinar Harian

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply