Gara-gara tak puas bersama suami

0
Saya sayangkan rumah tangga kami, anak-anak juga sangat rapat dengan suami, tetapi bagaimana dengan keperluan batin saya? (Gambar sekadar hiasan)

Saya sayangkan rumah tangga kami, anak-anak juga sangat rapat dengan suami, tetapi bagaimana dengan keperluan batin saya? (Gambar sekadar hiasan)

“Saya berkahwin dengan Hakim* sejak lapan tahun lalu atas dasar suka dan cinta. Pada zahirnya, kehidupan rumah tangga kami kelihatan bahagia dan lengkap dengan kehadiran tiga orang cahaya mata. Hakikatnya, semua itu bagaikan sebuah lukisan yang cantik semata-mata.

Tidak saya nafikan, Hakim memang seorang suami serta ayah yang baik, bertanggungjawab dan tak banyak kerenah. Pendek kata, pakejnya sebagai lelaki hampir sempurna. Pun begitu, manalah ada manusia yang serba sempurna dalam dunia ini. Walaupun sedar akan kenyataan itu, tetapi ada ketikanya saya kalah dengan tuntutan emosi.

Bukan niat saya untuk membuka aib suami, sekadar mahu berkongsi rasa dan mohon pendapat serta nasihat daripada mereka yang sudi membantu. Begini, saya tahu hubungan kelamin bukanlah faktor utama yang menentu kebahagiaan sesebuah perkahwinan, tetapi berapa ramai antara kita yang mampu menafikan keperluannya dalam menjamin keharmonian rumah tangga?

Bagi saya sendiri yang mengalaminya, saya harus akui hubungan kelamin adalah satu daripada faktor penting untuk membina jalinan kasih dan keharmonian dalam rumah tangga. Apabila keperluan itu tidak dipenuhi dengan sebaiknya, saya berasa sangat kecewa dan terganggu.

Terus-terang saya katakan, setiap kali bersama suami pasti akan berakhir dengan rasa sedih, kecewa, marah dan tidak puas hati, namun perasaan yang hebat bergejolak dalam hati itu hanya mampu saya pendam sendirian. Pernah, ya saya pernah luahkan masalah itu pada suami. Malangnya, tiada tindak balas positif yang mampu menyelesaikan masalah kami. Dia tetap begitu, berada di zon selesa tanpa memikirkan secara serius kesannya ke atas diri juga emosi saya. saya sangat kecewa!

Lebih memalukan, saya terpaksa menggunakan beberapa cara ‘bodoh’ dan terlarang demi memuaskan keperluan batin sendiri (tetapi tidaklah sampai ke tahap berzina dengan lelaki lain). Saya tak tahu berapa lama keadaan ini akan berterusan. Saya benar-benar buntu setiap kali memikirkannya.

Saya sayangkan rumah tangga kami, anak-anak juga sangat rapat dengan suami, tetapi bagaimana dengan keperluan batin saya? Saya berasa tidak adil apabila hanya suami saya yang mencapai kepuasan seksnya, sedangkan hasrat terabai. Sampai bila saya mampu bertahan dengan sikap suami yang hanya mementingkan diri sendiri?

Arghhh! Buntu memikirkannya. Saya sangat berharap, ada sinar bahagia akan menyinari hati saya. Sejujurnya, saya sangat menyayangi suami saya. Tak pernah terlintas difikiran untuk berpisah dengannnya, tetapi saya sangat bimbang akan godaan syaitan yang begitu gigih menggoncang kesetiaan dan iman saya.

Ya Allah, setiap saat saya berdoa agar masalah ini ada penyelesaiannya. Paling penting, penyelesaian baik untuk semua terutama anak-anak kami. Buat teman pembaca semua, saya mengharapkan doa, nasihat dan kata-kata semangat daripada anda semua. Semoga ada yang sudi membantu menunjukkan jalan penyelesaian kepada saya dalam menghadapi masalah ini. Terima kasih.”

 

*Demi kepentingan bersama, nama individu terbabit disamarkan tanpa mengubah kisah sebenar seperti mana diceritakan kepada penulis. Kami mengalu-alukan perkongsian cerita dan pengalaman anda. Emelkan kepada unit editorial (perhatian kepada: penulis ruangan Relung Hati), inspirasimagazine@gmail.com

 

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply