Gegaran rock maksima Search, 3 dekad yang ‘awet’

0
Nyata sekali, usia hanya sekadar angka. Gumpalan tenaga yang begitu padu dan teguh tidak hanya meresap dalam tubuh mereka.

Nyata sekali, usia hanya sekadar angka. Gumpalan tenaga yang begitu padu dan teguh tidak hanya meresap dalam tubuh mereka. Search, tiga dekad yang ‘awet’ di persada seni tanahair. Sesuatu yang harus dibanggakan.

MENAKJUBKAN! Sepanjang dua jam konsert Search Live In Istana Budaya berlangsung, adrenalin penulis melonjak dari awal hingga akhir genderang Search membingitkan setiap ruang dan sudut Panggung Sari.

Hati puas walaupun entah berapa kali memujuk dan menahan kaki daripada bangun berdiri menzahirkan keterujaan menyaksikan persembahan mantap dan penuh bertenaga kumpulan legenda rock tanahair ini. Cukup (dengan terpaksa) sekadar berpuas hati duduk sambil menghentak-hentak kaki di lantai.

Nyata sekali, usia hanya sekadar angka. Gumpalan tenaga yang begitu padu dan teguh tidak hanya meresap dalam tubuh mereka, malah semangat juang Search pada muzik rock mereka sejak tiga dekad lalu.

Mata terpukau melihat kelincahan Amy yang bagaikan remaja belasan tahun bergedik dan meliuk lentok seiring rancaknya paluan drum (, petikan gitar luar biasa daripada Nasir, Kid dan Din juga gesekan cello yang mengasyikan daripada kumpulan Paladin. Sungguh luar biasa! Tambah bermakna, ini penampilan kali pertama Search di Istana Budaya selepas 33 tahun bertapak dalam industri muzik tanahair.

Konsert anjuran Urban Creative Synergy (UCS) Sdn Bhd ini, menyaksikan Search menggamatkan suasana dengan dendangan 21 lagu hit mereka sejak ditubuhkan pada tahun 1981, antaranya Panggung Khayalan, Kejoraku Bersatu, Laila Namamu Teratas, Langit dan Bumi, Menuju Puncak, Balada Pemuzik Jalanan, Tong Kosong, Pelesit Kota, Isi Atau Kulit, Fantasia Bulan Madu, Isabella, Gadisku, Dairi Habil Qabil, Gothic Malam Edan, Fenomena dan Pawana.

Tanpa perlu terlalu bersungguh-sungguh untuk mempamerkan kebolehan dan kemampuan mereka untuk menarik perhatian ribuan penonton, rockers ‘otai’ tampil penuh yakin di posisi masing-masing dan menzahirkan aura yang masih berbisa, namun kredibiliti mereka amat terserlah tatkala sesekali, mereka turut ‘menggila’ pada beberapa irama yang dimainkan sekali gus menghanyutkan penonton dalam nostalgia muzik rock yang dibawa Amy dan rakan-rakannya. Siapa yang betah diam menonton aksi bertenaga mereka di pentas gah itu?

Menyentuh kualiti vokal Amy, penyanyi ini kelihatan begitu bersahaja melaksanakan tugasnya dengan mempraktikan teknik ‘play save‘ begitu profesioanl apabila mengajak segerombolan penontonnya nyanyi bersama. Nyata, ‘permainan’ vokalis berusia 56 tahun ini cukup dinantikan peminat tegarnya. Manakan tidak, diberi peluang berpadu suara bersama satu-satunya kurigan rock legenda  yang tiada duanya, malah turut bergema gegak-gempitanya memenuhi ruang panggung. Bukankah itu ruang cantik yang tidak harus dilepaskan dengan kebisuan!

Energi membara Yazid
Dada diserbu rasa sebak dan terharu saat susuk tubuhnya kelihatan di atas podium khas bersama set drumnya. Walaupun keadaan kesihatannya sangat meruncing kerana menanggung kesakitan penyakit buah pinggang, namun tidak sekali-kali menghalang pemain drumnya, Yazid Ahmad tampil beraksi bersama rakan lain.

Muncul di pertengahan konsert, Yazid dengan semangat juang yang tinggi dan demi cintanya pada muzik Search mempamerkan permainan penuh bertenaga, membuat persembahan kumpulan rock tersohor ini tambah bermakna bukan sahaja kepada anggota Search, malah kepada peminat mereka.

Semangat ‘degil’ Yazid untuk  menghiburkan hadirin harus dipuji. Biarpun dia hanya bermain  dalam segmen lagu melankolik, dalam situasinya yang dilarang bekerja dan baru keluar hospital beberapa jam sebelum persembahan, memalu drum dengan banyak pergerakan pada tangan dan kaki bukan kerja mudah.

Walaupun hanya dengan sedikit sentuhan, Yazid memanaskan pentas lagu ‘Kejora’, ‘Rozana’, ‘Fantasia Bulan Madu’, ‘Isi dan Kulit’, ‘Isabella’ dan ‘Gadisku’. Segmen khas itu dibuka dan ditutup dengan kemas sekali hingga terlupa, ketika itu dia sedang berperang dengan penyakitnya.

Pemuzik berusia 52 tahun ini, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak tiga minggu lalu dan berada empat hari dalam unit rawatan rapi (ICU).

“Saya lebih sakit kalau tak main drum. Waktu buat persembahan tadi, saya rasa seolah-olah sihat seketika,” ujar Yazid yang pada awalnya tidak mendapat pelepasan doktor untuk beraksi di konsert malam pertama Search kerana bimbang tahap kesihatannya terjejas.

Tambahnya, Jumaat ini Yazid perlu menjalani pembedahan membuang lebihan air yang dijangkiti kuman di dalam ususnya. Bagaimanapun, dia berharap dapat kembali ke Istana budaya untuk konsert malam kedua seterusnya hingga malam akhir pada Ahad nanti.

“Kata doktor, usus saya sudah pecah dan saya kekurangan darah tetapi kalau darah saya kembali cecah 10 ‘point’, doktor beritahu kesihatan saya boleh kembali stabil.

Malam ini, saya kuatkan semangat dan tahan sakit demi membuat persembahan kerana Search sangat dihargai peminat kami. Jadi, kemunculan saya juga sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang tidak jemu menyokong perjalanan seni Search sepanjang tiga dekad ini.

Saya harap pembedahan ini berjalan lancar dan boleh terus sertai rakan Search lain untuk konsert pada malam seterusnya. Sekiranya saya boleh beraksi lagi selepas ini, saya akan ditemani doktor yang akan memantau sepanjang membuat persembahan.”

Kesempurnaan
Begitu sempurnakah persembahan mereka hingga tiada sebaris kelemahan yang mampu penulis catatkan di sini? Jujur kata, saat melangkah masuk ke ruang konsert bukanlah dengan fokus untuk mencari gali tanda-tanda ketidaksempurnaan yang merencatkan persembahan, melainkan hadir untuk turut sama memberi sokongan kepada survival anak seni tempatan. Paling penting, ini masanya memahat kenangan manis menyaksikan legenda yang masih hidup beraksi di hadapan mata. Sementelah yang ditonton kali ini, Search, khazanah muzik rock negara yang tiada gantinya.

Kosongkan minda dengan fikiran negatif dan nikmati seikhlasnya paduan muzik rock negara ini dengan jiwa besar. Kesannya, usai menonton persembahan kugiran tersohor ini pada malam pertama konsert yang berlangsung empat hari berturut-turut bermula Khamis lalu hingga Ahad ini (7 Disember 2014), kepuasan berbekas di hati. Sesungguhnya, tidak rugi sama sekali, bahkan cukup berbaloi bersesak meredah trafik sepanjang jalan ke Istana Budaya.

“Tiada apa-apa yang mahu kami buktikan, melainkan rasa bangga dapat beraksi kali pertama di pentas gah, Istana Budaya untuk berkongsi momen jatuh bangun Search sepanjang 33 tahun dalam dunia seni melalui eksperimen untuk membawa penonton kembali kepada asas dan kesederhanaan Search suatu ketika dahulu.

Nampaknya, melalui persembahan tadi, eksperimentasi kami berjaya. Kami sengaja memilih konsep ‘back to basic‘ bersama alunan cello, penata bunyi yang sangat bagus, band dan live. Kami mahu berkongsi rasa dengan khalayak menerusi lagu dan perjalanan panjang ini, itu sahaja,” kata Amy, dalam sidang akhbar sejurus selepas tamat persembahan pada malam pertama itu.
2014-12-05 12.37.09 Sejujurnya, pesona Search amat luar biasa. Awetnya muzik rock kapak mereka tidak sekali-kali lupus dalam ingatan generasi penggemar yang membesar dengan himpunan lagu hit malar segar. Buat peminat muzik rock generasi baru, menonton Search Live In Istana Budaya ibarat pintu utama untuk anda terus mengenali sekali gus menikmati khazanah muzik mereka.
Tahniah Search untuk 33 tahun yang gemilang dan dilakar dengan manis dalam sejarah muzik rock tempatan!

Kredit foto: Istana Budaya

 

 

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply