Gema Seni Tradisional : “Wayang Kulit Budak”

0

Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA (PuTRA) akan membawakan persembahan wayang kulit Kelantan yang akan menemui khalayak Kuala Lumpur pada 27 Okt 2017.

Acara ini bersempena dengan program Gema Seni Tradisional yang telah dianjurkan oleh PuTRA sejak tahun 2015. Sebagaimana penganjuran yang lalu, melalui Gema Seni Tradisional, PuTRA telah mengangkat beberapa kesenian dan tokoh-tokohnya ke pentas Kuala Lumpur.

Program bersifat apresiasi ini cuba mendekatkan khalayak kota khususnya generasi muda mengenal dan menghayati keindahan seni budaya warisan bangsa. Antara kesenian yang telah dibawakan ialah Makyung dari Pasir Mas, Wayang Kulit oleh dalang cina Eyo Hock Seng, Caklempong, Dikir Barat, Gamelan, Seni Bertabik (main puteri), Ghazal, Dondang Sayang , Keroncong dan terakhir ialah irama Melayu Asli.

Bagi persembahan wayang kulit Kelantan ini, ia bakal menampilkan kanak-kanak berusia tujuh tahun iaitu Kamarul Baihaqi bin Kamarul Baisah. Penampilan adik Baihaqi sebagai dalang ini adalah tampilan sulong dalam persembahan wayang kulit dengan cerita penuh dari Hikayat Rawana.

Lebih istimewa, Baihaqi akan diringi kumpulan pemuzik yang juga terdiri daripada kanak-kanak di bawah usia 15 tahun. Para pemuzik ini dibawa khas dari Kelantan. Justeru, persembahan ini diberi tajuk WAYANG KULIT BUDAK.

Gabungan mereka ini bakal mencipta sejarah buat kesenian wayang kulit tanahair dan pastinya menjanjikan harapan positif dalam usaha melestarikan kesenian ini.

Persembahan ini akan berlangsung pada hari Jumaat, 27 Okt 2017 di Blackbox ASWARA pada jam 8.30 malam. Penonton tidak dikenakan sebarang tiket, tetapi terbuka untuk memberi sumbangan bagi pembiayaan aktiviti kesenian tradisional di bawah PuTRA.

Hikayat Rawana

Persembahan ini mengambil cerita daripada Hikayat Rawana. Setelah Seri Rama dapat memanah pokok lontar 40 pokok maka ujian kedua pula ialah mencabut pokok jelati jawa yang dicipta Maharisi untuk membuktikan siapa yang layak berkahwin dengan tuan Puteri Siti Dewa.

Rawana, Anak Raja Sembilan, Anak Raja Kurang Sa 40 Dan Seri Rama mencuba nasib tetapi hanya Seri Rama seorang sahaja yang dapat mencabut pokok jelati jawa dan akan dikahwinkan dengan tuan Puteri Siti Dewi.

Maharisi ingin mengadakan majlis perkahwinan anaknya dengan Seri Rama secara besar-besaran dengan menjemput semua rakan-rakan. Ketika Maharisi pergi membuat jemputan perkahwinan, Seri Rama sudah kehilangan kesabaran lalu membawa Siti Dewi balik ke dalam negeri Kuala Dua.

Dalam perjalanan balik Rawana telah membuat beberapa tipu muslihat untuk mendapatkan tuan puteri Siti Dewi. Rawana telah membuat satu teniak (wakaf) dan satu kolam yang mempunyai tipu muslihat. Sama-sama kita saksikan sambungannya.

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply