Gosip khalwat, Neelofa terluka

0

APA yang tak pernah diharungi oleh gadis ini? Sejak pertama kali menjejakkan diri di dalam industri seni, pelbagai tuduhan telah dilemparkan kepadanya.

Pada ketika namanya mula meladak satu persatu cerita negatif hadir dan tidak pernah berakhir. Enggan memikirkan kata-kata orang yang memandang buruk terhadap dirinya, Neelofa sedar itu asam garam sebagai anak seni.

Lofa

Terbaharu namanya kembali panas apabila pakaian yang dipakai semasa mengacarakan Anugerah MeleTOP Era 2014 menjadi viral sehingga menyebabkan dirinya dikecam dengan kata-kata kurang enak oleh peminat.

Namun paling terkesan apabila namanya terpalit dengan fitnah terbesar yang dilemparkan sesetengah pihak akhir Disember lalu. Fitnah khalwat yang cukup mengaibkan itu benar-benar berbekas di hatinya.

Meskipun peristiwa tersebut hampir dua bulan berlalu, lukanya masih ada. Bagi wanita yang menginjak usia 25 tahun pada 10 Februari lalu, sukar untuknya melupakan perkara tersebut.

“Belum masuk tahun baru mereka fitnah saya ditangkap khalwat. Saya tak tahu siapa punya kerja tetapi apa yang dikatakan itu tidak benar sama sekali.

“Kalau awak menuduh saya dengan cerita lain tak mengapa tapi fitnah ditangkap khalwat ini melibatkan seluruh keluarga. Sudah tentu perkara ini meragut jiwa mereka kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai macam soalan daripada pihak lain,” luah Neelofa kepada Pancaindera.

Sedih dengan gosip yang mencalarkan maruahnya itu, Neelofa juga tertanya-tanya mengapa ada pihak yang kurang senang dengan dirinya sejak bergelar artis.

Malah pelbagai cerita yang cuba dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu merupakan kisah karut yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dirinya.

Tidak pernah kalah dengan tuduhan dan fitnah tersebut Neelofa hanya mengharapkan mereka agar Allah membuka rasa kasih sayang sesama manusia dan tidak terus menggelapkan hati-hati mereka untuk terus bergelumang dengan dosa.

Tak peduli
Empat tahun bergelumang dengan cabaran di dalam usaha menaikkan namanya, Neelofa yakin masih ada pihak yang sayang kepada dirinya.

Baginya fokus utama bukan untuk ‘menghadap’ cerita-cerita karut tetapi untuk mengembangkan potensi diri.

“Hidup kita sebenarnya indah jika kita buang perasaan hasad dengki dan rasa cemburu pada orang lain. Tak perlu memikirkan kelebihan dan kekurangan orang sedangkan diri sendiri pun tak sempurna.

“Kadang-kadang saya sendiri tak faham mengapa ada lagi orang kurang senang dengan saya. Tak kisah sama ada dia artis atau orang lain sebab saya sendiri tak pedulikan mereka. Saya anggap sesiapa sahaja yang cuba mereka-reka cerita, mengata dan menyebarkan fitnah ini sebagai orang yang tak ada kerja dan tak boleh melihat kesenangan orang lain.

Life is bigger than that. Nista mereka terlalu kecil untuk saya layan,” katanya lagi.

Pelakon filem Lemak Kampung Santan ini juga mempersoalkan mengapa mereka perlu membuat kerja sia-sia untuk menjatuhkan dirinya.

Jika ada yang mahu melihat dirinya merana akibat fitnah tersebut, mereka tidak akan berjaya kerana dia sudah lali untuk berhadapan dengan situasi seperti itu.

“Sama juga yang berlaku di laman sosial seperti Instgram, Facebook mahupun Twitter. Kebanyakan peminat hari ini menggunakan medium tersebut untuk menjatuhkan kredibiliti orang, menabur fitnah dan berlagak baik.

“Lagi canggih teknologi lagi cepat mereka sebar fitnah. Semoga saya tidak termasuk di dalam golongan seperti itu,” tegas pengacara program MeleTOP ini. –Utusan Online/16 Feb 2014

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply