Jamie Oliver auranya memikat

0
jamieoliver1

Chef selebriti ini menjadi inspirasi sekali gus idola ramai chef muda dalam mengolah hidangan.

DIA, tidaklah kacak atau segak bergaya namun auranya cukup luar biasa. Senang cakap, orangnya biasa-biasa sahaja. Dia menjadi seorang yang istimewa apabila menempa nama melalui gaya, teknik dan kemahiran memasaknya yang memikat.

Ya, Jamie Oliver bukanlah nama baru dalam industri kulinari dunia. Chef selebriti berasal dari  Clavering, Essex, England, ini menjadi inspirasi sekali gus idola ramai chef muda dalam mengolah hidangan hingga menyajikannya di atas pinggan.

Makanan sederhana di tangan Jamie kelihatan sangat lazat dan mengiurkan dengan teknik memasak yang selalu membuat siapa sahaja takjub. Jamie Oliver yang juga dikenali sebagai ‘The Naked Chef’ ini  mempunyai cara tersendiri ketika mengolah masakan dan menghidangkannya.

Pendek kata, masakan Jamie ada ‘jiwanya’. Misalnya, cuma menyediakan warm potato salad, tetapi cara dia masak dan mempersembahkannya membuat hidangan kelihatan sangat enak. Begitu juga dalam pembuatan pasta. Hidangan pasta yang biasanya disajikan dalam waktu 10-15 minit, tetapi di tangan Jamie hanya diolah dalam masa dua minit sahaja.

Tidak hanya memiliki kemahiran itu sebagai kelebihannya. Dia memperkenalkan budaya memasak dengan gaya sendiri sesuai usia mudanya. Cergas, ringkas dan mudah diikuti, justeru tidak hairanlah apabila ramai yang terpukau melihat dia beraksi di dapur. Gaya dan caranya itu membuatnya menjadi chef selebriti tersohor.

 

Lahirnya bintang
Mengimbau pembabitannya dalam dunia kulinari, sejak dia suka memasak. Dia masih memasak ketika usianya masih belasan. Dek semangat belajarnya tinggi terutama dalam bidang masakan, dia mengambil kursus kulinari di Westminster Kingsway College. Tamat pengajian, dia bekerja di Antonio Carluccio’s Neal’s Yard, restoran Itali terkenal di kota London.

Tidak lama dia berkhidmat di restoran itu dan berhijrah ke The River Cafe, di Fulham. Di sinilah segalanya bermula. Suatu hari BBC membuat liputan mengenai Christmas at the River Cafe untuk menyambut hari Natal. Tidak hanya membuat liputan pengunjung dan tatahias ruang kafe yang epik, wartawan juga menjenguk ruang dapur.  Ketika itu Jamie leka dengan kerjanya. Lalu jurukamera merakam aksi seorang anak muda dengan gaya rambut tegak tercacak membuat hidangan masakan Itali. Sehari selepas tayangan itu (sekitar tahun 1997), Jamie mendapat panggilan daripada penerbit yang membuat program TV.

Daripada lima penerbit yang melamarnya, dia menerima tawaran Optomen Television untuk program, The Naked Chef.  Alasannya, idea program itu sangat menarik. Dia tidak perlu mencari bahan mahal atau peralatan lengkap untuk membuat makanan lazat. Hanya dengan bahan seadanya, makanan lazat dapat dihasilkan.

The Naked Chef ditayangkan BBC mulai 14 April 1999. program TV itu menyiarkan Jamie memasak makanan enak untuk dihidangkan kepada keluarga dan teman. Meski durasi program hanya 30 minit dan berlangsung sepanjang 6 episod  (disiarkan dua minggu sekali hingga 16 Juni 1999), gaya dan keterampilan Jamie ketika memasak memikat penonton sekali gus menjadi bualan ramai.

Dek sambutan luar biasa itu, pada tahun berikutnya penerbit menambah sepanjang lapan episod. Ketika Jamie menjadi bintang terkenal, malah sepanjang tahun 2000 dia meraih beberapa anugerah antaranya Most Stylish Male TV Personality (Elle Style Awards) dan Best TV Cook (TV Quick Award).

 

Penghargaan
Pada tahun 2002, dia membuka restoran yang digunakan sebagai tempat belajar memasak bagi remaja kurang bernasib baik. Bagi Jamie, usaha itu sebagai tanda terima kasihnya atas kejayaan yang diraihnya.

Kini, apabila menyebut nama ‘Jamie Oliver’, orang tidak hanya akan membayangkan cara memasaknya yang unik, ringkas, santai dan mudah difahami, malah semangat serta kecintaannya pada dunia masakan yang luar biasa. Dengan cintanya itu, dia menempa nama daripada orang biasa-biasa sahaja menjadi bintang yang dipuja dunia. Jamie tidak hanya seorang chef, tetapi selebriti dan pengusaha restoran dan katering serta industri pendukungnya yang berjaya.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply