Jangan jadi mangsa!

0
Gambar hiasan.

Gambar hiasan.

JIKA anda berada di dalam situasi di samun, jangan bertindak melulu untuk berlawan. Fikir dahulu sebelum bertindak. Berkomunikasi dengan penyerang anda dan tanya apa kemahuannya. Jika dia mahu wang dan barang berharga, berikan sahaja. Jika dia mencederakan diri atau mengancam nyawa anda, JANGAN BERKOMPROMI! Anda harus bertindak bijak!
• Jika anda diacu pisau dari depan, jarakkan pisau itu dengan menampar tangan, tendang lutut, pijak kaki penjenayah dan kemudian terus lari.
•Jika diacu pisau atau senjata tajam dari belakang, jangan buang masa! Larikan diri. Anda mungkin terfikir, jika anda lari penyerang akan membaling pisau dan tercucuk di belakang anda. Jangan mudah terpengaruh dengan cerita di telivisyen kerana pisau itu tidak mungkin akan tercucuk di bahagian belakang anda kerana otot badan tidak membenarkannya.
• Jika diacu pisau dari belakang di ruangan sempit dan anda tidak dapat lari terus ke hadapan (seperti anda sedang menghadap ke dinding atau di tandas awam), masih ada cara untuk menyelamatkan diri. Gunakan teknik mudah dengan menendang ke belakang separas lutut penyerang secara perlahan-lahan (atau pantas jika anda berkeyakinan). Berhati-hati jika anda mahu bertindak atau lakukan secara mengejut kerana penyerang mungkin terkejut dan terus menikam anda. Apabila penyerang jauh dari badan anda, larikan diri!
• Jika pisau diacu pada leher anda dari belakang, anda masih boleh selamat dengan kecederaan minimum. Jarakkan pisau di leher anda dengan memegang tangan penyerang sambil berkomunikasi dengannya. Merayu! Menangis! Jika perlu, kemudian secara perlahan-lahan letakkan kaki anda di atas kaki penyerang untuk menimbulkan rasa sakit. Jangan buang masa, walaupun 5-10 saat pertama berhadapan ancaman, anda mungkin keliru. Bertindak bijak dengan mengigit tangan yang memegang senjata/pisau itu supaya terlepas dari pegangan. Setelah itu, tanpa perlu memandang ke belakang anda pijak dan tendang ke belakang separas lutut penjenayah untuk melemahkannya. Terus lari!
• Jika pisau diacu pada rusuk atau di tepi badan, tendang ke sisi/tepi separas lutut secara perlahan-lahan untuk menolak pisau menjauhi anda. Jika penyerang terjatuh, pijak lututnya untuk melemahkan (mencederakan) dan lari.

Bagaimana jika diacu pisau dari belakang di ruangan sempit? Gambar hiasan.

Bagaimana jika diacu pisau dari belakang di ruangan sempit? Gambar hiasan.

Bagaimana jika anda mahu menyelamatkan orang tersayang yang diancam seperti anak, isteri atau ahli keluarga lain? Paling penting, sentiasa bertindak bijak untuk mengurangkan risiko kecederaan pada diri anda dan orang tersayang.  Sewaktu diancam, komunikasi sangat penting untuk mengetahui kehendak penjenayah serta mampu melekakan mereka. Apabila berpeluang, bertindak bijak. Tiga puluh saat pertama adalah keadaan paling kritikal apabila berhadapan penjenayah. Tip berikut mungkin boleh membantu anda dan keluarga selamat daripada bahaya.
• Jika anak atau isteri anda diacu pisau di leher dari belakang, berkomunikasi dengan penyerang untuk melekakannya. Perlahan-lahan cuba mendekati penyerang dari arah pisau diacu.
• Apabila pisau diacu ke arah anda bertujuan menjarakkan anda, ambil peluang memegang tangan penjenayah dan gigit sekuat hati untuk menjatuhkan pisau. Seterusnya, tendang sisi anak atau isteri anda supaya dia terkeluar daripada pelukan penjenayah itu. Tendang lutut penjenayah dan bawa anak lari!
• Jika anda diserang ketika mendukung anak kecil, pegang atau peluk anak seerat mungkin dan pastikan kepala anak dilindungi. Pusingkan badan anda untuk melindungi dan menjarakkan anak daripada penyerang. Pijak dan tendang separas lutut penjenayah untuk melemahkan penjenayah dan lari selamatkan diri!
• Jika anda diserang ketika berjalan dengan anak kecil, pastikan jenis dan kekuatan serangan. Jangan sekali-kali berkompromi jika nyawa anda atau anak menjadi taruhan. Sorokkan anak di belakang anda dan pijak kaki penjenayah. Tendang separas lutut dan lari! Ingat, fokus anda adalah menyelamatkan diri.
• Jerit minta pertolongan dan tarik perhatian orang sekeliling. Penyerang anda mungkin akan terkejut dan melarikan diri kerana takut ditangkap. Jeritan “Tolong! Tolong!” mungkin kurang membantu. Jadi, jeritlah “Api! Api!” untuk menarik perhatian orang ramai membantu anda. Cara ini lebih praktikal kerana mampu membuat orang memberi tindak balas positif untuk membantu anda.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika berhadapan ancaman, kurangkan risiko kecederaan dan membuka ruang untuk melarikan diri. Jangan jadi Hero! Selepas diserang, anda harus membuat laporan polis. Sebaik sahaja terlepas daripada ancaman jenayah, terus ke balai polis bagi memudahkan pihak polis mencari bukti seperti DNA penyerang yang mungkin melekat pada anda.

* Tip daripada: Master Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir (Ph.D. Science Criminology, Pemegang Tali Pinggang Hitam 6 Degree,) Perunding Keselamatan dan Pertahanan Diri.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply