“Jangan lepas geram pada anak” Ben Ashaari

0
"Menjaga anak perlu ikhlas," Ben Ashaari.

“Menjaga anak perlu ikhlas,” Ben Ashaari bersama anak sulongnya, Qhaliff.

MENJALANKAN tanggungjawab sebagai ibu bapa bukan perkara mudah, apatah lagi tatkala anak mula ‘banyak akalnya’. Seringkali, ada segelintir ibu bapa terlepas kawalan sama ada dari segi emosi mahupun tindakan.

Pada zaman ini, kebanyakan ibu bapa sama-sama bekerja. Jadi, masa untuk anak dan keluarga tentunya terhad. Begitu pun, ini bukanlah alasan untuk mengetepikan anak. Selalulah luangkan masa bersama anak, mereka memerlukan belaian kasih sayang daripada ibu bapanya.

Ibu dan bapa harus saling muafakat, jangan lepaskan tanggungjawab menjaga serta mendidik anak kepada pasangan semata-mata. Peruntukan masa sebanyak mungkin dengan anak. Paling penting, kualiti masa yang diluangkan bersama diisi penuh bermakna, sekali gus membuat anak seronok bersama anda.

Anda mungkin pernah mendengar luahan hati isteri yang merungut dan kecewa dengan sikap suami dalam hal menjaga serta mendidik anak. Suami dikatakan liat, malas dan bengkek apabila menjaga anak. Hemmm… Realitinya, tidak semua lelaki seperti itu.

Ada suami yang sanggup mengambil tugas menjaga anak sepenuh masa di rumah. Mereka bersama anak hampir 24 jam dan melayan pelbagai kerenah serta ragam si kecil yang sedang membesar juga lasak. Cukup mengagumkan, bukan!

Misalnya, blogger tersohor, Ben Ashaari yang tidak kekok menjaga dan mengurus keperluan harian dua anaknya. Bagi blogger sepenuh masa ini, menjaga anak memerlukan keikhlasan kerana mereka tanggungjawab dan amanah daripada Allah.

“Tertekan? Geram? Memang ada , tetapi kalau ibu bapa kita boleh membesarkan kita dengan penuh kasih sayang, tak mungkin kita tak boleh. Pokok pangkalnya diri kita, mahu memikul tanggungjawab dan menjaga amanah Allah dengan baik, atau hanya ala kadar saja.

Tugas menjaga dan membesarkan anak adalah tanggungjawab bersama. Jadi, suami isteri harus muafakat. Jangan seorang saja buat kerja, kalau macam itu susah,” kata bapa kepada Muhammad Qhaliff Iman, 2 tahun  dan Zahra Nur Iman, dua bulan.

Elak lepas geram
Tambah Ben lagi, sekiranya berada dalam keadaan tertekan atau penat, jangan sekali-kali melepaskan geram kepada anak.

“Kalau ketika itu kita tertekan, serahkan kepada isteri untuk kawal keadaan. Ambil masa untuk tenang dahulu, sama ada buat solat sunat atau mandi. Elakkan daripada terus selesaikan masalah, kasihan anak kena marah kerana dalam keadaan tertekan kita mungkin melepaskan kemarahan secara tak sedar.

Tak dinafikan, kadangkala saya hilang sabar. Waktu itu, cepat-cepat saya muhasabah diri dengan ingatkan kembali saat anak itu dilahirkan dan dibelai. Insya-Allah, diri akan tenang semula. Berusahalah untuk selalulah ingat dan dekatkan diri kepada Allah, berzikir serta beristighfar.

Sebagai ibu bapa, kita juga kena faham. Anak kecil memang suka mencuba macam-macam perkara baru. Dia hanya tahu hendak mencuba saja. Di mata dia, semuanya mainan. Jadi, kita  perlu cari apa yang mereka minat dan luangkan banyak masa bersama mereka.”

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply