‘JJK’ perkenal produk pelancongan koperasi

0
Jom Jelajah Koperasi salah daripada program mempromosikan produk pelancongan koperasi yang rancak dijalankan setiap tahun.

Jom Jelajah Koperasi salah daripada program mempromosikan produk pelancongan koperasi yang rancak dijalankan setiap tahun.

Jom Jelajah Koperasi Johor (JJK) yang dianjurkan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan majalah Gaya Travel di Johor baru-baru ini telah membuka mata penulis mengenai kelebihan, keistimewaan serta kesatuan dalam koperasi. Selain mendapat gambaran lebih dekat mengenai produk pelancongan koperasi dan aktiviti hiliran yang berkaitan dengannya.

Johor bukan sahaja maju dari segi ekonomi, malah mempunyai potensi, keunikan dan nilai budaya yang mampu melonjakkan sektor itu. Program yang bermula pada 16 hingga 18 Mei 2015 mengetengahkan lima buah koperasi terpilih yang mempunyai keunikan tersendiri sebagai tarikan umum terutama pelancong dalam dan luar negara.

JJK hari pertama: Penjelajahan kami bermula di Koperasi Kampung Sungai Latoh Kong Kong, Masai Berhad., Kampung  yang terletak berhampiran Sungai Johor ini telah dikenal pasti Iskandar Regional District Authority (IRDA) bagi membantu meningkatkan sosio ekonomi melalui industri pelancongan. Bagi memudahkan penyaluran bantuangan kewangan, koperasi ini ditubuhkan yang bertanggungjawab sebagai pelaksana pelan pembangunan kepada penduduk kampung.

Keunikan dan keindahan panorama paya bakaunya berjaya menarik minat pelancong ke sini. Aktiviti eko dan agro tourism yang dijalankan koperasi sering dikunjungi pelajar institut pengajian awam dan swasta untuk melakukan penyelidikan khususnya berkaitan pokok bakau dan hidupan marin. Justeru, di sinilah koperasi berfungsi sebagai penggerak yang bertanggungjawab dalam merencana pembangunan aktiviti perniagaan yang dijalankan di kampung ini.

Dalam siri jelajah ini, penulis dan wakil media lain telah dibawa menyusuri sungai Johor untuk menikmati keunikan, keindahan selain melihat aktiviti ekonomi yang ada di sekitar sungai Johor dengan menaiki bot (berkapasiti 40 orang penumpang dalam satu-satu masa) yang disediakan pihak koperasi.

Botnya cukup selesa dan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang diperlukan. Kami dibawa melihat aktiviti rumah rakit ternakan ikan sangkar, rumah kelong yang menjadi tumpuan kaki pancing dan pembakaran rumah arang. Sayangnya, kami tidak berpeluang melihat aktiviti mencari ‘Siput Gongong’ dan lokan kerana faktor cuaca serta keadaan paras air ketika itu.

Bagaimanapun, kami berkesempatan makan tengah hari di atas rumah rakit. Hidangan hasil nelayan yang segar cukup menyelerakan, apatah lagi dimasak cara kampung seperti Asam Pedas Ikan Merah, Lokan Rebus Serai, Kupang Masak Ungkep dan Udang Masak Masam Manis. Selain Air Kelapa Muda dengan Gula Melaka.

Selepas makan, kami dibawa meninjau aktiviti ternakan madu kelulut yang diusahakan penduduk setempat. Pengalaman melihat dan menyedut madu kelulut asli memang mengujakan.

Pada sebelah malamnya, kami dibawa ke Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Bahru Berhad, untuk majlis perasmian Jom Jelajah Koperasi yang disempurnakan Pengerusi Eksekutif Suruhajaya Koperasi Malaysia, Datuk Lamien Sawijo. Sekali gus acara makan malam.

Terletak di Anjung Senibung, dengan trademark perniagaannya ‘Restoran Warisan Asam Pedas dan Seafood’, menjadi tumpuan pengemar makanan laut dari Johor Bahru dan pelancong luar khususnya Singapura. Kedudukannya di atas laut dengan pemandangan indah panorama menghadap laut selat Tebrau, cukup mendamaikan tatkala menjamu selera.

Menu istimewa yang disediakan di restoran ini ialah masakan asam pedas Johor. Pelbagai ikan segar ada di sini dan pilih saja sesuai selera, antaranya seperti jenahak, kerapu, siakap ikan merah dan pari.

Angin laut yang bertiup sepoi-sepoi bahasa ketika menikmati asam pedas menambahkan lagi keenakan sajiannya yang tidak terungkap dengan kata-kata. Asam pedas yang dihidangkan di restoran koperasi ini adalah asam pedas tradisional Johor. Resipi dalam menyediakannya daripada warisan Kampung Senibung.

Menu lain yang ditawarkan di sini antaranya, ketam telur masin, siakap stim, udang nestum, ikan pari bakar, kupang berlada dan kerang masak lemak cili padi. Semua makanan lautnya segar yang diperolehi daripada nelayan laut Selat Tebrau dan kupang yang disajikan hasil ternakan koperasi sendiri. Restoran ini beroperasi dari jam 10 pagi hingga 12 malam pada setiap Isnin hingga Sabtu dan empat petang hingga satu pagi pada hari Ahad.

JJK hari kedua: Jelajah kemudian ke Koperasi Pemandu-Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad., yang menyediakan perkhidmatan teksi cekap, berkesan dan diyakini pengguna serta pelancong.

Dalam tempoh 19 tahun beroperasi, koperasi ini telah berjaya menguruskan 304 teksi dipandu ahli koperasi di mana 130 daripadanya milik koperasi yang disewa kepada ahlinya. Koperasi telah mendapat suntikan pembiayaan daripada tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) berjumlah RM1.215 juta bagi pembelian 27 kereta Proton Persona untuk dijadikan teksi.

Bagi melengkapkan rantaian nilai perkhidmatan teksi, koperasi telah menyediakan perkhidmatan radio teksi ‘Mawar Radio Teksi’ untuk membantu ahlinya mendapat pelanggan juga membuka perkhidmatan ini untuk disewa mereka yang bukan ahli koperasi. Melalui radio teksi ini, penumpang boleh mendapatkan perkhidmatan teksi lebih cepat dan mudah dengan menghubungi talian 07-2352020. Hanya dengan satu panggilan sahaja, penggunakan akan dibantu 304 teksi yang beroperasi di sekitar Johor Bahru. Selesai selamat dan selesa, tambang yang dikenakan juga secara bermeter mengikut kadar yang diluluskan pihak berkuasa.

Dalam perkembangan lain, koperasi telah membeli dua unit rumah kedai komersial berhampiran kompleks pengangkutan awam Larkin (Larkin Sentral) melalui pembiayaan TMP-JPK. Kedai ini balak dibangunkan dengan perniagaan harga patut melalui usaha sama dengan koperasi lain. Usaha ini cukup menarik dan wajar diberi perhatian kerana melalui koperasi ini ahlinya mampu menjana pendapatan yang baik untuk meningkatkan ekonomi mereka. Selain menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan di Johor Bahru.

JKK hari ketiga: Koperasi seterusnya yang lawati ialah Koperasi Homestay Kampung Parit Bungis Muar Berhad. Kami menginap di inap desa yang diusahakan penduduk kampung selaku ahli koperasi menerusi program Desa Lestari yang dibiayai projek ekonominya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Di sini kami berpeluang menikmati cara hidup dan budaya masyarakat kampung dengan menjadi ‘anak angkat’ penduduk kampung. Antara aktiviti kebudayaan dan kesenian yang menarik perhatian kami seperti tarian kuda kepang, barongan, kempleng dan zapin.

Aktiviti menternak dan memasarkan madu kelulut juga dilakukan di sini, yang diusahakan ahli koperasi di sekitar kediaman mereka. Ada 200 koloni bagi perusahaan madu kelulut di kampung ini dan hasilnya mendapat permintaan tinggi. Selain itu, pihak koperasi memperluaskan aktivitinya dengan mengusahakan tanaman cili fertigasi sebanyak 10 ribu pokok dengan hasil pengeluaran dua tan satu pusingan (bersamaan tiga pusingan setahun).

Aktiviti memasarkan kuih-muih serta produk industri kecil dan sederhana seperti bahulu, kerepek, kuih bangkit, dodol dan lain-lain turut dilakukan bagi menjana pendapatan ahlinya. Selain memasarkan hasil seni dan kraftangan yang dijual kepada pelancong.

Destinasi ‘Jom Jelajah Koperasi Johor 2015’ berakhir di Koperasi Pekebun Kecil Wilayah Johor Selatan Berhad (KOPRIS)., yang menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan. Ahli koperasi terdiri daripada pekebun kecil di wilayah Johor Bahru, Kulaijaya dan Kota Tinggi.¬† Selain menjalankan aktiviti perladangan kelapa sawit yang menjadi ekonomi utama KOPRIS di atas tanah seluas 500 ekar, penternakan ayam daging, lembu pedaging dan lembu susu turut diusahakan di sini.

Bagi mencapai matlamat utamanya untuk meningkatkan sosio ekonomi ahlinya, KOPRIS terus berkembang maju dengan menjalankan pelbagai aktiviti termasuk membangunkan projek Agrotourism di tapak pengeluaran makanan KOPRIS di Mersing.

Projek ini dijalankan secara serentak dengan projek pengeluaran makanan iaitu ayam daging, lembu pedaging, lembu tenusu, tanaman sayur dan lain-lain. Pada masa sama, KOPRIS dalam perancangan membuka Pusat Rawatan Dialisis yang akan beroperasi di tingkat bawah bangunan KOPRIS dengan menempatkan 12 mesin rawatan untuk kegunaan 32 pesakit secara tetap setiap bulan. Projek ini dijangka akan memberi keuntungan kepada koperasi disamping sumbangan kepada komuniti yang memerlukan. rombonganSecara keseluruhannya, penulis menyifatkan program ‘Jom Jelajah Koperasi’ ini sangat sesuai dan bertepatan dengan matlamat untuk mempromosikan produk yang dihasilkan pihak koperasi. Jelas, sektor pelancongan koperasi mampu berkembang pesat sekiranya diuruskan secara profesional selain promosi berterusan bagi memperkenalkan produk pelancongan yang ditawarkan.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply