“Keikhlasan Suria sudah teruji, ‘orang baru’ belum pasti” Zambri

0
Ikutkan nafsu, binasalah bahagia. (Sekadar gambar hiasan)

Ikutkan nafsu, binasalah bahagia. (Sekadar gambar hiasan)

Saya, Zambri. Berusia 37 tahun, suami dan ayah kepada empat orang anak. Hari ini, genap 12 tahun saya mendirikan rumah tangga dan hidup bersama Suria sebagai pasangan suami isteri. Sedekad bersama melayari kehidupan berumahtangga bukan satu tempoh yang mudah, tetapi Alhamdulillah, kami dapat melaluinya dengan baik sekali. Semua berkat keikhlasan Suria menerima saya sebagai suami apa adanya.

Kami berkenalan dan berkawan lebih lima tahun sebelum mengambil keputusan mengakhirinya dengan ikatan yang sah. Sepanjang tempoh itu, Suria tidak pernah mendesak saya hingga ada satu tahap, saya berasa dia tidak serius dalam hubungan kami. Dalam keraguan itu suatu hari saya nekad melamarnya. Syukur, menerima lamaran itu. Rupa-rupanya dia tidak mendesak dan nampak acuh tidak acuh kerana tidak mahu saya tertekan.

Dia tahu, saya sibuk mencari wang supaya ekonomi lebih stabil apabila berkahwin kelak. Saya sangat terharu dengan keprihatinannya itu. Saya berasa lebih bertuah apabila kami menjadi suami isteri, walaupun kehidupan kami semakin selesa dan stabil dia tidak pernah bersikap meminta-minta.

Bawaan dirinya cukup ringkas, walaupun saya mampu memenuhi apa-apa juga kemahuannya, tetapi dia tetap menjalani kehidupan sekadarnya. Tidak pernah minta baju baru setiap bulan atau barang emas setiap kali hari raya atau ulang tahun perkahwinan kami. Sebaliknya saya pula yang sibuk bertanya apa yang diinginkan hingga pernah berasa hati dengannya.

Begitu juga sewaktu dia hamil anak sulong kami, dia langsung tidak menyusahkan saya dengan mengidam itu dan ini. Kesibukan saya tidak pernah diganggu, dia sanggup cari sendiri apabila teringin. Pernah saya tanya dia, tidak mahukan dia dilayan seperti wanita mengandung yang lain. Ditatang bagai minyak yang penuh oleh suami, jawapannya mengejutkan saya.

“Aya (Suria) tak nak semakkan fikiran Abang, lagipun Aya mengidam biasa-biasa saja. Tak susah nak cari atau masak sendiri. Lagipun, Aya hanya bekerja dari rumah. Jadi banyak masa berbanding Abang yang sibuk ke sana sini. Balik rumah tentunya penat dan nak berehat.” Begitu kata Suria, membuat saya berasa sangat terharu dan bertuah menjadi pasangannya.

Ketika sarat mengandung, dia masih menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin. Rumah berkemas rapi, masak sesuai selera saya. Pendek kata, semua keperluan saya dijaga dengan baik. Dia tidak merungut tinggal sendiri di rumah apabila saya perlu bekerja di luar kawasan untuk beberapa hari, dia selalu ingatkan saya jangan bimbangkan dirinya. Ya, dia sangkat berdikari, namun saya tetap risau dengan keselamatan dirinya.

Ketika anak sulong kami lahir, hari ke empat dia sudah masuk ke dapur menguruskan makan minum saya. Katanya, tidak sampai hati tengok saya makan nasi bungkus setiap hari. Walaupun dia kepenatan dan tidak cukup tidur, tetapi dia tidak pernah membentak atau hanyut dalam emosi. Biasanya, dia akan tidur lebih awal kalau penat. Tidur sekadar satu hingga dua jam, kemudian dia kembali sibuk dengan pelbagai kerja yang tidak berkesudahan.

Bukan saya tidak mampu membayar khidmat pembantu rumah, tetapi Suria lebih selesa menguruskan rumah tangga sendiri. Katanya, dia tidak selesa kalau ada orang luar dalam rumah kami. Dia tetap dengan pendiriannya walaupun sudah beranak empat. Semua anak kami, dia urusan sendiri. Saya nampak dia begitu seronok melakukan tugasnya, jarang sekali dia merungut atau melepaskan kemarahan kepada anak-anak. Sebaliknya, saya dan anak-anak dilayan sebaik mungkin.

(Gambar sekadar hiasan)

(Gambar sekadar hiasan)

Mengendeng
Rumah tangga mana tidak dilanda badai, tetapi Alhamdulillah, saya selalu ingat pesan itu. Ikutkan hati, mati. Ikutkan nafsu binasalah bahagia. Bukan tiada wanita lain yang cuba mengendeng, cuba-cuba untuk menggoda kesetiaan saya, malah ada saudara jauh yang ‘menawarkan’ anaknya sebagai isteri kedua, dengan alasan Suria isteri yang baik pastinya tiada masalah kalau minta izin untuk berpoligami. Lagipun, dari segi ekonomi, saya berkemampuan untuk menanggung dua orang isteri sekali gus.

Oh tidak, saya tidak sanggup menduakan wanita sebaik Suria. Dalam hati saya, dia adalah anugerah terbaik kurniaan Allah buat saya. Mana mungkin saya mensia-siakan anugerah itu hanya kerana tuntutan nafsu. Sekali pun Suria memberi izinnya, saya tidak sanggup kerana saya tahu tidak ramai wanita sebaiknya. Dia menerima saya daripada saya tidak punya apa-apa hingga mampu memiliki segalanya.

Sangat tidak adil rasanya apabila sudah memiliki segala kesenangan dunia, saya mengkhianati kesetiaannya. Keikhlasan Suria sudah teruji, ‘orang baru’ belum pasti. Saya tidak mahu mengambil risiko itu, cukuplah Suria dan anak-anak di hati saya. Saya tidak perlukan orang baru untuk melengkapi hidup kami.

Walaupun teman-teman menempelak kerana menolak ‘rezeki’ untuk berpoligami, tetapi saya percaya cukuplah dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada saya. Diberi-Nya rezeki yang melimpah-ruah, isteri yang setia dan sangat baik juga anak-anak yang membesar dengan sempurna. Kami meniti kehidupan yang sangat bahagia dan hampir sempurna, jadi mengapa saya perlu menggalas beban baru?

(Gambar sekadar hiasan)

(Gambar sekadar hiasan)

Amal jariah
Betul, kalau ditanya memang tiada lelaki yang akan menolak untuk berisiteri lebih. Apatah lagi jika dia berkemampuan, tetapi saya mungkin tidak dikategorikan dalam lelaki jenis itu. Saya sangat menghargai kebahagiaan yang ada di depan mata, saya tidak mahu tamak.

Sekali pun saya berkemampuan, biarlah saya salurkan kemampuan itu ke jalan yang lebih bermanfaat. Saya memilih untuk melakukan lebih amal jariah. Syukur, Suria turut menyokong usaha saya.

Kami sama-sama berganding bahu membantu NGO yang aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan. Boleh dikatakan, cuti hujung minggu kami padat dengan aktiviti bermasyarakat dan ini sekali gus mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga. Pada masa sama, anak-anak juga dapat belajar berdikari dan prihatin dengan tanggungjawab sosial mereka.

Jujur saya katakan, saya tidak menyesal menolak kehidupan berpoligami. Sebaliknya, ia adalah keputusan yang tepat apabila saya memilih untuk melakukan amal jariah kerana lebih ramai yang dapat dibantu. Berkemampuan tidak semestinya kita perlu memenuhi semua tuntuhan hati. Kalau Dia telah memberikan kita kebahagiaan, mengapa perlu mencari yang lain hanya kerana kita mampu mendapat lebih?

Buat isteriku yang tercinta, kaulah kekasihku dunia akhirat. Hadiah daripada Allah yang tiada bandingannya. Semoga Allah melindungiku daripada mengkhianati kesetiaanmu. Syukur Ya Allah kerana Engkau tidak digelapkan hati dan digoncangkan iman dengan segala kelebihan serta nikmat dunia-Nya.

* Catatan ini seperti yang diceritakan Zambri (bukan nama sebenar) kepada pengelola Relung Hati. Jika anda ingin berkongsi luah hati di ruangan ini, boleh emel kepada kami di inspirasimagazine@gmail.com (untuk perhatian pengelola ruangan Relung Hati).

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply