Kembara yang mengasyikan

0
2014-11-21 18.26.13

Selepas hampir 30 tahun tidak tampil dengan sebarang album baharu mahupun persembahan, Kumpulan Kembara membuat kemunculan semula menerusi konsert ‘Kembara Hati Emas’.

SATU kata untuk merangkumkan keseluruhan persembahan malam gala ‘Konsert Kembara Hati Emas’ di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam; memukau!

Secara peribadi, saya menyifatkan dewasa ini agak sukar untuk menikmati hasil seni yang berisi. Mempunyai nilai estetika tersendiri. Justeru, buah tangan istimewa daripada Kumpulan Kembara yang diasaskan Datuk M. Nasir bersama A. Ali dan S. Sahlan ini tidak harus dilepaskan begitu sahaja.

Walau waktu tidak semakin mengundur dan usia tidak semakin berkurang, namun perjalanan Kumpulan Kembara tidak pernah terhenti. Memetik bait kata dalam lirik Hati Emas; “Mana lain tujuanku, hati emas yang kucari, kisahnya di hujung dunia, mengapa tak kutemui”, cukup untuk menceritakan segala-galanya. Betapa, semangat mereka tetap utuh dan padu.

Cukup mengasyikkan tatkala dendangan lagu kerakyatan yang malar segar sejak sekian lama menyerap segenap pancaindera tubuh. Apatah lagi, lagu seperti Ekspres Rakyat, Perhentian Pudu Raya Kepadamu Kekasih, Impian Seorang Nelayan, Bunga Bakawali, Duit, Hati Emas, Keroncong Untuk Ana, Rupa Tanpa Wajah mahupun Gerhana, dengan liriknya yang indah cukup membuai perasaan sekali gus membawa jiwa bernostalgia dan mengembalikan semangat  lama ketika Kembara dikenali pada tahun 80-an.

Paling penting, identiti Kembara tetap sama seperti yang diterjemahkan mereka sejak sekian lama, cukup kental dan semakin matang.

Bersatu kembali
Mungkin ramai tidak tahu,Kembara sebenarnya kumpulan vokal berharmoni sebelum muncul sebagai sebuah band sebaik ketiadaan A. Ali dan S. Sahlan yang membawa haluan masing-masing selepas merakam tiga album bersama.

Selepas hampir 30 tahun tidak tampil dengan sebarang album baharu mahupun persembahan. Menerusi konsert pertama di Malaysia yang dianjurkan syarikat rakaman, Luncai Emas Sdn. Bhd. dengan kerjasama Celcom Axiata Berhad.,  Kembara Hati Emas menghimpunkan hampir semua anggota asal Kumpulan Kembara termasuk A.Ali (gitar/ vokal), S.Sahlan (vokal), Zoul (gitar/ vokal), Md Shah (keyboard) dan Cheman (Bass), khas untuk peminat di negara ini yang masih meminati dan merindui mereka. Selain turut memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengenali ideologi Kembara.

Justeru, tidak keterlaluan jika saya sifatkan, menonton Konsert Hati Emas Kembara yang berlangsung tiga hari berturut-turut dari 21 hingga 23 November 2014 adalah medium terbaik buat peminat baharu menjiwai karya seni Kembara dalam skala konsert, nyata di depan mata. Percayalah, kesan rasa dan emosinya sangat berbeza berbanding hanya mendengar melalui stesen radio mahupun youtube.

Sejujurnya, tidak terasa tiga jam mengembara dan bernostalgia bersama Kembara. Aura dan tenaga mereka sepanjang persembahan sungguh luar biasa. Pesanan saya, kosongkan fikiran anda tatkala melangkah masuk ke Panggung Sari, Istana Budaya. Hayati setiap bait liriknya yang ringkas, namun indah dan penuh makna tersirat. Itulah uniknya ‘Kembara Hati Emas’.

Tiket menonton konsert ini djual pada harga RM68, RM98, RM188, RM125, RM328 dan RM388. Layari www.ticket2u.biz atau hubungi nombor telefon 03-4147 8600/03-4026 5558 atau belian terus di kaunter jualan di Istana Budaya.

Kredit foto: Istana Budaya

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0
8.0 Memukau
  • Muzik 8
  • Pilihan lagu 9
  • Persembahan 7
  • Vokal 9
  • Visual 7

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply