Kerana terluka, kini Nurul lebih bahagia

0
"Kalau tiada perkara begitu, saya tak'kan belajar mengenai hidup ini." - Nurul

“Kalau tiada perkara begitu, saya tak’kan belajar mengenai hidup ini.” – Nurul

SUARA lunak merdunya ketika mengalunkan lagu Kerana Terluka hingga kini masih ‘berhantu’ dan terus diputarkan di radio.  Pendek kata, lagu dendangan Nurul begitu malar segar di hati penggemarnya. Hebat sungguh penangan penyanyi kelahiran Pulau Mutiara ini.

Sebenarnya, agak lama saya tidak berkesempatan bertemu mata dengan Nurul atau nama penuhnya Noorul Huda Abdul Wahab. Sejujurnya, saya gembira melihat perkembangan dirinya. Ibarat pelangi yang muncul selepas hujang lebat, begitulah indahnya kebahagiaan yang dikecapi ketika ini.

Wanita berusia 37 tahun ini cukup tegar mendepani hidupnya. Jika sebelum ini dia gagal meraih bahagia, namun bukan bererti harus hanyut dalam derita yang berpanjangan. Buktinya, sejak berkahwin lagi dan dikurniai anak, Zachary Depp, berusia setahun hasil perkahwinan bersama Eric Daniel Depp, 49, nyata kehidupannya lebih bermakna. Apatah lagi kini dia sedang hamil anak kedua.

“Hidup ini penuh rahsia dan hikmah. Syukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan-Nya kepada saya dan keluarga.   Pengalaman masa lalu menjadi sumber kekuatan dan semangat untuk saya menempuhi kehidupan mendatang.

Kita hidup dan mati keseorangan. Jadi, kena kuat. Pengalaman ditindas dan dikecewakan membuat saya kuat. Alhamdulillah. Kalau tiada perkara begitu, saya tak’kan belajar mengenai hidup ini. Tidak sekuat hari ini dan lebih optimis memandang kehidupan.

Saya juga bersyukur kerana suami banyak mengubah cara saya berdepan dan menyelesaikan setiap cabaran dalam hidup. Dia bukan saja memberi dorongan, tetapi sentiasa mmembekal semangat positif dalam diri saya,” kata Nurul.

Tetap Aktif
Rumah tangga dan usia bukan penghalang untuk meneruskan kerjaya seninya. Kata Nurul,  dia mahu terus aktif dalam bidang nyanyian yang ditekuni sejak usia remaja.

“Minat saya belum pudar, apatah lagi Eric sangat menyokong. Walaupun tiada lagu baru, tetapi saya masih aktif menyanyi. Jemputan sentiasa ada di mana-mana. Saya tahu, peminat masih menanti kemunculan saya. Syukur juga kerana sekarang ada sosial media yang membolehkan mereka mengetahui perkembangan artis.”

Tahun 2015 menyaksikan dua dekat pembabitannya dalam dunia seni tanahair. Justeru, Nurul mahu kembali aktif.

“Saya mahu melaksanakan impian yang belum tercapai, sebab itu saya kembali menyanyi. Sebelum ini saya tidak fokus sepenuhnya, banyak memberi tumpuan kepada keluarga saya yang sedang berkembang ini.

Insya-Allah, tahun depan bakal keluar album baru. Semuanya dalam proses, kebetulan tahun depan genap 20 tahun saya dalam bidang seni. Jadi, perlu ada lagu baru dan juga sesuatu yang boleh dijadikan hadiah buat peminat saya yang setia menyokong saya selama ini.

Diajukan soalan mengenai pengaruh media sosial kini agak kroni, hingga ada segelintir selebriti yang sanggup bergaduh dgn pengikut mereka. Ada juga yang terlalu mahu berkongsi hingga makan diri. Sebagai senior dalam bidang ini, dia menyifatkan Nurul situasi itu perlu ditangani dengan berhemah.

“Segalanya perlu bersederhana. Hanya kongsi perkara yang perlu dikongsi. Peminat ada pelbagai ragamnya. Ada yang hanya suka menguji dan suka nak bagi sakit hati. Kita yang perlu bijak menangani kerenah mereka.

Tak perlu gaduh, buat tak tahu saja. Diam lebih baik. Kalau mahu balas juga komen  mereka, jawablah dengan bijak yang tidak melalut hingga boleh menimbulkan kontroversi dan isu hangat. Jawab ikut keperluan, kalau rasa tak patut abaikan saja.”

Selain berkongsi perkembangan terkini di laman sosial, Nurul juga aktif menulis di dalam blog miliknya, www. nurulwahabdepp.wordpress.com. Menurutnya, dia memang suka dan suatu ketika pernah menghasilkan sebuah novel ‘Nurul – Kerjaya, Peribadi Dan Masa Depan’.

“Blog adalah kesinambungan daripada apa yang saya suka kongsikan dengan pengikut dan peminat. Ini juga medium untuk saya mendekatkan diri dengan peminat. Saya berkongsi pendapat  mengenai sesuatu topik, selain  isu semasa mengikut pengalaman saya. Ini berlaku secara spontan sejak dua tahun lalu,” ujar Nurul yang sentiasa tampil anggun dan bergaya, walaupun sibuk mengurus rumah tangga dan anak kecil.

Share on Google+2Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply