Ketegaran luar biasa Krisdayanti

0
Banyak momen menarik yang dapat disaksikan secara langsung sepanjang perjalanan konsert, Krisdayanti Live in KL 2014.

Banyak momen menarik yang dapat disaksikan secara langsung sepanjang perjalanan konsert, Krisdayanti Live in KL 2014.

TIDAK ramai penyanyi mampu mengadakan persembahan berskala konsert dan bagi penulis, Krisdayanti mampu mengadakan konsert secara solo sama ada di tanahairnya sendiri mahpun di Malaysia. Meskipun nama gahnya tercalit kontroversi membabitkan perihal peribadi, namun Krisdayanti atau mesra dengan sapaan Kris masih mampu memukau ribuan penonton dengan rangkaian lagu-lagu hitnya.

Konsert Krisdayanti Live in KL 2014 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) membuktikan disebalik terpalitnya kisah hitam dalam hidupnya, diva tanah seberang ini tetap menyengat.

Banyak momen menarik yang dapat disaksikan secara langsung sepanjang perjalanan konsert, misalnya gandingan suara Krisdayanti dengan Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid dan Krisdayanti secara spontan menggegarkan dewan menerusi lagu Sinaran sekali gus mendapat sorakan serta tepukkan gemuruh penonton.

Sayangnya, sejurus momen manis itu, berlaku gangguan teknikal 15 minit yang merencatkan sedikit kelancaran persembahan Krisdayanti dan sekumpulan pemuziknya. Tidak dinafikan, ramai agak kecewa dengan kejadian itu, namun dewan konsert kembali hangat saat penyanyi ini muncul melantunkan lagu Mahadaya Cinta dengan cukup bertenaga.

Saat Krisdayanti berusaha mengumpul semula tenaga dan kekuatan di pentas yang terjejas gara-gara persembahan nyanyiannya terganggu, sekali lagi dugaan  menimpa. Tersungkur di hadapan hampir dua ribu penonton bukan sesuatu yang melucukan. Bangkit sendirian meneruskan persembahan untuk seleksi bagi segmen Broadway seolah tiada apa-apa yang berlaku, Krisdayanti membuktikan ketegaran jiwanya yang luar biasa.

 

 

 

Sejarah dalam kembara seni
Dua insiden yang belum pernah berlaku sepanjang 16 tahun kembara seninya  di Malaysia, bagaikan simbolik kerjaya seninya yang pernah terencat namun namun langkah diteruskan  semula malah usaha dan perjuangan seninya terus membara hingga kini.

“Kejadian ini (gangguan teknikal) membuktikan, walaupun kita berusaha sebaik mungkin untuk mengelakkan berlaku kesilapan yang menjejaskan perjalanan persembahan tetapi saat Allah memberi ujian itu, saya harus akur.

Kejadian jatuh waktu persembahan tidak pernah terjadi dalam sejarah kerjaya muzik saya. Keadaan lantai memang agak licin sejak sesi latihan lagi, kerana itu saya memilih memakai sepasang sepatu paling selesa saja memandangkan perlu menukar beberapa persalinan sepanjang persembahan.

Saya juga tidak menafikan, mungkin keadaan ini (tersungkur ketika persembahan) berlaku kerana mahu mengumpul semula tenaga yang pada awal begitu tinggi saat berduet bersama Datuk Sheila, terjejas ketika berlaku masalah teknikal selepas paduan suara kami.

Sebaik mungkin saya mencuba, ternyata energi saya tidak sampai dan belum cukup untuk mengatasi rasa kecewa atas apa yang berlaku. Barangkali juga kerana saya terlalu mendesak diri sehingga hilang fokus. Saya bangkit meski tersisa rasa malu kerana memikirkan penonton sanggup melaburkan wang dan bersusah payah datang ke mari menyaksikan saya bukan untuk melihat semua ini. Sokongan mereka yang tidak berganjak atau meninggalkan dewan sewaktu masalah teknikal berlaku memberi semangat untuk saya meneruskan persembahan,” kata Krisdayanti pada sidang media selepas konsert berakhir.

Dia turut mengakui tidak pernah membayangkan akan berlaku hal seperti itu dalam persembahannya kerana seorang penghibur, pasti inginkan kesempurnaan secara keseluruhan sepanjang persembahan.

“Dua kejadian malam ini akan menjadi satu sejarah buat kerjaya seni saya. Allah memberi saya sedikit ujian malam ini. Ini suatu hal yang tidak berupaya untuk dielak kerana dalam berharap memberikan persembahan yang sempurna, tetapi saat Allah memberi ujian itu saya akur apabila peminat dan penonton melihat kecelaan dalam persembahan saya.

“Samalah halnya dalam perjalanan hidup sehari-hari. Kadang, sesuatu hal yang kita tidak mahu berlaku tetapi tetap terjadi apabila Allah mahu semua itu berlaku,” katanya tenang dan positif.

Penyanyi berusia 39 tahun ini turut berkongsi cerita lucu ketika bersolek di dalam bilik persalinan, anak gadisnya, Tatiana Aurelie (Aurel), 16, yang ditampilkan sebagai penyanyi undangan, sempat menunjukkan gambar penghibur antarabangsa yang pernah terjatuh ketika membuat persembahan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan One Drop Perfumes, Datuk Seri Josafri Johari memuji sikap Kris yang cukup profesional dan cekal meneruskan persembahan.

 

 

 

Seleksi lagu hit
Krisdayanti Live in KL 2014  bermula jam 8.30 malam dengan seleksi lagu rancak, Rembulan dan Ratu Cinta. Seterusnya Learning From Love. Kemudian Kris menampilkan anak gadisnya, Aurel melagukan Cinta, Makin Aku Cinta dan Tak Pernah Menyesal yang cukup menyentuh perasaan.

Diikuti segmen ‘Legenda’  dengan dendangan lagu Getaran Jiwa sebagai aprisiasi kepada Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Sinaran khusus buat idolanya, Datuk Sheila yang pernah muncul sebagai juri pada final Asia Bagus yang disertai pada 1992.

Menerusi segmen Broadway, Kris menyampaikan lagu Mahadaya Cinta, Pilihlah Aku, Mencintaimu, Ku Tak Sanggup, I’m Sorry Goodbye dan Rembulan.

Penyanyi undangan, Hafiz Suip tampil membawakan lagu solonya, Matahari, sebelum berpadu suara bersama Kris menerusi Ombak Rindu dan Cinta.

Hubungan diva dua negara ini bukan saja sebagai artis, malah teman baik.

Hubungan diva dua negara ini bukan saja sebagai artis, malah teman baik.

Biarpun berdepan dengan dua insiden itu, namun padu suara Ratu Pop Indonesia ini bersama Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Jika Kau Tak Datang sekali lagi merancakan suasana dewan.

Pada malam itu, Kris turut mendendangkan seleksi lagu hit lain seperti Cahaya, Aku Wanita Biasa, , Yang Kumau, Doaku Harapanku, Cobalah Untuk Setia, Hati Ini Telah Di Lukai, Pengabadian Cinta dan Bertubi-Tubi sebelum mengakiri persembahan dengan Ratu Cinta.

Konsert tajaan syarikat pewangi tanpa alkohol One Drop Perfumes Sdn Bhd., ini dipimpin Alvin Loebis selaku Pengarah Muzik bersama 11 pemuzik dikenali sebagai Aluna Band.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply