Ketegaran semangat Razman Razmi

0
"Peribadi kami memang agak 'lari', tetapi tetap serasi apabila bekerjasama sejak dulu lagi."

“Peribadi kami memang agak ‘lari’, tetapi tetap serasi apabila bekerjasama sejak dulu lagi.”

“GANTUNGKAN azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.” Itu prinsip yang dipegang teguh dua sahabat ini sepanjang bergandingan membina nama dan memantapkan langkah dalam industri fesyen tanahair di bawah label, Razman Razmi Kuala Lumpur.

Biar tahun silih berganti, bakat baru muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan namun mereka tidak pernah berasa terasing. Sebaliknya, menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang positif sekali gus membakar semangat juang mereka.

“Orang yang cekal dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, tidak pernah berasa terancam dengan persaingan. Sebaliknya mereka akan menumpukan perhatian ke arah mencapai matlamatnya.

Alhamdulillah, ini tahun ke-15 jenama Razman Razmi berjuang dalam industri fesyen tanahair. Walau banyak dugaan dan cabaran, tiada istilah putus asa dalam perjalanan usaha kami. Baik saya mahupun Razmi, kami percaya rezeki Allah itu sangat luas. Paling penting, kita kena usaha, yakin dan jujur dalam berkarya,” kata Razman, memulakan bicara dalam sesi temubual eksklusif kami malam itu.

Bagi Razman Din (42), setiap individu yang berbakat dalam bidang rekaan fesyen pastinya mempunyai impian untuk mempunyai jenama sendiri sekali gus premis untuk mempamerkan hasil rekaannya.

Bagaimanapun, cabaran untuk mempertahankan kelangsungan jenama itu bukan perkara mudah. Pun begitu, pereka duo tempatan ini bersyukur kerana hingga ke hari ini produk Razman Razmi sentiasa mendapat sambutan baik termasuk daripada golongan selebriti dan orang kenamaan.

“Jujur cakap, mahu bina jenama sendiri memang senang. Petik nama yang kita suka dan keluarkan produk, tetapi hakikatnya tak semudah itu. Berbelas tahun dalam industri ini, apa yang boleh saya katakan, tanpa semangat kental serta fokus pada matlamat yang mahu dicapai bila-bila masa saja kita boleh ‘jatuh’.

Berkerjaya dan berniaga dalam bidang kreatif ini kita perlu sentiasa peka dengan perkembangan semasa, paling penting menjaga kualiti produk yang dihasilkan sebab ini membabitkan kepercayaan pelanggan.

Syukur, setakat ini hasil rekaan kami tidak pernah mengecewakan pelanggan. Kebanyakan mereka akan datang semula sebab selesa dan puas hati dengan perkhidmatan yang kami tawarkan,” tambah Razman sambil memberitahu, Datuk Khadijah Ibrahim dan Azharina Azhar antara rakan artis yang sering menyarung busana rekaannya.

“Selain menghasilkan koleksi busana pengantin, persalinan kasual dan majlis keraian, jenama Razman Razmi juga sering mendapat permintaan untuk costume rental, head gear design (biasanya untuk pertandingan ratu cantik, kumpulan penari atau persembahan pentas teater bangsawan dan lain-lain). Kami juga menawarkan khidmat solekan sama ada untuk pengantin mahupun majlis keraian,” tambahnya.

"Kami sepakat seboleh mungkin tidak mahu buat sebarang pinjaman bank," Razmi

“Kami sepakat seboleh mungkin tidak mahu buat sebarang pinjaman bank,” Razmi

Beroperasi tanpa pinjaman
Semua orang boleh membuka perniagaan, namun tidak ramai mampu bertahan apatah lagi tanpa sebarang sokongan kewangan. Ibarat pepatah Melayu, jika takut dilanda badai jangan berumah di tepi pantai.

Tanpa modal yang besar, bukanlah halangan bagi mereka untuk terus melangkah dan merealisasikan impian di hati. Mengambil pendekatan secara berdikit-dikit, hari ini mereka mampu tersenyum dan bernafas lega apabila jenama serta butik Razman Razmi mampu bertahan meskipun tanpa sebarang pinjaman kewangan daripada mana-mana bank.

“Memang sejak awal lagi, kami sepakat seboleh mungkin tidak mahu buat sebarang pinjaman bank. Biarlah modalnya kecil, tetapi tak ‘sangkut’ dengan hutang keliling pinggang nanti pening kepala.

Kami menguruskan kewangan secara berhemah, beli barang keperluan ikut bajet. Begitu juga untuk dekorasi butik dan lain-lain, semuanya dikawal selia sebaik mungkin. Alhamdulillah, dari lokasi butik di Wisma MPL Jalan Raja Chulan, kemudian di Kampung Baru dan kini sudah enam tahun Butik Razman Razmi beroperasi di sini (Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur) semuanya bermodalkan daripada duit sendiri,” ujar Razmi atau nama sebenarnya, Azmi Abd. Rahman (37).

"Alhamdulillah, kamu sentiasa bersama waktu susah dan senang." Razman

“Alhamdulillah, kamu sentiasa bersama waktu susah dan senang.” Razman

Gandingan serasi
Istimewanya kolaborasi dua sahabat baik ini, walaupun pada awalnya bidang kerjaya masing-masing berbeza namun bukan halangan untuk mencapai keserasian dalam menguruskan butik mereka.

“Razman lebih banyak terbabit dalam kerja-kerja rekaan fesyen dan berurusan dengan pelanggan, saya pula lebih gemar part dekorasi dan pemasaran produk. Walaupun kami ada tugas tersendiri, tetapi muafakat sangat penting untuk kelangsungan perniagaan ini,” tambah Razmi.

“Kalau berurusan dengan pelanggan, biasanya memang saya akan buat. Razmi agak tegas orangnya, kalau pelanggan tidak biasa memang makan hati dengan ketegasannya. Bab idea dekorasi dan pemasaran, memang dia handal. Lagi satu, dia rajin dan cerewet terutama membabitkan masa. Misalnya, kalau janji jam 10 pagi, tetapi sudah satu jam pelanggan tidak muncul-muncul memang dia akan bising.

Begitu juga soal kebersihan dan kekemasan ruang butik. Dia tak suka butik bersepah dan tidak tersusun. Kalau dia start mengemas, dia akan buat sampai siap walaupun waktu itu sudah jam tiga pagi.

Seperkara lagi, dia sangat detail. Semua mesti buat mengikut perancangan. Peribadi kami memang agak ‘lari’, tetapi tetap serasi apabila bekerjasama sejak dulu lagi. Alhamdulillah, kamu sentiasa bersama waktu susah dan senang,” celah Razman, sambil tersenyum mengusik rakan kongsinya itu.

Dia juga berterima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan termasuk Zul Fazli Suhadi, Rizalman Ibrahim, Arma Couture, Bill Bora dan Shuhaimi Lua Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama) yang pernah membantu memberi sokongan, semangat, idea serta peluang sepanjang pembabitan mereka dalam industri fesyen tempatan.

Perancangan masa depan
Baik Razman mahupun Razmi, kedua-duanya sangat bersyukur kerana usaha mereka menampakkan hasil. Bagaimanapun, mengakui tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk mencapai kejayaan lebih baik pada masa depan. Secara berperingkat, mereka mengatur langkah tahap demi tahap.

Tahun ini, mereka berjaya maju selangkah lagi dengan menyediakan perkhidmatan sewaan dewan untuk kegunaan majlis perkahwinan, seminar dan lain-lain. Bekerjasama dengan Adriana Danish Enterprise, Dewan Wisma Rampai yang terletak di Lot 02-0601, Tingkat 6, Wisma Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, mereka menawarkan pakej istimewa termasuk andaman dan persalinan, pelamin, bilik persalinan pengantin, kad kahwin, banner, sistem PA dan karaoke dan perkhidmatan katering.

Dewan yang mampu memuatkan seribu orang pada satu-satu masa ini mula beroperasi sejak Mei 2014.

“Impain untuk mengendalikan dewan majlis ini memang sudah lama dalam perancangan kami. Syukur, akhirnya dapat dilaksanakan dengan baik. Selaku pereka fesyen dan perancangan perkahwinan, mempunyai dewan sebegini banyak membantu dan memudahkan pelanggan.

Kini, dibawah jenama Razman Razmi, perkhidmatan yang ditawarkan lebih luas dan pelbagai Pendek kata, berfungsi sebagai one-stop centre. Dalam satu pakej, semua urusan dapat diselesaikan dengan mudah dan menjimatkan masa,” kata Razman.

Jika anda ingin menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan pereka berbakat ini, hubungi mereka ditalian 019-349 5655. Boleh juga tinggalkan pesanan di laman facebook/razmanrazmi atau instagram/razman_razmi .

.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply