Khayalan teori sains dalam LUCY

0
Lucy hanya wanita biasa, suka berparti dan sedang menghabiskan masa dengan teman lelaki yang baru seminggu dikenalinya di Taipei bernama Richard.

Lucy hanya wanita biasa, suka berparti dan sedang menghabiskan masa dengan teman lelaki yang baru seminggu dikenalinya di Taipei bernama Richard.

HARI ini bermula tayangan filem Lucy dan saya antara penonton paling excited sebab ini salah satu daripada ‘filem mesti tonton’ untuk tahun 2014. Bonusnya lagi, filem arahan Luc Besson ini dibintangi pelakon tersohor, Scarlett Johansson dan Morgan Freeman.  Mutu lakonan mereka, memang tidak perlu dipertikaikan.

Saya pasti, jika anda melihat trailernya saja pun sudah membuat hati meronta-ronta untuk mengetahui apakah benar manusia mampu  mencapai 100% kemampuan otaknya. Ya, menonton filem Lucy, memberi gambaran kepada penonton bagaimana kehebatan kuasa maksima otak manusia apabila berada dibawah pengaruh dadah.

Siapa LUCY? Pada mulanya Lucy hanya wanita biasa. Seorang gadis yang gemar berparti dan sedang menghabiskan masa dengan teman lelaki yang baru seminggu dikenalinya di Taipei bernama Richard. Malangnya, dia terperangkap apabila lelaki licik itu memaksanya untuk menghantar sebuah beg yang tidak tahu isi kandungannya kepada seorang pengedar dadah Korea bernama Mr Jang di sebuah hotel.

Tanpa disangka, Mr Jang telah membunuh Richard dan Lucy menjadi tawanannya. Dia kemudian dipaksa membuka beg itu dan mendapati ada empat bungkusan berisi serbuk kristal berwarna biru, dipercayai dadah.

Mr Jang telah membedah perut Lucy dan tiga tawanan lain serta meletakkan paket dadah itu untuk diseludup ke beberapa negara. Sewaktu dalam tahanan, Lucy telah ditendang di perutnya menyebabkan paket dalam perut itu bocor lalu kandungan dadah itu masuk ke dalam tubuhnya. Bermulalah pengembaraan luar biasa Lucy.

Apabila berlaku peningkatan keupayaan secara berperingkat yang dialami Lucy, membawanya kepada pelbagai situasi penuh aksi dan kadangkala lucu. Sayangnya, setelah peningkatan penggunaan otak menghampiri 100%, keupayaan yang dimilikinya agak mengarut hingga menjadikan filem spoil kerana semakin menyimpang daripada  sains fiksyen kepada fantasi. Secara peribadi, saya agak kecewa dan geram kerana ending filem ini membingungkan dan mengarut.

Secara ringkasnya, filem Lucy penuh aksi dan agak mendebarkan. Teori saintifiknya yang kompleks, agak sukar untuk dihadam penonton biasa khususnya yang belum terbiasa menonton filem sains fiksyen.

Watak Lucy lakonan Scarlett Johansson dihayati dengan baik. Perwatakan Lucy sebelum dan selepas menerima dadah sangat berbeza. Daripada seorang gadis ceria dan santai, bertukar menjadi seorang yang tidak berperasaan selepas dikuasai pengaruh dadah di dalam tubuhnya.

Paling menarik mengenai filem ini, pembabitan penuh pelakon Korea menerusi watak ahli pengedar dadah Korea. Ketua mereka, Mr Jang dilakonkan pelakon otai Korean, Choi Min-Sik dan tidak keterlaluan jika disifatkan lakonannya hidup sebagai ketua kongsi gelap yang sangat kejam. Kehadiran kumpulan pelakon Korea di dalam filem ini bukan sekadar ‘penghias’ semata-mata, sebaliknya digarap dengan baik hingga berjaya menghidupkan jalan cerita Lucy.

Meskipun ending filem ini agak mengecewakan, tetapi 80% bahagian awal filem ini menarik dan berbaloi ditonton. Jadi, secara keseluruhannya tidak rugi menonton ‘teaori sains dan fantasi’ yang cuba diketengahkan di dalam filem ini, sekurang-kurangnya kita dapat gambaran bagaimana otak manusia bertindak apabila dipengaruhi kuasa dadah.

*Lucunya, ketika berjalan keluar dari panggung beberapa penonton mengeluh…”Lor, jadi pendrive je!”

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0
60% Bolehlah
  • Cerita 50 %
  • Lakonan 60 %
  • Aksi 70 %

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply