Mardiana Alwi lebih bahagia selepas berhijab

0
Mardiana melakukan anjakan paradigma dalam perjalanan hidupnya dengan matlamat untuk memperbaiki diri.

Mardiana melakukan anjakan paradigma dalam perjalanan hidupnya dengan matlamat mahu memperbaiki diri.

BAKAT seninya antara yang sedang menyemarakkan industri seni tempatan hari ini. Mardiana Alwi, 26, bukanlah nama baru dalam industri seni tanahair. Dia telah membintangi banyak drama sejak 2006 dan hingga kini, bekas graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini telah membintangi pelbagai drama televisyen termasuk teater muzikal ‘Impak Maksima’, ‘Sri Mersing’, ‘Bukan Dejavu’, ‘Intan Yang Tercanai’, ‘Bangsawan Tun Fatimah Srikandi Melaka’ dan teater Nyonya & The Gang .

Justeru, bakat dan kemampuan gadis tinggi lampai ini tidak boleh dipandang remeh. Kini, Mardiana semakin selesa mengatur langkah dalam dunia lakonan. Banyak watak penting dan mencabar telah dilakonkan dengan baik, sekali gus menyerlahkan bakat dan nama, hingga berjaya mengumpul peminatnya sendiri.  Lebih menarik, apabila sekumpulan peminatnya bergabung dan menubuhkan kelab ‘Mardiana Alwi Superteam’.

Pun begitu, bukan populariti bukan ukuran dan taruhannya, apatah lagi bidang seni adalah kerjaya yang sangat diminati juga sebagai punca rezeki. Paling penting, dia tidak cuba menjadi orang lain untuk diterima. Cuma, bertambah manis jika perjalanan seninya disulami publisiti agar dapat membuka mata banyak pihak pada kemampuan dan bakat seni yang dimiliknya.

“Saya tak menafikan keperluan dan kepentingan publisiti. Kalau ada publisiti, ada peluang bakat dan kemampuan saya dikenali masyarakat penonton. Sebelum ini, tawaran berlakon diperoleh dari mulut ke mulut antaranya daripada Pengurus Produksi kepada penerbit drama.

Dulu saya sering berlakon dengan syarikat produksi yang sama. Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini saya berpeluang bekerja dengan penerbit lain dan dapat menimba pengalaman serta ilmu baru,” ujar Mardiana, yang sentiasa optimis mengenai kerjaya seninya.

 

Penampilan baru
Ramadan 2014, ramai golongan selebriti melakukan hijrah diri dengan berhijab sepenuhnya. Antara mereka, Ziana Zain, Neelofa, dan Emma Maembong (sekadar menyebut beberapa nama). Mardiana turut tidak ketinggalan melakukan anjakan paradigma dalam perjalanan hidupnya dengan matlamat mahu memperbaiki diri.

Berikut komen pemenang tempat ketiga kategori wanita, Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2009 ini ketika ditanya mengenai penampilan barunya itu.

Bagaimana perjalanan kehidupan sekarang selepas bertudung sepenuhnya?
Tiada kata lain, selain ucapan syukur Alhamdulillah kepada Allah S.W.T dan saya berasa lebih lengkap dengan perubahan ini.

Mardiana banyak memegang watak wanita bertudung di dalam drama, adakah itu antara pencetus keinginan untuk berhijab?
Sukar untuk menggambarkan saat membuat keputusan untuk bertudung sepenuhnya. Hanya Allah saja Maha Mengetahui. Perasaan itu saya kongsikan bersama Emak, dia sangat gembira dan bersyukur dengan keputusan saya. Apa yang boleh saya katakan, mungkin juga doa Emak saya dimakbulkan Allah S.W.T. Sekarang, saya rasa lebih tenang dan bahagia.

 

Sebelum mengambil keputusan berhijab, mungkin ada persiapan tertentu yang Mardiana lakukan sebagai pengisian diri?
Keputusan yang saya ambil ini secara tiba-tiba, tanpa dirancang dan lahir dari hati sendiri. Bagaimanapun, saya akui memang masih banyak perkara yang perlu saya pelajari lebih mendalam, terutama mengenai akidah Islam. Jujur saya katakan, keputusan ini tidak lain alasannya untuk mengubah diri menjadi lebih baik lagi. Insya-Allah.

Bagaimana dengan maklum balas teman artis, penerbit dan keluarga?
Alhamdulillah. Saya mendapat maklum balas sangat positif. Mereka juga meyakinkan saya dengan keputusan ini. Kata mereka, penampilan saya lebih baik tertutup sekarang (selepas berhijab).

Dari segi penampilan dan berfesyen. Maklumlah, Mardiana masih muda dan trend fesyen juga berubah dengan pantas. Apa pula yang Mardiana lakukan dengan koleksi pakaian sebelum berhijab?
Sekarang ini saya boleh diibaratkan seperti amatur dan koleksi tudung saya belum banyak.  Sedikit demi sedikit, saya belajar untuk mengenakan pakaian sesuai dengan tudung mengikut trend, tetapi tetap sesuai dengan tuntutan syariah.
Saya sudah mengasingkan beberapa koleksi pakaian sebelum berhijab, tetapi belum memikirkan lagi apa tindakan selanjutnya.

Dari segi pemilihan watak, adakah selepas ini Mardiana lebih selektif (selain perlu mensesuaikan dengan penampilan sekarang)?
Sudah semestinya. Saya akan lebih selektif dalam memilih watak dan tawaran.

Penampilan berhijab yang Mardiana rasa sesuai dengan diri?
Berpenampilan sederhana, sopan dan sesuai menurut tuntutan agama. Insya-Allah.

Hari ini, kita lihat semakin ramai selebriti bertudung. Ini pastinya satu perkembangan sihat dan memberi maklum balas baik khususnya kepada peminat. Bagaimanapun, ada yang beranggapan ini sekadar fenomena bermusim. Bagaimana komen Mardiana?
Betul. Ini satu perkembangan sihat. Pada saya, masyarakat perlu memberi peluang dan sokongan supaya kita semua terus istiqamah dalam melakukan kebaikan. Saya mula berhijab pada 8 Ramadan (6 July 2014).
Bagi saya sendiri, saya yakin berhijab adalah yang terbaik. Selain kerana ini perintah Allah, juga kerana saya berasa jauh lebih baik dalam bersikap dan lebih tenang ketika beribadah. Saya selalu mengingatkan diri saya, “Jika kita jaga Allah, Allah akan jaga kita”. Insya-Allah. Amin.

Bagaimana jika ada yang berpendapat, bertudung akan membantukan perjalanan seni Mardiana?
Tidak sama sekali, sebaliknya saya menerima lebih banyak mendapat tawaran dan rasa sangat bersyukur dengan rezeki itu. Terbaru, saya terbabit dengan penggambaran drama 26 episod, Fajar Di Bukhara siaran RTM yang akan menjalankan penggambaran di Uzbekistan, bermula 20 Ogos ini.
Kepada masyarakat dan penyokong saya, harapnya anda semua sudi mendoakan hal yang baik untuk saya. Semoga saya terus istiqomah dengan penghijrahan ini dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri.

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply