Menyusuri sejarah penuh makna bekas PM

0
Bersempena Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015), Arkib Negara menganjurkan program Eksplorasi Media Memorial menghargai tokoh negarawan.

Bersempena Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015), Arkib Negara menganjurkan program Eksplorasi Media Memorial menghargai tokoh negarawan.

NEGARAWAN terdahulu bukan sahaja telah banyak menyumbangkan jasa kepada rakyat terutamanya dalam mencapai kemerdekaan, malah berkorban masa dan tenaga demi mengekalkan toleransi antara kaum serta memacu perkembangan ekonomi negara.

Sayangnya, segelintir generasi hari ini khususnya yang lahir selepas kemerdekaan kurang peka mengenai perkara ini. Lebih menyedihkan, ada yang tidak tahu sejarah kemerdekaan dan pembangunan negara pada zaman pemerintahan tokoh negara terdahulu.

Menyedari keadaan ini, bersempena Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015), Arkib Negara menganjurkan program Eksplorasi Media Memorial dengan kerjasama Majalah Santai Travel bagi menghargai tokoh negarawan ke persada termasuk menarik pelancong mengunjungi memorial dan galeri bersejarah yang ada di negara ini.

Program dua hari di sekitar ibu kota itu menyingkap lebih dekat dan terperinci jasa serta pengorbanan mereka kepada negara, sekali gus satu daripada inisiatif dalam mempromosikan memorial di bawah seliaan Arkib Negara sebagai destinasi pelancongan yang harus dikunjungi masyarakat tempatan mahupun luar negara dan memupuk semangat cintakan tanahair di kalangan rakyat Malaysia.

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra
Dibuka pada 10 November 1994, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra diwujudkan bagi memperingati serta mengenang jasa bakti Almarhum Tunku sebagai ‘Bapa Kemerdekaan’ dan Perdana Menteri pertama dari tahun 1957 hingga 1970. Semua bahan yang dipamer berdasarkan kepada tema tertentu bagi tujuan memudahkan pelawat mengenali  Tunku secara peribadi. Antaranya, Tunku dan Kemerdekaan, Falsafah/Konsep Tunku serta Biografi Tunku.

Terletak di Jalan Dato’ Onn, memorial ini merangkumi bangunan Residensi sebagai bangunan utama. Blok A dan B. Di Blok A, ada pelbagai dokumen penting dan gambar nostalgia sebelum kemerdekaan negara. Gambar perarakan menuntut dan pengisytiharankan kemerdekaan memberi gambaran jelas betapa besarnya jasa mereka hingga mampu meletakkan negara ini bebas daripada cengkaman penjajah.

Memasuki bangunan Residensi, penulis teruja melihat dekorasi kediaman penuh memorial berusia lebih 100 tahun ini. Bukan saja masih kukuh, malah dilengkapi pelbagai barangan milik Tunku.

Bangunan Residensi yang didiami oleh Tunku dari tahun 1956 sehingga 1970. Bangunan Residensi dengan 14 bilik ini menjadi daya tarikan kepada pelawat kerana bangunan yang berusia lebih 100 tahun ini masih dikekalkan bentuk asalnya serta
kedudukan susun atur dalamannya.

Manakala Blok B menempatkan ruangan kabinet pertama dan pejabat perdana menteri pertama selain koleksi peribadi Tunku seperti pakaian, koleksi minyak wangi serta hadiah pemberian pemimpin luar. Selain turut dipamerkan,  Bangunan Pejabat Lama Tunku ketika menjadi Perdana Menteri. Terdapat juga pameran di bahagian luar dan yang paling menarik adalah kereta Cardillac Fleetwood 1959 yang digunakan Tunku. Kemudahan perpustakaan dan kedai cenderamata turut disediakan. Waktu lawatan: Selasa hingga Ahad (10 pagi hingga 5.30 petang), Jumaat (10 pagi hingga 3 petang dan 3 petang hingga 5.30 petang).

Memorial Tun Abdul Razak
Memorial Tun Abdul Razak yang terletak di Jalan Perdana, Kuala Lumpur ini dibuka secara rasminya pada 6 Mei 1982 dan perasmian telah disempurnakan Tun Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia ke-4. Pembukaan Memorial ini hasil cetusan ilham Tun sendiri untuk memperingati serta mengenang jasa juga sumbangan Allahyarham Tun Abdul Razak kepada bangsa dan negara.

Memorial Tun Abdul Razak yang dahulunya dikenali Sri Taman ini mempunyai dua Dewan Pameran yang mempamerkan bahan seperti gambar, artifak, koleksi peribadi Tun Abdul Razak dipamerkan untuk tatapan umum. Di sinilah pengunjung berpeluang mengenali dan menghayati peranan Allahyarham Tun sebagai Perdana Menteri Kedua dan Bapa Pembagunan Negara.

Pada 2012,  memorial ini diubah suai kembali dengan mengekalkan dan mempamerkan kembali suasana asal semasa diduduki Tun Abdul Razak bersama keluarganya. Bangunan kediaman dua tingkat ini mempunyai reka bentuk California style yang cukup menarik. Waktu lawatan: Selasa hingga Ahad (10 pagi hingga 5 petang), Jumaat (10 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5.30 petang).

Memorial Tun Hussein Onn
Dirasmikan pada 10 Februari 2006, memorial yang terletak di Jalan Dato’ Onn ini menjadi sebahagian warisan sejarah negara dan pelengkap kepada koleksi khazanah untuk mengabadikan jasa Ketua Negara ke-3, Tun Hussein Onn.

Di ruang utama pameran, pengunjung pasti kagum melihat betapa besarnya usaha Tun Hussein bagi melahirkan bangsa Malaysia yang hidup bersatu padu, bertoleransi dan aman damai.  Selain imej Tun Hussein Onn bersama pemimpin dari dalam dan luar negara, pengunjung juga boleh melihat biografi dengan salasilah kekeluargaan Tun Hussein Onn sebagai nasionalisme.

Koleksi bahan bacaan milik beliau, antara yang menarik perhatian penulis. Di ruang akhir lawatan, perasaan hiba dan sayu tatkala melihat gambar serta visual saat akhir Tun Hussein Onn sebagai negarawan sebelum disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, bangunan memorial dengan dekorasi moden ini serta kawasan sekitarnya akan diambil alih Bank Negara untuk menubuhkan Pusat Latihan Kewangan dan kini dalam proses pembinaa semula di tapak baharu yang dijangka siap pada September 2016. Waktu lawatan: Selasa hingga Ahad (10 pagi hingga 5 petang), Jumaat (10 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5.30 petang).

Galeria Sri Perdana
Kediaman Rasmi Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad ini didiami dari 23 Ogos 1983 hingga 18 Oktober 1999. Galeria Sri Perdana ini telah dirasmikan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada 20 Disember 2003.

Galeria ini yang pada asalnya dikenali sebagai Sri Perdana, diwujudkan bagi memperingati dan mengenang jasa Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai “Bapa Pemodenan”  dan Perdana Menteri Malaysia yang telah banyak berjasa kepada negara sepanjang 22 tahun pentadbirannya.

Mempamerkan ruang dan dan mengekalkan susun atur asal ketika Tun sekeluarga mendiami kediaman ini. Di aras bawah, pengunjung dapat melihat bilik gunting rambut dan bilik pertukangan kerana Tun gemar memanfaatkan masa terluang dengan kerja pertukangan, turut diperlihatkan beberapa hasil ukiran termasuk model kapal terbang.

Di tingkat paling atas menempatkan ruang tidur Tun dan anak-anak serta dapur kecil yang biasa digunakan untuk memasak makanan kegemaran keluarga. Di sini, turut ditayangkan ‘Sehari dalam kehidupan Perdana Menteri’, jadi anda dapat melihat sendiri aksi Tun ketika di dapur.

Ruang pameran di bahagian luar bangunan juga dikekalkan dengan landskap sama seperti ketika Tun Dr. Mahathir tinggal di sini. Banyak lagi yang menarik boleh ditemui jika anda berkunjung ke galeria yang terletak di Jalan Terengganu Off Jalan Damansaran, Kuala Lumpur ini. Waktu lawatan: Selasa hingga Ahad (10 pagi hingga 5 petang), Jumaat (10 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5.30 petang).

Memorial Negarawan
Memorial Negarawan kini dalam pembinaan di tapak bekas bangunan Pejabat Perdana Menteri dan dijangka siap Ogos 2015.
Memorial ini akan menempatkan tokoh negarawan iaitu Tun Dr Ismail, Tun V T Sambathan, Tun Tan Ceng Lock, Tun Datu Mustapa, Tun Fuad Stephens, Tun Temenggung Jugah dan Tun Dr Lim Chong Eu.

Antara rakan media yang menyertai program Eksplorasi Media Memorial anjuran Arkib Negara dan majalah Santai Travel.

Antara rakan media yang menyertai program Eksplorasi Media Memorial anjuran Arkib Negara dan majalah Santai Travel.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply