“Orang kita ramai pemalas…” Abib

0
Abib bersyukur kerana membesar sebagai insan yang tahu makna berdikari hingga berjaya seperti hari ini.

Abib bersyukur kerana membesar sebagai insan yang tahu makna berdikari hingga berjaya seperti hari ini.

“MAAF, mungkin ramai yang tak puas hati dan marah apabila saya katakan begitu (orang kita ramai pemalas), tetapi itulah hakikatnya. Rasanya tak keterlaluan kalau saya katakan, ramai yang berharap terlalu banyak, tetapi usahanya sedikit.

Mereka mahu berjaya, tetapi tak mahu berusaha, malas dan hanya banyak beralasan. Mereka kata mahu berjaya dalam hidup, tetapi masa banyak dihabiskan dengan melepak bersama kawan, bersembang kosong, layan gajet, merapu di media sosial. Akhirnya, mereka hanya mampu berangan-angan dan melihat orang lain berjaya, sedangkan diri tak ke mana-mana.” kata Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd, Syed Muhammad Ghaddafi Syed Ali Al-Habshee atau mesra dipanggil Abib, 42, mengenai sikap segelintir individu yang mahu mencapai kejayaan dan kesenangan hidup dengan cara mudah.

Abib berkata, orang yang cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang gagal menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kegagalannya.

“Kalau mahu menempa kejayaan dalam hidup, kita harus yakin dengan kemampuan yang kita miliki dan jangan kata tak mampu atau susah sebelum berusaha. Mahu berjaya kena ‘bergerak’, bukan tunggu kejayaan datang bergolek-gelek depan muka kita. Personaliti diri kena ubah, jangan mudah putus asas, lemah semangat dan jangan malas, kerana terus bersikap malas tak boleh mengubah apa-apa. Bak kata pepatah arab, ‘Man Jadda Wajada’ (sesiapa yang berusaha, pasti mendapat hasilnya),” ujarnya yang tidak lokek berkongsi tip memajukan diri yang diamalkan hingga berjaya keluar dari belenggu kemiskinan sekali gus menggapai impian hidupnya.

Di mana ada usaha, di situ ada kejayaan
Bulat tak ‘kan bergolek, pipih tak datang melayang. Begitulah pegangan hidup Abib. Katanya, kesenangan dan kejayaan dikecapi hari ini tidak datang sekelip mata. Perniagaan jamu Mak Dara resipi warisan neneknya, Dara Latiff yang diusahakan bersama ibunya, Halimah Shuib sejak tahun 2004 hingga kini ada sejarahnya sendiri.

“Setiap hari ibu mengumpul akar dan daun kayu serta rempah ratus. Waktu itu, ibu menjualnya dengan mengikat di dalam kain kecil dan dijaja kepada kenalan dan saya pula membantu ibu dengan bekerja di kedai menjual cadar.

Mengisar ramuan jamu memerlukan tenaga luar biasa, ibu pernah sakit teruk dan hanya mampu berbaring. Mahu ke klinik, wang hanya cukup untuk beli makanan saja. Tuhan saja yang tahu, betapa pedih hati saya melihat ibu terlantar sakit.

Keadaan itu membuat saya bertekad mengumpul wang sebanyak mungkin supaya kami dapat menyewa rumah. Ketika itu saya turut menjual cadar. Alhamdulilah, saya berjaya banyak cadar hingga mencapai jualan tertinggi. Hasil komisyen itu, saya mampu menyewa rumah di Sentul dan buat modal berniaga.

Saya dan Ibu juga ada menjalankan perniagaan katering, namun usaha kami tak berjalan lancar hingga modal habis begitu saja. Keadaan semakin parah apabila ditipu berbelas ribu ringgit kerana perkhidmatan tak dibayar.

Memang jatuh terduduk ketika itu, tetapi saya tak berputus asa, apatah lagi melihat semangat dan kesungguhan ibu terus membungkus jamu yang dengan lebih menarik. Kata Ibu, mana tahu kami boleh jadi pengusaha jamu terkenal satu hari nanti.

Masin mulut Ibu. Berkat doa, usaha dan kesungguh, jamu dihasilkan mendapat sambutan ramai. Bertitik tolak daripada situ, saya mencari dan mengumpul wang sebagai modal perniagaan. Syukur, jamu buatan ibu semakin mendapat perhatian. Saya nampak ada peluang untuk kami menjalankan perniagaan itu sepenuh masa. Saya juga sangat bersyukur dengan limpahan rezeki dan keberkatan daripada-Nya, saya dapat melanjutkan pelajaran  sekali gus menyempurnakan impian yang terhalang satu ketika dulu.”

Pengalaman hidup berbeza
Kini,  meskipun produk Jamu Mak Dara (JMD) cukup dikenali ramai, malah menjadi  satu-satunya jamu tradisional yang mempunyai ratusan rangkaian di seluruh negara, termasuk di Sabah, Sarawak, Singapura serta Brunei, Abib tidak berhenti berusaha demi memastikan kelangsungan perniagaan yang dibina itu berterusan sampai bila-bila.

Biarpun mampu menarik nafas lega setelah usahanya bersama ibu membuahkan hasil memberangsangkan, Abib tidak betah diam di zon selesanya. Demi melihat lebih ramai orang meraih kejayaan dalam hidup, Abib tidak lokek berkongsi idea, buah fikiran dan nasihat.

Bagi usahawan berwawasan tinggi ini, kejayaan dan kesenangan yang dimiliki bukan untuk diri sendiri semata-mata. Sebaliknya, kembali memberi kepada insan lain.

“Saya percaya, ramai mahu berjaya dalam hidup dan genggam impian masing-masing. Jadi, dengan pengalaman dan sedikit ilmu yang ada, saya mahu membantu mereka yang betul-betul ada kesungguhan untuk berjaya. Bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Sebenarnya, saya agak kecewa dengan sikap segelintir individu yang bersikap ambil mudah tetapi berangan nak berjaya. Impian dia tinggi melangit, tetapi bab usaha sangat menyedihkan. Macam-macam alasan diberi, kita nak tolong pun sakit hati.”

Tambah Abib lagi, walaupun pernah melalui dugaan hidup yang memeritkan dan hingga kini masih segar dalam ingatannya, dia jarang sekali berkongsi kisah sedihnya itu dengan orang lain kecuali jika ditanya. Kata Abib, tiada apa-apa yang perlu dibanggakan dengan bercerita mengenai kepayahan hidup masa silamnya itu kerana setiap orang diduga dengan cara berbeza.

“Bagi saya, pengalaman hidup setiap orang berbeza-beza. Allah duga saya dan ibu dengan kemiskinan. Saya hanya mahu berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada orang lain, bukan mengajak mereka bernostalgia. Pencapaian hidup saya hari ini bukan kerana pernah hidup susah, tetapi berkat doa, usaha, ikhtiar dan tawakal. Siapa saja boleh berjaya mencapai impian hidupnya, sama ada dia miskin atau kaya. Kalau malas usaha, orang kaya pun belum tentu berjaya,” tegasnya.

Sumbangan
Biarpun telah sekian lama melepasi fasa kehidupan yang dihujani air mata, lelaki berjiwa kental ini tidak pernah lupa asal usulnya. Bagi Abib, apa yang menentukan masa depan seseorang itu bukan kekayaan, kedudukan dan kebahagiaan yang dicapai, tetapi ke arah mana akan bawa semua nikmat itu.

“Apabila kehidupan lebih baik, inilah masanya untuk saya membantu golongan yang tak berkemampuan kerana saya memahami penderitaan mereka. Melalui perniagaan JMD, saya buat pelbagai program untuk membantu fakir miskin dengan kerjasama media.

Sebagai peniaga, saya tidak boleh memikirkan keuntungan saja. Hal akhirat perlu diambil kira. Ramai rakyat kita yang masih memerlukan bantuan usahawan seperti kita. Sekali sekala turunlah padang, pasti air mata saya mengalir melihatkan nasib mereka. Ini membuat saya insaf dan sedar rezeki yang diperolehi perlu dikongsi.

Antara usaha JMD, saya menyusun program bulanan dengan memberi bantuan di samping membina atau membaiki kediaman golongan miskin supaya hidup lebih selesa apabila rumah lebih sempurna.

Sejujurnya, saya juga mahu mencari saham untuk akhirat. Sebenarnya, pengalaman sangat berharga dalam hidup. Kerjaya dan perniagaan mematangkan hidup saya. Apa-apa pun, saya bersyukur dengan kehidupan yang dikecapi sekarang. Alhamdulillah,” ujarnya yang lebih suka menggunakan masa lapang yang ada untuk kerja amal anjuran syarikatnya. Kata Abib, jiwanya tenang melihat insan lain mendapat sinar kehidupan lebih baik.

Info Abib:
Nama: Syed Muhammad Ghaddafi Syed Ali Al-Habshee
Tarikh lahir: 12 November 1972
Asal: Kuala Lumpur
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Perniagaan, Universiti Malaya
Kerjaya: Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply