P. Ramlee The Musical masih menyengat

0
DSC_3067

Gandngan serasi Tony Eusoff dan Nadia Aqilah cukup memukau (kredit foto: Enfiniti Vision Media).

BIARPUN dipentaskan buat kali ketiga di Istana Budaya, ternyata P. Ramlee The Musical masih menyengat, mantap dan memukau penonton. Sekali gus meletakan persembahan antara teater muzikal wajib ditonton siapa sahaja, justeru tidak hairanlah apabila setiap malam persembahannya, orang ramai memenuhi panggung. Hebat!

Masih mengekalkan plot dan jalan cerita sama, pementasan berdurasi dua jam 45 minit ini bermula dengan babak penuh bertenaga menerusi ‘Pesta Bukit Mertajam’ yang menyaksikan Tony Eusoff menjayakan watak P. Ramlee sebelum menjadi bintang. Mungkin kerana telah membawa karakter P.Ramlee buat kali kedua, Tony kelihatan begitu serasi dan yakin di pentas.

Rata-rata penonton cukup kagum dengan gaya persembahan Nadia Aqilah yang menggalas peranan sebagai biduanita negara, Saloma kerana berjaya menghayati watak itu dengan baik sekali. Apatah lagi dengan gemersik suara lunaknya, intonasi serta gaya manjanya yang bersahaja di atas pentas, cukup memukau! Bergandingan dengan Tony, mereka dilihat cukup serasi sebagai pasangan jelmaan, Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma.

Bagaimanapun, berbanding Tony kelihatan cuba meniru mimik dan gaya percakapan serta nyanyian P. Ramlee, Nadia lebih selesa menyanyikan lagu dalam teater muzikal ini mengikut caranya tersendiri. Tidak keterlaluan jika disifatkan, menerusi persembahan dalam teater muzikal ini bakat besar yang dimiliki Nadia cukup bersinar. Sekali gus berjaya membuka mata ramai bahawa gadis manis ini mampu lebih jauh dalam bidang seni.

Manakala kredibiliti Datin Seri Tiara Jacquelina yang menggalas watak Norizan (seorang kerabat Perak juga peminat setia P. Ramlee) memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Norizan di tangan Tiara cukup menjadi dan mantap sekali! Antara babak yang begitu berkesan apabila Norizan meluahkan amarahnya kepada P. Ramlee yang sering meninggalkannya sendirian di rumah kerana terlalu taksub dengan kerja seni dan menjadi punca utama keretakan rumah tangga mereka.

Walaupun saya tidak meletak harapan terlalu tinggi untuk persembahan kali pertama Lisa Surihani dalam P. Ramlee The Musical ini, namun pujian harus diberikan kepadanya kerana berjaya ‘menghidupkan’ watak Junaidah (terdahulunya dilakonkan Atilia Haron). Biarpun tidak mempunyai kelebihan dalam bidang nyanyian, tetapi Lisa mampu menghayati watak dan emosi Junaidah dengan baik sekali.

Kemunculan Datuk Aznil Haji Nawawi sebagai, ayah Junaidah dan Junainah cukup mencuit hati hingga mendapat tepukan gemuruh. Dialog DHaris yang bersahaja mengundang tawa penonton, sekali gus memberi ‘warna’ ceria dalam persembahan ini.

Gandingan Douglas Lim dan Ruben yang melakonkan watak orang kuat Shaw Brothers memberi kekuatan tersendiri dalam persembahan ini. Begi juga Iedil Putra yang menjayakan watak Sukardi, kawan baik merangkap pengurus P. Ramlee. Penghayatan Iedil dilihat begitu mantap dan menyakinkan.

Secara keseluruhannya, pementasan P.Ramlee The Musical kali ini dilihat berjaya dan cukup menghiburkan. Bantuan props, koreografi, muzik iringan dan pakaian berjaya mengimbas kembali nostalgia zaman kegemilangan seniman P.Ramlee. Sebagai penonton, penulis cukup kagum dengan kesungguhan pihak produksi apabila membawa masuk set gerabak keretapi ke pentas Istana Budaya untuk babak P.Ramlee ke Singapura.

Tahniah kepada seluruh warga produksi Enfiniti Vision Media, ┬ákerana berjaya merealisasikan persembahan ini dengan baik sekali. Pastinya, pujian harus diberikan kepada pengarah dan koreografer, Pat Ibrahim kerana berjaya ‘menghidupkan’ teater P.Ramlee The Musical hingga auranya meresap ke jiwa penonton. Turut memantapkan hasilnya, Adlin Aman Ramli selaku penulis skrip dan lirik lagu serta Jason Voo sebagai pengarah muzik. Tahniah juga kepada Datin Seri Tiara Jacquelina selaku penerbit dalam usaha mengangkat kisah hidup seniman terulung negara ini.

Dek hebatnya penangan persembahan mereka pada setiap malam, P.Ramlee The Musical ini yang pada mulanya dipentaskan pada 3 hingga 12 Oktober tambah sehari lagi (ke 13 Oktober ) kerana pemintaan begitu menggalakkan. Jadi, kepada anda yang belum berkesempatan menontonnya, tiket berharga RM33 hingga RM303 boleh didapati di www.tickethotline.com.my, ticket2u.biz dan Istana Budaya Box Office.

Komen penonton (kredit foto: hashtag #PRamleeMusical):

 

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply