“Panglima’ Wings gegar pentas Istana Budaya

0
Walaupun aliran muzik rock, Wings tetap menghormati dan menyanjungi adat juga warisan Melayu.

Walaupun daripada aliran muzik rock, Wings tetap menghormati dan menyanjungi adat juga warisan Melayu.

PERJUANGAN seni mereka tidak pernah berhenti. Biar apa juga rintangan yang mendatang, mereka tetap teguh dipaksinya. Pelbagai perancangan susun sebaik mungkin supaya kelangsungan muzik mereka tetap kekal bergema di persada seni tanahair.

Walaupun sering mengadakan konsert berskala besar, mereka sentiasa tampil dengan kelainan yang pastinya membuat peminat setia tidak mahu melepaskan peluang menonton persembahan luar biasa mereka.

Setelah siri jelajah konsert ‘Menakluk Kosmos’, tahun ini sekali lagi Kumpulan Wings kembali beraksi di pentas berprestij Istana Budaya menerusi “Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia” bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Kolaborasi seni harmoni antara rock dan tradisional, otai rock tanah air ini yang dianggotai Awie, Joe, Black dan Eddie bakal berentap dengan lagu dan muzik penuh bertenaga di gelanggang Panggung Sari, Istana Budaya pada 10 hingga 16 Jun 2015.

Berkonsepkan semi teaterikal ini mengangkat nilai estetika, budaya dan perjuangan anak bangsa Melayu. Konsert ini turut menyaksikan muzik Wings dipersembahkan lebih daripada sebuah kumpulan rock lagenda.

“Walaupun sejak 30 tahun lalu muzik rock menjadi jalan seni perjuangan kami, Wings tetap menghormati dan menyanjungi adat juga warisan bangsa Melayu. Bagi menghormati dan menyanjungi adat serta warisan Melayu yang diterjemahkan dalam bentuk lagu, terhasillah ‘Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia’,” kata vokalisnya, Awie yang turut bertindak selaku penerbit konsert berkenaan.

Konsert Wings yang julung kali diterbitkan Awie Entertainment Sdn Bhd., itu bakal menggegarkan Istana Budaya selepas ‘Konsert Wings Rockestra bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan’ (OSK – 2013) dan ‘Opera Hidup Wings & Superfriends’ (2011). Terdahulu, Awie Entertainment  berjaya menganjurkan ‘Konsert Teaterikal Suara Kita’ pada Mac 2014.

Pengarah konsertnya, Zambre Shaari atau Bombay berkata, konsert kali ini tidak hanya membawa lagu hit yang dipetik dari zaman Belenggu Irama, Hukum Karma, Bazooka Panaka mahupun Menakluk Kosmos. Sebaliknya, konsert yang membawa falsafah kemelayuan itu akan menyajikan pilihan lagu berbeza berbanding konsert sebelum ini.

Lebih istimewa, Wings akan menyampaikan lagu bertemakan perjuangan seperti Inspirasi Taming Sari. Selain menyelitkan lagu nyanyian semula (cover song) yang menepati elemen perjuangan kepada ibu bapa, seni, budaya bangsa, negara dan agama. Lagu irama Melayu Asli juga akan didendangkan dalam konsert ini.

Panglima Melayu
Sesuai judulnya, Takkan Melayu Hilang Di Dunia Takkan Melayu Hilang Di Dunia, Wings akan tampil dengan imej panglima Melayu. Mereka mengenakan kostum klasik lengkap dengan tengkolok seperti laksamana Melayu sepanjang konsert berlangsung.

Wings bakal beraksi di pentas Panggung Sari, Istana Budaya dengan kelengkapan busana panglima Melayu zaman dahulu.

Wings bakal beraksi di pentas Panggung Sari, Istana Budaya dengan kelengkapan busana panglima Melayu zaman dahulu.

Kombinasi muzik rock dan bunyi-bunyian tradisional daripada gamelan, nobat, serunai dan gambus dijangka akan mengasyikkan, sekali gus memberi pengalaman baru bagi penonton yang menyaksikan konsert ini nanti.

Apatah lagi, slot lakonan pentas seperti aksi silat, monolog dan bacaan puisi penuh emosi bertemakan perjuangan pasti bakal menjadi tarikan dan menyuntik kelainan dalam konsert ini. Penggunaan videomatik atau peta visual juga akan memberi lebih gambaran kepada tema perjuangan yang ingin dipersembahkan. Selain diiringi pemuzik OTM, konsert ini turut mengundang seorang pemuzik jemputan yang akan diumumkan tidak lagi.

Tiket dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305, dan RM450 ini boleh ditempah di www.airasiaredtix.com., atau menerusi kaunter Box Office Istana Budaya. Maklumat dan pertanyaan berhubungan konsert ini, boleh menghubungi 03-4026 556.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply