Pasar Siti Khatijah Menggamit Rindu

0
Terletak di lokasi strategik iaitu di tengah bandar Kota Bharu, pasar cukup terkenal dan sentiasa menggamit pengunjung sama ada dari dalam mahupun di luar negeri.

Terletak di lokasi strategik iaitu di tengah bandar Kota Bharu, pasar cukup terkenal dan sentiasa menggamit pengunjung sama ada dari dalam mahupun di luar negeri.

Setiap kali penulis ada peluang ke Kelantan, Komplek Pasar Siti Khatijah menjadi tempat ‘wajib’ yang harus dikunjungi.  Apa yang istimewanya pasar besar ini? Hey, banyak yang menarik perhatian terutama pilihan makanan khas orang Kelantan seperti Keropok Lekor, Dodol, aneka manisan yang unik, rempah-ratus dan lain. Di sini juga ada pelbagai pilihan kain batik, kain sarung, periuk belanga dan perhiasan. Paling istimewa, rata-rata peniaga di pasar ini kebanyakannya wanita.

Terletak di lokasi strategik iaitu di tengah bandar Kota Bharu, pasar cukup terkenal dan sentiasa menggamit pengunjung sama ada dari dalam mahupun di luar negeri. Padal asal pasar ini bernama Pasar Besar Buluh Kubu. Bagaimanapun, sebagai tanda penghormatan kepada wanita yang majoriti peniaganya di situ, bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik telah menukarnya kepada Pasar Besar Siti Khadijah.

Pelbagai pilihan
Pasar besar yang terletak bersebelahan dengan Bazar Buluh Kubu ini mempunyai empat tingkat dan berbentuk segi lapan. Di tingkat bawah pasar, antara barang yang dijual seperti barangan basah, kuih muih, sayuran, beras, buah-buahan, lauk dan keperluan asas dapur. Barangan di tingkat bawah biasanya dibeli penduduk setempat juga kalangan pengunjung dari luar.

Bagi anda yang belum pernah merasai beras keluaran Thailand, boleh dapatkan di sini. Beras jenama Burung Serindit daripada Thailand antara beras yang paling sedap dan tersohor yang sentiasa menjadi beras pilihan penduduk Kelantan malah, khabarnya jauh menandingi beras keluaran tempatan.

Sebelum anda membeli beras ini, dinasihatkan menyuruh pekedai menimbangnya semula untuk mengelakkan tersilap timbangan berat (kilogram) walaupun harga sama. Beras serindit wajib dibeli sebelum pulang.

Di tingkat 1, banyak menjual pelbagai makanan kering seperti keropok segera, dodol, serunding daging, kerepek, pelbagai jenis keropok, makanan segera, pelbagai kuih muih, alatan memasak, barangan plastik, rempas ratus, ikan kering dan bahan dapur.

Keropok yang sedap dan terlaris pada masa ini adalah keropok cap ikan mas, keropok cap ikan parang, keropok sira cap juara dan keropok segera cap dua tambang. Kualiti keropok juga berbeza antara satu sama lain. Jika membeli makanan ringan seperti keropok atau manisan khas Kelantan, penulis cadangkan anda dibeli disini. Beli secara borong untuk rakan sepejabat, saudara-mara dan sahabat-handai. Anda akan mendapat harga yang istimewa jika membeli secara borong dan jangan lupa untuk tawar-menawar.

Dari  segi harga, semua pengeluar meletakkan harga sama. Hanya rasa sahaja. Pastikan makanan kering yang dibeli kelihatan segar dan masih baru supaya rasanya tidak terjejas. Selain itu, anda juga boleh mencuba manisan khas Kelantan dengan pelbagai jenis pilihan mengiurkan seperti akok, tepung pelita, puteri mandi, badak berendam, tahi itik dan banyak lagi. Mesti cuba, atau anda akan kempunan dibuatnya!

Di tingkat 2, anda boleh membeli barangan batik, songket, tudung bawal, kain ela, kain sarung, kain pelikat, kain sembahyang, blouse, T-shirt,  kraftangan, beg, kasut, barang tembaga, peralatan dapur, bunga, pasu, barang kaca, aksesori, alat solek, pewarna tikar, barang sulaman tudung dan permainan kanak-kanak.

Di sini antara syurga membeli-belah bagi kaum wanita. Kelebihan di sini, terdapat pelbagai pilihan jenis tudung dan kain, lebih banyak berbanding tempat lain. Bagaimanapun, dari segi harga, ia tidaklah murah. Ada sesetengah kedai menjual pada harga yang agak mahal. Jadi, anda perlu bijak membuat pilihan dan rajin tawar-menawar. Anda bolehlah meninjau terlebih dahulu harga yang ditawarkan di sini. Peniaga yang ramah dan melayan anda dengan baik lebih mudah untuk berunding harga. Pembeli puas hati, peniaga pun senang.

Aneka makanan enak
Selepas penat membeli-belah dan ronda-ronda pasar, pastinya anda berasa haus dan lapar. Jadi, bolehlah ke tingkat satu di mana terdapat medan selera yang menjual pelbagai jenis makanan termasuk kuih-muih khas Kelantan.

Tidak perlu bersusah payah  mengintai kedai makan yang lain. Mencuba hidangan makanan di sini sudah cukup membuatkan anda puas. Memang tidak lengkap jika anda berkunjung ke sini tanpa singgah menjamu selera di medan selera Pasar Siti  Khadijah ini. Jadi, jangan lepaskan peluang!

Menu popular yang boleh anda cuba, antaranya Cnasi dagang, nasi kerabu, mi celup, sup perut, laksa, laksam, nasi berlauk, nasi campur dan lain-lain. Selain itu, menu ‘mewah’ seperti udang galah besar, ayam percik dan ayam panggang juga boleh didapati.

Dari segi harganya, anda tidak perlu risau kerana kebanyakan kedai telah meletakkan harga makanan di kedai masing-masing. Semuanya berpatutan. Purata harga menu di sini antara RM2 hingga RM5 untuk satu menu. Contohnya, nasi putih bersama sup perut berharga RM4.50 dan mi sup perut RM3.50. Di sini, terdapat banyak kedai yang menjual menu yang sama.

Nadi penggerak
Setiap pagi, pasar ini seolah-olah menjadi nadi penggerak utama aktiviti perniagaan bandar Kota Bharu. Paling menarik, anda berpeluang melihat sebahagian besar peniaga di pasar ini yang terdiri daripada kaum wanita kelantan sesuai dengan namanya, Pasar Besar Siti Khadijah.

Nama Siti Khadijah diambil bersempena nama isteri Nabi Muhammad SAW, juga seorang peniaga wanita yang berjaya. Gabungan warna-warni, aroma dan suasana hingar-bingar di sini mengambarkan ragam perniagaan yang cukup unik serta penuh budaya Timur.

Oh ya, pasar ini beroperasi seawal jam 6.00 pagi hingga 7.00 petang. Semua peniaga akan menghentikan segala urusan jual beli setelah masuk waktu sembahyang  15 minit. Ini bagi membolehkan semua pengunjung dan peniaga menunaikan solat. Pasar ini sangat meriah pada hari minggu dan cuti sekolah. Penduduk sekitar Kota Bharu juga sering ke sini untuk membeli barangan asas dan keperluan dapur.

Wajah baru
Pasar Besar Siti Khadijah adalah ikon pelancongan dan simbol membeli-belah terutamanya pakaian dan barangan dapur bagi kebanyakan pelancong dan penduduk setempat. Justeru, pada tahun 2014, Pasar Siti Khatijah berubah wajah apabila pihak pengurusan mengambil tindakan mengecat bahagian tengah pasar yang menjadi mercu tanda utama pelancongan Kelantan itu.

Pasar yang dimonopoli kira-kira 80 peratus peniaga wanita itu juga kini semakin besar dengan penambahan bangunan di bahagian penjualan kuih serta memudahkan pengunjung untuk membuat pembelian memandangkan ia terletak bersebelahan dengan jalan utama pasar ini. Kini dengan pemilihan warna lebih ceria dan pelbagai, pasti menaikkan semangat peniaga di sini.

Sepanjang kunjungan penulis di sini mendapati kawasan persekitaran luaran pasar yang penuh sesak dengan kenderaan membuktikan ramai pengunjung memilih pasar ini sebagai satu daripada tempat untuk mendapatkan keperluan harian selain menjadi tumpuan pembelian buah tangan.

Jika anda memilih menginap di sekitar bandar Kota Bharu, pasar ini wajib dilawati.Anda boleh berjalan kaki sahaja jika menginap di hotel yang berdekatan.

Di sini juga turut disediakan kemudahan masjid yang selesa. Terletak di bahagian luar pasar, Masjid Al-Barqah ini sangat disyorkan untuk menunaikan solat dan kemudahan ruang solat serta tandas cukup selesa.

Pendek kata, kunjungan pertama kali ke Komplek Pasar Siti Khatijah ini pasti menggamit rindu di hati. Apatah lagi, rata-rata peniaga di sini ramah dan mesra orangnya. Aneka barang yang dijual juga akan membuat anda tidak mahu membelinya di tempat lain, kecuali di sini. Kenapa? Selain lebih murah, banyak pilihan dan bebas tawar-menawar.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply