Pengarah Lembaga Peperiksaan digantung tugas

0

NA'IMAH ISHAK / STAMVIENTIANE: Pengarah Lembaga Peperiksaan Dr Na’imah Ishak digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 selesai, umum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut digantung tugas Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Misrah Ibrahim akan menjalankan tugas dan tanggungjawab pengarah Lembaga Peperiksaan dalam tempoh itu.

“Kementerian mesti ambil tindakan segera dan tegas kerana insiden seperti ini sudah pasti akan membangkitkan persoalan mengenai integriti Lembaga Peperiksaan dan keseluruhan sistem peperiksaan awam negara kita,” tegas beliau.

Katanya lagi individu terbabit tiada integriti sudah pasti tidak memikirkan kesan perbuatannya yang amat keji itu.

“Walaupun terdapat sistem kawalan yang baik, namun tindakan dan perbuatan tidak amanah dan khianat ini telah membuat anak-anak kita tertekan dan ibu bapa tidak keruan.

“Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, dan sebagaimana telah saya katakan semalam siasatan rapi dan menyeluruh telah pun dimulakan demi menjaga integriti peperiksaan awam di negara ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Asean Kelapan di sini hari ini.- myMetro

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply