Lawak Ke Der, penonton ketawa sakan

0

harithBIARPUN pada awalnya ada pihak yang ‘waswas’ dengan barisan pelawak pilihan pengarah dan penerbit Hans Isaac untuk persembahan Lawak Ke Der 2015, ternyata pertaruhannya berbaloi malah berjaya menghiburkan peminat yang hadir di Panggung Sari, Istana Budaya pada malam pembukaan, Khamis lalu.

Ini sekali gus membuktikan pemilihan barisan pelawak baharu dan lama pada pementasan kali  ini tidak boleh diperlekehkan

Hans mengambil risiko dengan mempertaruhkan pelawak baru seperti Bocey dan Rayza Mukmin bagi menjayakan program lawak berskala besar itu. Dia ditemui selepas tamat persembahan malam pertama itu mengakui berasa bangga dan menyifatkannya sebagai pilihan tepat.

“Saya bangga dengan mereka kerana berjaya membuktikan bakat lebih penting daripada populariti semata-mata. Awalnya, ada pihak yang mempertikaikan barisan pelawak kali ini kerana berpendapat nama mereka tidak cukup besar dalam industri.

Sebagai penerbit, secara keseluruhan Lawak Ke Der yang pernah dipentaskan, pementasan kali ini paling hebat, cukup menghiburkan dan saya amat berpuas hati kerana semua pelawak berjaya menampilkan identiti tersendiri,” kata Hans ketika ditemui pada sidang media selepas pementasan Lawak Ke Der 2015 di Panggung Sari, Istana Budaya.

 

 

 

Selamba dan kreatif
Lawak Ker Der 2015 dipentaskan bermula 16 hingga 19 April itu membariskan pelawak terkenal seperti Harith Iskander, Afdlin Shauki, Dougles Lim dan buat pertama kali menggunakan perantara pelakon Sherry Alhadad.

Sherry selaku satu-satunya pelawak wanita berjaya mencuri perhatian ramai dengan persembahan tarian pembukaan menerusi lagu Who Run The World, yang dipopularkan Beyonce. Walaupun sekadar berperanan sebagai perantara, kehadirannya mewarnai setiap segmen selingan berjaya memberikan impak kepada penonton. Aksi dan keletahnya yang selamba membuat penonton tidak kering gusi.

Walaupun pertama kali diperkenalkan dalam gelanggang Lawak Ke Der, jenaka Rayza Mukmin ternyata berjaya apabila mereka mampu mengundang gelak tawa penonton. Kata Hans, pemilihan Reyza selepas melihat bakatnya  menerusi laman sesawang Youtube.

Sketsa kenduri kahwin sajian daripada Achey, Fad dan Abam turut berjaya mencuri perhatian. Bukan saja penonton, mereka sendiri dalam beberapa babak tertentu tidak dapat menahan ketawa dengan keletah masing-masing.

Douglas Lim memilih beraksi tanpa skrip dan mengekalkan komedi spontan dengan menyentuh beberapa topik semasa seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), gangguan seksual, pendidikan dan perbelanjaan wanita selain berani bercerita mengenai isterinya berjaya menarik perhatian penonton terus fokus kepada lawak yang dipersembahkannya.

Afdlin Shauki pula memilih bercerita mengenai fizikalnya yang berbadan besar dan kelebihannya. Mengisi lawaknya itu, dia turut menyentuh mengenai teguran perunding kesihatan, pemakanan dan kecergasan Kevin Zahari kepada Abam (Bocey) berhubung tagline ‘Gemuk Is Awesome‘.

Walaupun topik golongan wanita yang meminati drama telenovela dilihat agak lapuk kerana telah menjadi fenomena lebih 10 tahun lalu, namun Panggung Sari tetap gamat tatkala Afdlin mendendangkan lagu Rosalinda, Betty La Fea dan Mistress Hermanas.

Harith Iskander berjaya mendapat sorakan gemuruh dengan memilih topik laman sosial Instagram bahan jenakanya kali ini. Dalam sketsanya itu, Harith berkongsi komen lucu peminat pada gambar yang dimuat naik beberapa artis popular.
lawak4Bagi memperingati jasa dan pengorbanan Allahyarham Harun Salim Bachik dalam industri komedi tanah air, segmen tribute khas buat membuat penonton sebak dengan pemergian bintang seni yang begitu berbakat itu.

Secara keseluruhannya, persembahan semua pelawak menerusi Lawak Ke Der 2015 berjaya bikin ‘pecah panggung’ dan membuat penonton ketawa sakan dalam setiap segmen lawaknya. Tahniah!

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply