Penuhi keperluan emosi anak

0

‘DI mana tumpahnya kuah, kalau tidak di nasi’, peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan persamaan antara ibu bapa dengan anaknya. Ya, setiap perbuatan, sikap dan tutur kata anak adalah cermin kepada cara ibu bapa mengasuh dan mendidik anak.

Ibarat sehelai kertas putih kosong, anak memerlukan bimbingan daripada ibu bapanya supaya dapat membezakan baik dan buruk. Sebagai ibu bapa, anda teladan kepada anak, memegang tanggung penting dalam perkembangan hidup anak, kasih sayang, membina keyakinan diri anak, cara bersikap dan tutur kata yang baik.

Berikut ini beberapa amalan yang wajar diterapkan dalam membina keperibadian anak anda. Tip ini boleh diamalkan ketika anak masih kecil untuk memudahkan proses membimbing mereka.

  • Menjalin hubungan baik dengan anak satu langkah awal dalam membina hubungan sosial dengan orang lain. Letakkan diri anda sebagai ibu bapa sekali gus temannya, cara ini anda lebih mengenali keperibadian, tingkah laku, tutur kata dan perasaan anak .
  • Dengar setiap pendapat anak sebagai tindak balas anda pada keberaniannya. Setiap anak mempunyai hak untuk meluahkan pendapatnya, mereka mempunyai alasan, baik dari sudut penolakan ataupun persetujuan. Apabila anak memasuki alam pergaulan dalam masyarakat, mereka lebih menghargai pendapat orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri.
  • Setiap anak lahir dengan anugerah kelebihan dan kekurangan berbeza. Justeru, jangan membandingkan anak dengan anak yang lain. Jika tidak, tindakan boleh memberi tekanan hingga boleh mengurangkan keyakinan diri anak. Berfikiran positif dan selalu dampingi anak serta berusaha memupuk keyakinan dengan segala kelebihan dan kekurangan yang dimilikinya.
  • Tidak dinafikan, memanjakan anak satu daripada cara melahirkan rasa cinta kasih sayang. Bagaimanapun, terlalu mengikuti semua keinginan anak tidak baik untuk perkembangan psikologinya. Jika kebiasaan itu berlanjutan, anak akan terus bergantung kepada ibu bapa dan tidak dapat berdikari.
  •  Jika anda sentiasa sibuk, bahagikan masa sebaik mungkin. Misalnya, bantu anak mandi sebelum ke tempat kerja, uruskan keperluannya dan dampingi anak ketika sarapan. Begitu juga apabila pulang dari tempat kerja, menemani anak  ketika dia mahu tidur. Anda boleh bercerita atau tanya perkembangan kegiatan hariannya. Paling penting, sediakan waktu bersama anak, terutama pada hujung minggu. Beri perhatian kepada anak untuk menggantikan waktu yang hilang kerana kesibukan di tempat kerja. Cara ini, anak tetap mempunyai waktu bermain dan bermanja bersama anda dan tidak membesar menjadi individu  yang selalu mencari perhatian orang lain kerana kekurangan perhatian serta kasih sayang. – Teks: Azni Lee Abdullah
 Kredit foto: Sumber Internet

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply