Pesona menakjubkan di pergunungan Yilan

0
537056_10151372281844518_1908089953_n

Percutian enam hari lima malam ini memberi pengalaman berbeza, kerana selain berkesempatan melihat kepesatan ibu kotanya yang unik. Penulis suka melihat penduduk kotanya yang selesa berbasikal ke tempat kerja mahupun ke kolej.

PELUANG berkunjung ke negara Taiwan pada musim dingin cukup mengujakan penulis. Percutian enam hari lima malam ini memberi pengalaman berbeza, kerana selain berkesempatan melihat kepesatan ibu kotanya yang unik. Penulis dapat mengenali lebih dekat budaya dan keistimewaan yang ditawarkan di negara ini.

Selain kota Taipei kota yang pesat membangun, penulis berpeluang mengunjungi Ilan atau Yilan iaitu daerah terbesar di Taiwan yang cukup menarik untuk dikunjungi. Mempunyai kepadatan penduduk kira-kira 300,000 orang, kebanyakan warganya menjalani kehidupan dengan hasil pertanian.

Perjalanan dari Kota Taipei mengambil masa 50 minit dan perlu merentasi tujuh terowong termasuk Terowong Gunung Salji sepanjang 13 kilometer. Terowong ini dibina untuk memisahkan bahagian timur dan barat Taiwan, sekali gus mempercepatkan perjalanan. Laluan terowong ini mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan.

Yilan kaya dengan hasil bumi selain menjadi pusat tumpuan budaya negara itu. Lebih menarik, keadaan cuaca di Yilan yang beriklim sejuk cukup mendamaikan. Tambah mengasyikkan apabila melihat batas sawah padi yang diperbuat daripada konkrit, bukan tanah.

Dalam perjalanan, anda boleh singgah sebentar di Pusat Kesenian Tradisional Nasional (NCTA) yang merangkumi kawasan seluas 24 hektar. Pusat kesenian di tebing Sungai Dingshang ini direka untuk mempromosikan sejarah seni, teater, muzik, tarian dan akrobatik.

Sesuatu yang menarik di sini, selain hasil seni penuh kreativiti adalah pameran Koji Potery Works of Lin Guang Yi yang memperlihatkan  hasil seni tangan Lin Guang Yi dan kumpulannya membuat sarang semut serta beberapa ekor semut berjalan di atas ranting kayu yang diperbuat daripada emas tulen. Sungguh mengkagumkan!

Di Yilan, penulis memilih menginap di Shangrila Leisure Farm Resort. Penulis leka menikmati pemandangan sepanjang perjalanan ke bahagian Tenggara Taiwan menuju ke  farm resort ini yang melalui Gunung Doyuan. Resort yang terletak di atas bukit yang berada 250 meter dari paras laut ini dibina dengan tema kawasan pergunungan Eropah. Suasana dan udaranya sungguh menakjubkan!

Kebetulan ketika ini musim dingin, jadi sewaktu bas mendaki Gunung Doyuan, penulis terpukau melihat keindahan alam semula jadinya yang dihiasi bunga sakura. Pohon bunga sakura yang mekar menghiasi laluan bas menggamit rasa kagum dengan ciptaan Ilahi. Masya-Allah, indah sungguh ciptaan Tuhan.

Peluang bercuti dua hari satu malam di resort ini sangat berharga, apatah lagi diberi peluang menikmati pengalaman kehidupan di desa Yilan yang begitu mendamaikan. Keheningan malam dengan suhu mencecah lima darjah celsius dihangatkan dengan pelbagai aktiviti, antaranya tarian Gangnam Style, pertandingan gasing dan menghias tanglung. Lebih menarik lagi, penulis juga berpeluang melihat pelbagai jenis pokok buah-buahan termasuk limau kumquat (seperti limau kasturi tetapi rasanya manis dan bentuknya bujur), buah nona dan limau tangerin.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply