Peti suara kritikal, Tiara akur tangguh Konsert PGL Reunion

0
Tiara menunjukkan imej pembengkakkan pada pita suaranya kepada wartawan yang hadir dan turut diperhatikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana budaya, Nik kamaruzaman Nik Husin.

Tiara menunjukkan imej pembengkakkan pada pita suaranya kepada wartawan yang hadir dan turut diperhatikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana budaya, Nik kamaruzaman Nik Husin.

TIDAK menafikan kecewa kerana tidak dapat meneruskan hasratnya untuk mengadakan Konsert Puteri Gunung Ledang Reunion, yang dijadualkan berlangsung pada 27 November hingga 1 Disember 2014, namun peneraju utamanya, Puan Sri Tiara Jacquelina akur apabila dinasihatkan doktor untuk berehat, sekali gus tidak  membabitkan diri dalam mana-mana persembahan kerana kerana mengalami masalah pada pita suara yang kritikal. Pengarah Kreatif Enfiniti Vision Media (EVM), Chedd Yusof, berkata, keadaan itu menyebabkan Konsert PGL Reunion terbitan EVM bersempena 10 tahun jenama berkenaan terpaksa ditangguhkan ke tarikh baru pada 20 – 24 Mac 2015 di Istana Budaya. Justeru,  Enfiniti menawarkan pemulangan wang kepada peminat telah membeli tiket atau tiket boleh disimpan untuk digunakan semula pada Mac nanti. “Doktor pakar telinga, hidung dan tekak yang merawat Tiara menasihatkan agar vokalnya direhatkan dan tidak meneruskan konsert. Jika diteruskan, dikhuatiri berlaku kerosakan kekal pada pita suaranya.” ujar Chedd selaku jurucakap Tiara pada sidang media mengumumkan penangguhan konsert itu. Walaupun dalam sidang media itu, Tiara yang biasanya petah bercakap dilihat sukar untuk bersuara dan terpaksa menggunakan telefon pintar untuk memberi maklumat kepada Chedd, namun memaksa diri untuk tetap bercakap sendiri mengenai keadaan kesihatan suaranya.

“Seboleh mungkin, saya mahu tetap meneruskan konsert ini. Apatah lagi, tahun ini genap 10 tahun jenama PGL. Pun begitu, mengambil kira nasihat doktor, rakan dan keadaan jangka panjang, saya akur untuk menangguhkannya ke tahun depan. Sewaktu pementasan  Teater Muzikal P. Ramlee Oktober lalu, saya sudah rasa kesakitan pada peti suara. Apatah lagi, ketika memeran watak Norizan memerlukan lontaran vokal yang berbeza daripada suara asal saya. Saya ada menggunakan steroid bagi mengurangkan kesakitan, kemudian bengkak pada pita suara semakin teruk. Pada mulanya, saya fikir hanya sakit tekak biasa tetapi apabila masuk sebulan suara hilang, saya terus dapatkan rawatan pakar” kata Tiara yang kini menjalani rawatan terapi suara di bahagian fisio Hospital Prince Court, Kuala Lumpur.

Walaupun keadaan vokal Tiara dalam proses rawatan, tetapi sesi latihan tetap diteruskan seperti biasa.

Walaupun keadaan vokal Tiara dalam proses rawatan, tetapi sesi latihan tetap diteruskan seperti biasa.

Janji konsert istimewa Konsert PGL Reunion bakal membariskan semula bintang seperti Stephen Rahman Hughes, Adlin Aman Ramlie, Ida Mariana dan ramai lagi dalam mengembalikan nostalgia kegemilangan filem PGL. Dalam persembahan berdurasi 1 jam 45 mini itu, sekurang-kurangnya 20 lagu akan diberi nafas baru seperti Asmaradana, Keranamu Kekasih, Katakan Hadirmu Kerana Cinta dan banyak lagi bakal menghiburkan penonton yang hadir. “Enfiniti akan menggunakan ruang ini dalam memperkukuhkan persediaan warga produksi dalam konsert itu nanti. Penangguhan ini turut memberikan peluang dan masa lebih kepada pasukan produksi untuk memantapkan persediaan konsert PGL. Walaupun keadaan vokal Tiara dalam proses rawatan, tetapi sesi latihan tetap diteruskan seperti biasa dan kami sangat teruja untuk mempersembahkan konsert terbaik serta istimewa kepada peminat PGL.”  kata Chedd.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply