Rakyat Sabah diminta bertenang

0

SabahKOTA KINABALU – Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Deputi Komisioner Datuk Abdul Rashid Harun meminta rakyat negeri ini supaya bertenang dan tidak berasa bimbang ekoran pendedahan maklumat dalaman yang tersebar luas melalui media sosial.

Sambil mengesahkan menerima maklumat sedemikian, beliau berkata maklumat itu telah dipanjangkan kepada anggota barisan hadapan termasuk bahagian perisikan untuk pengesahan.

“Ini adalah proses dalaman yang biasa. Setelah penelitian dibuat terhadap maklumat yang diterima seperti dilaporkan dalam edaran maklumat dalaman itu, kita dapati ia tidak betul dan hanya khabar angin yang cuba diuar-uarkan orang tertentu untuk mengelirukan kita,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Rashid meminta rakyat Sabah supaya tidak merasa cemas dan takut kerana keadaan keselamatan di negeri itu khususnya Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) terkawal.

“Jangan dengar khabar angin atau berita palsu yang sengaja dihebahkan melalui media sosial, WhatsApp atau SMS (khidmat pesanan ringkas),” katanya.

Abdul Rashid berkata, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Esscom atau pejabat polis daerah berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih berhubung status keadaan keselamatan di Esszone.

Mengenai kebocoran maklumat dalaman, Abdul Rashid berkata perkara itu sedang disiasat dan mana-mana pihak yang membocorkan dokumen berstatus rahsia akan diambil tindakan.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menegaskan keadaan keselamatan di Sabah, khususnya di pantai timur adalah terkawal dan meminta rakyat tidak mempercayai khabar angin yang tersebar dalam laman sosial. – Bernama / Sinar Harian

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply