Reena Nicky enggan pandang belakang

0
Reena cover1

“Sejujurnya, saya sentiasa teruja dan bersemangat untuk mengejar impian hidup. Apa-apa saja yang berlaku sebelum ini, saya anggap semua itu sebagai sebahagian daripada ujian dan dugaan yang harus ditempuhi.”

Menyifatkan keperitan dan kegagalan yang dilalui dalam usaha merealisasikan impiannya sebagai sumber inspirasi, membuat wanita kecil molek ini enggan menoleh ke belakang lagi. Justeru, bagi bintang baru seni suara tanahair, Reena Nicky atau nama sebenarnya, Nik Azlina Nik Dir, walaupun single sebelum ini kurang mendapat sambutan dia sangat teruja kerana impian selama ini untuk mengeluarkan sebuah album sendiri akhirnya terlaksana.

“Kata orang, banyak cabaran apabila jadi artis. Saya sedar hakikat itu. Insya-Allah, saya sudah bersedia untuk menghadapinya. Saya berusaha dan sanggup mengharungi pelbagai cabaran juga dugaan hingga dapat menghasilkan album sendiri bukan atas dasar suka-suka. Sejak kecil saya suka menyanyi dan sudah berada di pentas nyanyian sejak tahun 1994.

Walaupun ketika itu saya bukan artis, belum ada album tetapi saya melakukannya kerana keinginan dan minat yang sangat mendalam pada dunia nyanyian. Jadi, apabila sudah berada di tahap sekarang (mempunyai album penuh sendiri), saya tak boleh takut-takut dan menghadkan kemampuan saya.

Saya tak mahu pandang ke belakang. Sebaliknya, saya perlu lebih berani melangkah ke hadapan. Lagipun, masih banyak yang perlu saya belajar dan kutip sebanyak mungkin pengalaman dalam bidang ini,” kata Reena ketika ditemui dalam satu sesi fotografi khas di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Reena3

Kata Reena, demi mencapai kepuasan dan merealisasikan impiannya yang sekian lama dipendam, dia sanggup mengeluarkan wang bagi mendapatkan lagu daripada komposer ternama seperti Manan Ngah, Is Wow, Azam Dungun serta Rosli Ahmad.

Kegagalan berbaloi
Biarpun pernah menempuh kegagalan dan terpaksa menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit apabila ditipu seorang komposer, bagi Reena itulah antara pengajaran yang sangat bermakna dalam perjalanannya menggapai impian. Kesilapan masa lalu dijadikan pembakar semangat untuk menempuhi perjalanan yang semakin mencabar.

“Sejujurnya, saya sentiasa teruja dan bersemangat untuk mengejar impian hidup. Apa-apa saja yang berlaku sebelum ini saya anggap semua itu sebagai sebahagian daripada ujian dan dugaan yang harus ditempuhi. Tiada kejayaan yang dapat diraih dengan jalan mudah.

Saya selalu sematkan dalam diri, apa-apa juga yang dihadapan saya perlu dihadapi dengan penuh semangat dan disiplin yang kuat. Saya sanggup berbelanja besar untuk merealisasikan hasrat mengeluarkan album pertamanya dan saya anggap pelaburan yang dilakukan ini amat berbaloi kerana apa yang diusahakan berjaya direalisasikan hasil usaha sendiri.”

Teruja bercerita mengenai perkembangan album sulongnya, Penuh Magika, yang dilancarkan Mei 2015, Reena mengakui berasa sangat terharu dan bertuah apabila enam komposer serta penulis lirik terhebat tanah airsudi bekerjasama dengannya meskipun dia penyanyi baru.

Album berkonsepkan pop yang memuatkan lagu antaranya Terbaik Buat Kita, Sedarlah Semua,Anak Seni,Katakan Ya Pada Dunia, Sampai Saat Ini, Lama Terpisah, Cinta Yang Terpatri dan Hebat Gemamu Aidilfitri, diedarkan syarikat rakaman Warner Music.

Usia, status bukan halangan
Walaupun hanya berpeluang membabitkan diri dalam dunia nyanyian pada usianya 36 tahun,  namun bagi wanita kelahiran Pasir Puteh, Kelantan ini, usia dan status bersifat subjektif.

“Saya anggap, ini rezeki dan masa untuk saya merealisasikan impian. Jadi, kehadiran saya  pada usia sekarang bukanlah halangan untuk mencipta jaya. Tiada had umur untuk mengejar impian kita, selagi ada semangat, usaha dan keyakinan, teruskan. Saya percaya, cepat atau lambat bukan soalnya. Sebaliknya kepuasan yang kita dapat apabila impian itu berjaya dilaksanakan.

Mungkin ada orang beranggapan, agak terlewat untuk saya menjadi artis dan keluarkan album sendiri. Saya tidak berkecil hati dengan tanggapan itu, tiada sebab untuk saya rasa lemah semangat dan melupakan impian saya hanya kerana faktor usia. Macam saya katakan awal tadi, saya sudah menyanyi sejak 1994. Sepanjang tempoh itu, saya menimba pengalaman menyanyi di hotel, tapak pesta dan majlis tertutup di sekitar Kelantan, Kuala Lumpur dan Thailand.

Reena1

“Tiada had umur untuk mengejar impian kita, selagi ada semangat, usaha dan keyakinan, teruskan. Saya percaya, cepat atau lambat bukan soalnya. Sebaliknya kepuasan yang kita dapat apabila impian itu berjaya dilaksanakan.”

Pengalaman itu sangat membantu diri saya apabila berjaya menghasilkan album dan membuat persembahan. Saya mungkin penyanyi baru. Ya baru ada sebuah album sendiri, tetapi Alhamdulillah, saya sudah ada pengalaman menyanyi di pelbagai peringkat usia, majlis dengan genre muzik. Ini semua sangat membantu.

Saya menyanyi kerana minat dan sanggup berhabis banyak duit untuk merealisasikan impian yang dipendam sekian lama. Kehadiran saya dalam bidang ini bukan untuk mengejar populariti atau menyaingi sesiapa, tetapi mahu buktikan apa yang saya perjuangkan selama ini. Sama ada berbaloi atau tidak, itu bukan matlamat saya. Kalau ada yang suka lagu nyanyian saya, itu bonus,” katanya positif.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply