“Saya berzumba untuk sihat dan gembira.” – Jue

0

Aktiviti kecergasan secara berkumpulan seperti senam zumba banyak membantu menghilangkan tekanan dan menceriakan hati.

Lumrah apabila seseorang itu mendambakan bentuk tubuh menarik, cergas, ceria dan berkeyakinan.  Justeru, ramai yang berazam ingin mencapai bentuk badan ideal. Pun, apalah gunanya berazam jika tidak dilaksanakan. Bangkit daripada sekadar berangan dan berharap, Masalimah Sahar, 40, nekad untuk merealisasikan azamnya itu.

Dia yang mesra disapa, Jue, sedar, tiada jalan mudah untuk mencapai apa yang dihajati. Pengorbanan dan kesungguhan perlu seiring, barulah hasil dapat digenggam.

“Dulu berat badan saya 78.7kg. Ketika itu kurang bersenam dan tidak jaga pemakanan seimbang. Penampilan saya kelihatan lebih tua dari usia sebenar. Keyakinan diri juga kurang, nak bergaya pun segan. Bertitik tolak dari rasa serba tak kena itu, saya nekad buat perubahan.

“Alhamdulillah, sekarang berat badan saya berjaya diturunkan ke 51kg. Sejujurnya, ini bukan kerja mudah. Bukan usaha sehari dua, tanpa kesungguhan, disiplin dan keinginan yang kuat susah untuk melakukannya. Saya akui, pada awalnya banyak dugaan terutama apabila perlu kawal pemakanan. Menahan lapar dan keinginan untuk makan, Tuhan saja tahu.

“Apabila berat badan mula turun, perasaan gembira itu buat saya semakin bersemangat untuk terus berusaha. Tambah lagi bila keluarga dan kawan-kawan memuji,” kata Jue, yang mengakui turut mengurangkan pengambilan karbohidrat dalam diet hariannya.

Selain mengamalkan diet yang sesuai, dia juga aktif menyertai senam zumba. Ibu kepada dua orang anak ini memperuntukkan masa dua jam di dalam kelas zumba.

“Biasanya saya berzumba empat kali seminggu. Senam zumba ni, sambil bersenam kita bersuka ria mengikut rentak lagu. Sepanjang berada di kelas zumba, tak rasa tertekan sebab seronok dapat menari sambil bersenam. Tekanan berkurangan selepas aktiviti zumba. Sejak saya ikut kelas zumba, badan rasa lebih sihat dan bertenang, Sakit seperti lenguh lutut, tumit, kaki  dan pinggang juga hilang. Paling ketara, kesihatan lebih stabil, keyakinan diri juga bertambah dengan berat badan ideal. Cubalah, anda akan rasa perbezaannya.

“Saya bersyukur sebab keluarga memberi sokongan sepenuhnya, terutama apabila saya rasa malas dan nak ponteng kelas zumba. Kalau sebelum ini niat saya berdiet dan berzumba sebab nak dapat berat badan idaman, sekarang lebih kepada mahu menjaga kesihatan. Apabila tubuh sihat, fikiran lebih tenang dan positif. Paling penting, saya berjaya kurangkan berat sekali gus dapat bentuk tubuh ideal tanpa pengambilan ubat atau makanan tambahan lain.”

Kerja rumah tak bantu badan kurus
Ditanya pendapat mengenai segelintir wanita yang menolak untuk bersenam kerana berpendapat memadai dengan melakukan rutin harian mengurus rumah tangga seperti mengemas rumah, mencuci pakaian, memasak dan lain-lain.

Aktiviti mengemas rumah membakar kalori yang sangat sedikit

“Secara peribadi saya kurang setuju, sebab, walaupun rutin itu memenatkan dan mengeluarkan peluh, tetapi pergerakannya tidak berterusan. Senam zumba misalnya, melakukan pergerakan berterusan sepanjang tempoh satu jam tanpa henti. Selain itu, rutin mengemas rumah hanya membakar kalori yang sangat sedikit dan tidak membantu proses pembakaran kalori.

“Jadi, walaupun sibuk mengurus rumah tangga dan keluarga, perlu cari masa untuk bersenam. Pilihlah senaman yang sesuai dan jaga pemakanan. Apabila usia semakin meningkat, kadar pembakaran kalori juga lambat.

“Diet semata-mata tak banyak membantu, untuk dapat bentuk badan menarik dan bertenaga, kita perlu bersenam sekurang-kurangnya dua kali seminggu.” katanya yang mengamalkan minum air panas kosong sebelum tidur.

 

 

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply