Sejambak bunga duka

0
Gambar: myMetro

Gambar: myMetro

HASRAT seorang suami membuat kejutan terhadap isterinya sempena sambutan Hari Ibu tidak kesampaian apabila wanita berkenaan maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 154, Jalan Johor Bahru-Seremban di Labis, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, mangsa, Ding Lay Huong, 36, yang memandu Toyota Vios mati di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala anak lelakinya berusia enam tahun cedera dan kini dirawat di sebuah pusat perubatan di daerah ini.

Menurut suami mangsa yang dikenali sebagai Lai, 44, berkata, kejadian berlaku ketika isteri bersama anak bongsu daripada dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bukit Siput dari Chaah sebelum Toyota Vios dinaiki bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier.

Katanya, jam 8 pagi kelmarin, isterinya meminta izin untuk ke Chaah bagi menghantar kuih pau diusahakannya kepada pelanggan bersama anak bongsu mereka.

“Bagaimanapun, selepas tengah hari, dia masih belum pulang menyebabkan saya risau dan menghubungi telefon bimbitnya, tetapi panggilan tidak berjawab.

“Saya makin risau kemudian membuat keputusan untuk keluar mencarinya bersama anak sulung,” katanya.

Menurut Lai, ketika bersiap keluar mencari isteri, dia menerima panggilan rakan memaklumkan isterinya terbabit dalam kemalangan jalan raya di Labis.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan polis memaklumkan isteri sudah mati manakala anak cedera.

Saya terkilan kerana kami sepatutnya meraikan Hari Ibu hari ini (semalam), malah saya bercadang membuat kejutan dengan memberi isteri sejambak bunga lepas makan malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, kereta dipandu mangsa bertembung dengan Toyota Harrier dinaiki sepasang suami isteri berusia 60-an dari arah Labis.

“Pemandu dan penumpang Toyota Harrier yang juga pasangan suami isteri warga emas tidak cedera serius.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.- myMetro

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply