Selepas tiga dekad, Tamar Jalis terus popular

0
"Saya amat bersyukur dan terharu dengan sambutan daripada peminat juga pembaca setia SBDJ, tak sangka masih ada yang sudi hasil tulisan saya hingga sekarang."

“Saya amat bersyukur dan terharu dengan sambutan daripada peminat juga pembaca setia SBDJ, tak sangka masih ada yang sudi hasil tulisan saya hingga sekarang.”

SUDAH lama penulis menyimpan hasrat untuk menemubual penulis hebat ini, walaupun mengenalinya secara peribadi namun baru kali ini berkesempatan berbual mengenai karya hebat, novel siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) yang dihasilkan kira-kira 30 tahun lalu.

SBDJ yang ditulis Tamar Jalis mulai 1981 (menerusi Majalah Variasari, terbitan Variapop Group Sdn Bhd.) hingga kini masih terus mendapat tempat di hati peminat setianya, malah sejak terbitnya SBDJ hingga kini, karya berkonsepkan penulisan memoir ini sangat diminati ramai dan mempunyai peminat tersendiri hingga wujud facebook da blog yang menggunakan nama ‘Tamar Jalis’ kendalian peminatnya. Melalui laman sosial dan blog berkenaan, peminat saling bertukar maklumat dan pandangan mengenai SBDJ.

Presiden Persatuan Karyawan Perak, Zabidin Haji Ismail,  dalam kertas kerja wacana ‘Siri Bercakap Dengan Jin -Memperkasakan SBJD sebagai karya kreatif Melayu tersohor’, menyifatkan meskipun SBDJ tersohor dengan kisah hantu, jin dan makhluk halus yang melingkari kehidupan orang Melayu zaman dahulu, tetapi secara instrinsik manipulatifnya penulis berjaya memaparkan sosio-budaya, psikologi, falsafah, petua, perubatan tradisional, mistik, keagamaan, seni persilatan, kebatinan, sejarah tempatan, geografi, pemburuan, pengembaraan di Tanah Melayu dan Sumatera (Jambi, Krinchi, Bangkahulu dan Aceh), selain kepakaran menundukkan makhluk halus.

Lebih menarik, penulis ini memiliki kepakaran menceritakan sesuatu dengan terperinci. Dia berbakat mengolah sesuatu cerita itu dengan bahasa Melayu  baku yang mudah difahami dan memikat. Selain mampu melukiskan setiap apa yang dilihat, apa yang didengar dan apa yang dirasanya dalam penulisan. Kekuatan inilah yang menyebabkan SBDJ menjadi tarikan pembaca. Hebat, bukan!

Karya kreatif ini digarap bercirikan sastera genre memoir dengan pendekatan autobiografi yang mampu menarik perhatian pembaca dalam menghayati rentetan peristiwa melalui ‘orang pertama’ iaitu Tamar Jalis bersama ‘datuk’nya (Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah).

“Saya pilih nama samaran ‘Tamar Jalis’ untuk novel SBDJ kerana nama itu ada dalam Hikayat Inderaputera yang terkenal dalam kesusasteraan Melayu tradisional. Tamar Jalis ini adalah anak raja jin Tamar Bunga (Tamar Boga) yang dibunuh Inderaputera. Jadi, saya rasa nama itu sangat sesuai dengan tajuk siri yang berkait mahkluk jin,” kata Tamar Jalis atau nama sebenarnya, Ahmad @ Mohd.Radzi bin Mahmud.

Penulis tersohor kelahiran Beruas, Perak ini masih aktif menulis, malah kini sibuk menyiapkan siri-siri terakhir untuk SBDJ yang diterbitkan Nafiela Books .

“Saya amat bersyukur dan terharu dengan sambutan daripada peminat juga pembaca setia SBDJ, tak sangka masih ada yang sudi hasil tulisan saya hingga sekarang.”

Kaya pengalaman
Mengimbau sejarah pembabitannya dalam dunia penulisan, penulis berusia 75 tahun ini  pernah menjadi pemberita bebas dan kerani pengedar akhbar Utusan Melayu (1970) dan pernah bertugas sebagai Ketua Editor kumpulan majalah Variapop Group.
Ahmad Mahmud mula membabitkan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 1955 menerusi Utusan Kanak-Kanak dan Tunas. Cerpen pertamanya tersiar dalam majalah Mutiara pada tahun 1958 berjudul Berhari Raya di Kampung.

Selain menulis cerita kreatif SBDJ yang tersohor dalam sejarah kesusasteraan Melayu itu, dia juga aktif menulis novel dan cerpen. Cerpennya tersiar dalam pelbagai majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Mastika dan Widya, dan akhbar Berita Minggu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Watan.

Dua buah cerpennya, Menanti Ayah (1971) dan Samad Toja (Mingguan Malaysia, 26 Mei 1974 dan kemudiannya dimuatkan dalam Antologi Hadiah Karya Sastera 1974 terbitan DBP (1976)) memenangi Hadiah Karya Sastera menjadi bukti kekuatan dan ketinggian mutu cerpen tulisannya.

Sementara tiga buah cerpennnya, Jaril,Jangan Tinggalkan Emak (Dewan Bahasa, September 1973), Paman (Dewan Sastera, Januari 1977) dan Cincin Berlian Bermata Dua (Dewan Sastera, April 1980) dimuatkan Hamzah Hamdani dalam buku selenggaraannya Di Bawah Bayang Kemboja terbitan DBP (1981).

Jika sebelum ini 'Tamar Jalis' selesa bersikap low profile (kerana tidak mahu dikenali ramai), kini dia tidak kekok lagi bertemu serta beramah mesra dengan peminat karyanya menerusi pelbagai program yang diatur penerbitnya, Nafiela Books.

Jika sebelum ini ‘Tamar Jalis’ selesa bersikap low profile (kerana tidak mahu dikenali ramai), kini dia tidak kekok lagi bertemu serta beramah mesra dengan peminat karyanya menerusi pelbagai program yang diatur penerbitnya, Nafiela Books.

Lebih membanggakan, cerpennya berjudul Paman bersama cerpen pengarang lain turut dimuatkan dalam antologi Suatu Subuh Yang Bening selenggaraan Othman Puteh dan Ramli Isin terpilih dan menjadi teks kesusasteraan Melayu peringkat SPM pada tahun 1980-an dan menjadi bahan kajian pelajar untuk lulus peperiksaan SPM.

Menerusi nama samaran Atma A.M, Ahmad Mahmud menghasilkan novel percintaan dan kemasyarakatan berjudul Bukan lmpian Hati 1 & 2 (terbitan Variapop Group) pada tahun 1987.

Selain menggunakan nama Atma A.M, dia juga nama samaran Ramadhan A.M menerusi dan menghasilkan novel seperti Kasihku, Sewangi Cempaka (1988) dan Kukirim Rindu Untukmu (1988) juga terbitan Variapop Group, Kuala Lumpur.

Pada bulan April 1985 hingga Januari 2005, dia mula menghasilkan tulisan berkonsep penulisan memoir menerusi novel SBDJ di dalam majalah Variasari dan mencipta rekod sebagai siri novel terpanjang di Malaysia, Asia Tenggara. Sekali gus dunia antarabangsa. Pada era 1980-an, majalah Variasari pernah dicetak 120,000 naskhah sebulan kerana wujudnya siri SBDJ itu.

“Sewaktu menulis SBDJ, saya tidak menyangka novel ini akan mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat pembaca. Terima kasih kepada anda semua yang terus memberi sokongan kepada saya. Menerusi Nafiela Books, SBDJ diterbitkan dengan beberapa penambahbaikan terutama informasi mengenai tempat yang menjadi latar cerita dalam novel ini,” ujar Ahmad Mahmud ketika ditemui InspirasiMagazine.Com baru-baru ini.

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

Anis Remli

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Leave A Reply