Thursday, Feb 22, 2018
HomeHiburan/SelebritiShila Amzah kritik media Melayu

Shila Amzah kritik media Melayu

DUNIA hiburan tempatan tiba-tiba ‘panas dan riuh’ apabila Shila Amzah berkongsi status  di media sosial yang mendakwa media Melayu (media berbahasa Malaysia) tidak membuat liputan konsertnya ‘Shila Amzah Love Live In Malaysia’ yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuchai Lama Sabtu lalu.

Advertisements

Pada awalnya, status itu dimuat naik pemilik Instagram/shilaamzah_photography dan kemudiannya dimuat naik semula (repost) ke akuan Instagram milik Shila sendiri. Kapsyen pada gambar yang dimuat naik  @shilaamzah_photography dan dimuat naik semula ke Instagram milik Shila, mendakwa media Melayu lebih berminat menulis berita berkaitan gosip berbanding media Cina (media berbahasa Cina) yang memberi liputan penuh mengenai konsert terbabit.

Pemilik @shilaamzah_photography sekali lagi menimbulkan pergolakan antara media dan Shila serta pengikutnya apabila memuat naik gambar senarai media yang hadir membuat liputan pada malam konsert terbabit sebagai bukti memang ada ‘media Melayu’ menghadiri konsert itu

Pada gambar yang dimuat naik ditulis kapsyen berikut;  “Ramai (media) yang kata tiada undangan dari pihak Shila. Jadi di sini, kami berjaya dapatkan tandatangan media yang hadir pada malam itu. Jadi, anda nilailah sendiri,”

Gambar dengan kapsyen sama kemudiannya turut dikongsikan melalui dua akaun Twitter @Shilaamzah dan @realSHILALAS.

Tindakan juara pertandingan Asian Wave 2012 di China itu mendapat maklum balas daripada pengikutnya (dalam akaun Instagram Shila) hingga ada yang turut mengecam akhbar berbahasa Melayu.

Isu ini bertambah keruh apabila kelab peminat Shila memainkan isu perkauman dengan membuat perbandingan antara media berbahasa Cina dan Melayu.

Bagai dijangka, ramai peminat fanatik penyanyi ini tampil mempertahankannya, malah menganggap wartawan hiburan mudah melatah apabila dicuit artis ini, tetapi itu bukan isu utama. Soalnya, cara dan kebiadapan Shila kepada media berbahasa Melayu yang selama ini tidak jemu memberi sokongan kepadanya. Hanya kerana konsert sulungnya tidak mendapat publisiti meluas di media berbahasa Melayu, Shila terus menempelak tanpa usul periksa.

Hakikatnya, media berbahasa Melayu tidak mendapat undangan daripada penganjur, Mega Ultimate Sdn Bhd, mahupun pihak pengurusan Shila sendiri. Lebih malang, ada rakan media yang menerima undangan liputan konsert itu pada saat akhir selepas meminta kebenaran daripada pihak penganjur untuk membuat liputan konsert berkenaan. Itupun selepas terpaksa merayu ibarat pengemis, demi mahu hadir untuk membuat liputan.

Dek keterlanjuran yang tidak sepatutnya berlaku itu, tersebar fakta kurang enak mengenai penganjuran konsert itu. Hurmmm…Mungkin Shila berasa ‘tarafnya’ sudah tinggi, jadi dia ‘bebas’ membidas media yang selama ini sentiasa memberi publisiti percuma kepadanya. Penyanyi muda ini juga mungkin terlupa’ kata bijak pandai, “Kalau mendongak bintang di langit, jangan sekali-kali lupa pada rumput di bumi.”

 

comments

POST TAGS:
FOLLOW US ON:
Jamie Oliver auranya
Nafas seni gaya Sand

nishaeimann@gmail.com

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Rate This Article:
NO COMMENTS

LEAVE A COMMENT

Optimized with PageSpeed Ninja