Solat hajat minta hujan

0

Kira-kira 600 umat Islam sekitar Lembah Klang hadir menunaikan solat hajat istisqa yang diketuai oleh Imam Masjid Negeri, Sheikh Abdul Karim di Dataran Kemerdekaan Shah Alam untuk memohon hujan.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS), Profesor Madya Zainal Abidin bin Kidam berkata, solat hajat ini diadakan bertujuan untuk meminta pertolongan daripada ALLAH SWT apabila berlakunya sebarang kesukaran dalam kehidupan.

“Cuaca panas dan kering ini telah menyebabkan beberapa negeri mengalami masalah air seperti Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

“Diharapkan dengan solat hajat yang kita serta pertolongan daripada ALLAH, hujan akan turun sekali gus meningkatkan paras air di setiap empangan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan seperti pembenihan awan merupakan salah satu alternatif yang baik bagi menyelesaikan masalah air dan kebakaran hutan yang dihadapi sekarang.

“Sememangnya manusia hanya mampu berusaha dan meminta kepada pencipta supaya segala usaha yang dilakukan bakal dipermudahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali berpendapat, wujudnya keperluan bagi setiap negeri melakukan solat hajat istisqa secara kerap.

“Sebagai masyarakat yang hidup di dalam satu negara sepatutnya setiap individu mengambil inisiatif membantu meringankan beban yang di tanggung oleh mereka yang mengalami masalah.

“Jika boleh, kita akan buat solat hajat berdekatan empangan yang semakin kering dan memohon doa meminta pertolongan daripada,” katanya.

Majlis solat hajat berkenaan turut disertai Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan. (Sumber berita: Sinar Harian/28 Feb 2014)

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply