Suara Malaysia untuk Gaza

0
'Perhimpunan Aman Selamatkan Anak-Anak Gaza' dapat sokongan rakyat Malaysia berbilang kaum.

‘Perhimpunan Aman Selamatkan Anak-Anak Gaza’ dapat sokongan rakyat Malaysia berbilang kaum.

SERANGAN rejim Zionis ke atas Semenanjung Gaza telah meragut ribuan orang awam yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak. Tindakan itu terus dikecam seluruh dunia selepas hampir empat minggu konflik Israel membedil  penduduk Palestin tanpa belas kasihan.

Prihatin pada kezaliman yang berlaku di Semenanjung Gaza, ribuan rakyat Malaysia berbilang kaum membanjiri Dataran Merdeka di sini bagi menyertai ‘Perhimpunan Aman Selamatkan Anak-Anak Gaza’ hari ini.

Perhimpunan anjuran dua badan bukan kerajaan, Viva Palestin Malaysia (VPM) dan Aqsa Syarif itu bertujuan membantah kekejaman serangan Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza.Sekali gus mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya serangan tanpa belas kasihan walaupun penduduk Gaza sedang menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadhan.

Turut tidak ketinggalan golongan selebriti tanah air yang hadir bersama-sama menyertai perhimpunan ini termasuk Afdlin Shauki, Faizal Tahir, Ella, Natasha Hudson, Heliza Helmi, Noh Hujan, Mat Lutfi dan ramai lagi.

Pelbagai aktiviti turut diadakan bagi merancakkan lagi perhimpunan ini antaranya ‘flash mob’, ucapan dan juga paparan 1000 biji belon  bagi menandakan penduduk Gaza yang terkorban.

Menurut Pengarah VPM, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin, pihaknya dan Aqsa Syarif merancang menghantar memorandum kepada kedutaan Amerika Syarikat serta Mesir di Malaysia pada Isnin ini.

Katanya, antara pengisian memorandum itu adalah untuk menyeru Amerika Syarikat menghalang tindakan Israel menyerang warga Palestin yang tidak berdosa.

Musa turut menyatakan kerjasama antara VPM, Aqsa Syarif dan beberapa badan bukan kerajaan negara luar telah berjaya menyediakan 23 trak ubat-ubatan dan bahan pembedahan bernilai RM2.5 juta untuk dihantar ke Gaza. Mereka juga dalam perancangan untuk menghantar 20 ambulans ke kawasan itu.- Sumber: BERNAMA

Share on Google+0Share on LinkedIn0Tweet about this on Twitter0Share on Facebook0

About Author

editorial

Leave A Reply